Menurut PU Riz, dia dilantik sebagai Pensyarah kanan bagi program Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di Fakulti Pengajian Antarabangsa, Kolej Antarabangsa Inovatif.
Kata PU Riz lagi, lantikan itu adalah secara kontrak selama setahun berkuatkuasa pada 1 Februari lalu. Selain bergelar pensyarah, dia juga bertanggungjawab mempromosikan kursus tersebut.
“Kolej ini diselia oleh YEG Academy (M) Sdn Bhd. Insya-Allah bakal bertukar status universiti tahun depan. Sebelum ini mereka melantik PU Amin, terbaharu saya pula.
“Selain menjalankan tugas sebagai pensyarah kanan, saya juga bertanggungjawab dari segi pemasaran untuk mempromosikan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah ini. Ia sesuatu yang baharu dan diiktiraf MQA,” katanya.
Dalam pada itu, PU Riz turut berharap lebih banyak lagi institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan kursus serta dapat melahirkan mutawif berkualiti.
“Program ini mendapat sambutan baik. Alhamdulillah semua okay. Harapnya universiti lain wujudkan program sebegini. Banyak impak.
“Kalau umrah okay lagi, tapi ibadat haji ini yang susah sikit. Ada banyak jenis haji yang perlu kita ketahui. Orang kena tahu sebab perjalanan haji ini panjang. Perlu ada kepakaran untuk mereka uruskan haji,” katanya.