in , , , , ,

Gambar & Rebiu Masa Pra Tonton Filem JANGAN PANDANG BELAKANG

Ini yang berlaku di acara Pra Tonton Filem JANGAN PANDANG BELAKANG yang diadakan di UiTM Shah Alam.

Bukan main hebat orang duk kata filem ini adalah filem paling seram di Malaysia. Dengan sendirinya, jolokan itu akan mengheret orang ramai ke pawagam. Teori atau formula promosi yang sangat taktikal dan praktikal.

BIKIN KECOH SATU DEWAN
Agak kecoh juga bila sekali sekala ‘join’ pra tonton bersama pelajar universiti. Penuh dewan Sri Budiman UiTM pada malam tu hingga tiket yang berharga RM5 sekeping itu habis dijual. Sampai ada yang sanggup berdiri. Bila dah ramai macam tu, terpaksalah yang datang awal ni tunggu… sementara keadaan lebih tenang untuk memulakan majlis.

AMARAN!
Sebenarnya, ini adalah pertama kali saya lihat ada amaran keras diberikan kepada ibu yang mengandung dan juga pesakit lemah jantung supaya tidak menonton filem arahan Ahmad Idham ini. Ye lah, bimbang juga, kalau ibu yang mengandung ni terberanak terus dalam pawagam gara-gara terkejut atau takut. Apatah lagi yang sakit jantung tu, mesti trauma punya sebab adegan seram datang tidak putus-putus. Lepas satu, satu…

Satu lagi formula promosi yang bijak sebab menggunakan perkataan ‘amaran’. Sudah jadi tabie manusia, apabila yang terlarang itu mahu dicubanya. Kata mereka, apalah yang seram sangat ni? Kalau hisap rokok tu munasabah juga, nak kasi amaran merokok membahayakan kesihatan. Ha, jangan ingat di kotak rokok je ada amaran. Di poster filem pun ada beb!

Apakah faktor utama yang menjadikan filem ini UNIK ? Pertama, pada saya kerana ia menggunakan fakta dalam bidang dukun, bomoh atau pawang termasuk cara menghalau hantu. Pendek kata, jalan cerita adalah mengikut pengalaman sebenar. Semua adegan adalah ber’sebab’ dan ber’fakta’.

Kedua, mungkin kerana sistem bunyi yang menggunakan teknologi Dolby Digital Sound. Kira setaraf dengan filem Hollywood la kan. Bunyi ‘mastered’ khabarnya dibuat di Bangkok. Mutu bunyi macam ni dah cukup ‘perencah’ untuk menjadikan jantung berdegup kencang. Jadi, tak hairanlah kalau anda akan dikejutkan secara tiba-tiba. Darah dan adrenalin jadi tersirap naik. Bulu roma boleh berdiri dek non!

Ketiga, elemen bunyi ini bergabung dengan kesan visual serta tata rias atau solekan yang ngeri akan buat kita rasa takut. Formula yang sangat mujarab untuk merangsang rasa getar dalam jiwa penonton.

Keempat, ditambah pula dengan kerja-kerja kamera kreatif Indra Che Muda yang sebelum ini pernah menjadi pengarah fotografi untuk filem Cicakman dan Qabil Khushry Qabil Igam. Sudut yang diambil oleh Indra Che Muda sangat mengkagumkan dan nampak lebih dramatik. Saya perhatikan ramai perempuan yang menekup muka mereka kerana tidak sanggup melihat scene-scene seram. Alah, lelaki pun ada jugak… penakut tul. Batu besar sebelah!

Nampaknya, kerja Indra Che Muda semakin bijak menggunakan sudut yang tidak saya sangka visualnya boleh dirakam sebegitu rupa. Paling menarik apabila menggunakan satu frame untuk merakam babak perubahan waktu malam ke pagi. Sangat cantik sekali ketika menonton di layar. Tetapi saya tidak berapa suka dengan lembaga ‘hantu’ yang nampak sangat digantung ketika scene Darma terkandas di jalan raya.

Oklah, nanti saya akan ulas beberapa scene yang menjadi favorite saya dan senarai top ten scene yang paling menyeramkan di entri yang lain pula.

Sebelum mengundur diri, berikut adalah foto-foto yang sempat dirakam oleh Sensasi Selebriti:

Tukang jaga tiket.
Ni dia skrinnya. Besar la jugak skrin dia. Puas hati tengok tapi tu lah tak dapat dengar Dolby Digital Sound.
Yang berbaju kuning oren tu tukang jaga seluloid film player. Ada dua pemain. Kira macam pawagam betul la ni kot.
Oh manisnya, manisnya senyumanmu…
Farid Kamil pun ada. Dia pun student UiTM.
Ahmad Idham selaku pengarah
David Teo selaku penerbit.
Wartawan Melodi, Nas Ahmad pun ada.

Sinopsis Filem Jangan Pandang Belakang:

MENGISAHKAN seorang pemuda, Darma (Pierre Andre) cuba mencari kepastian mengenai kematian tunangnya, Rose (Intan Ladyana) yang meninggal dunia tanpa diketahui punca. Darma dan kembar tunangnya, Seri (juga lakonan Intan), pergi ke rumah Rose setelah mereka mendengar pesanan suara mencurigakan daripada gadis itu, yang ditinggalkan menerusi telefon bimbit adik kembarnya.

Di kediaman Rose, Darma menemui sebiji botol misteri dan membawanya pulang bersama. Kedua-duanya mengesyaki sesuatu tidak betul berlaku di sebalik kematian gadis itu. Ramalan mereka semakin nyata berikutan kejadian aneh terjadi kemudiannya, termasuk imej pelik pada kamera digital milik gadis malang itu. Sejak kehadiran botol misteri itu, Darma hidup dalam keadaan tidak tenteram. Setiap hari, dia diganggu sesuatu yang tidak diketahuinya. Keadaan itu turut menjadikan pemuda ini tidak keruan dan prestasi kerjanya terjejas.

Sesudah dinasihat majikannya, Daim (Jalaluddin Hassan), Darma mengambil cuti untuk menenangkan jiwa. Peluang itu juga digunakan pemuda ini untuk berubat di kampung. Di situ, dia meminta bantuan ibu saudaranya, Mak Lang (Khatijah Tan) untuk mencari penyelesaian kepada gangguan yang diterima. Mak Lang pula tinggal bersama anaknya, Lin (Rio Elani) dan ibunya yang nyanyuk (Ruminah Sidek).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Show SILUET BAND di Hard Rock Café, Kuala Lumpur

Filem ZOMBI KAMPUNG PISANG – Komedi Sinikal ala Mamat Khalid