in

Portal Berita TV3 Dilancarkan

SELANGKAH KE HADAPAN BERSAMA “BERITA TV3”
BERITA TERKINI DALAM NEGARA, EKSKLUSIF HANYA DI www.tv3.com.my/beritatv3

Program berita terbitan TV3 seperti Buletin Pagi, Buletin Utama, Buletin 1.30, Berita Terkini, Bizworld dan Nightline kini boleh ditonton menerusi laman web rasmi www.tv3.com.my/beritatv3.

Seiring dengan arus permodenan, BERITA TV3 kini ke arah revolusi online dan mobile untuk memberikan berita terkini kepada rakyat Malaysia di dalam dan luar negara.

Sesi pelancaran laman web rasmi BERITA TV3 disempurnakan oleh Pengerusi Media Prima Berhad (MPB) Datuk Johan Jaaffar, pada pagi ini di Sri Pentas, Bandar Utama. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan MPB Dato’ Amrin Awaluddin, Pengarang Urusan Rangkaian TV dan Radio MPB Encik Shaharudin Abdul Latif dan Pengarang Kumpulan, Berita Dan Ehwal Semasa, TV3, Datuk Mohd Ashraf Abdullah.

Menurut Datuk Johan: “Pelancaran laman web rasmi BERITA TV3 adalah satu lagi inisiatif untuk merapatkan jurang komunikasi dengan penonton kami. Dengan mengaplikasikan teknologi terkini sebagai satu kemudahan dan alternatif untuk berinteraksi dengan lebih menarik, canggih dan mudah. BERITA TV3 juga bertindak sebagai sebuah portal 5 dalam 1, di mana pertukaran idea, pendapat, luahan dan komen secara intelektual serta kritikan membina mampu dikongsi ramai, berpandukan liputan berita terkini dalam dan luar negara yang dimuat naik secara serta merta.”

“Kini, penonton boleh mengikuti segala maklumat terkini dan berita penting pada bila-bila masa tanpa mengira tempat. Laman web BERITA TV3 direalisasikan untuk kemudahan anda, seterusnya meningkatkan tahap kepekaan rakyat Malaysia terhadap isu-isu semasa pada semua peringkat umur. Sejak memperkenalkan laman web rasmi BERITA TV3 pada bulan Februari, kami telah mendapat hampir setengah juta “page views’. Ia merupakan satu permulaan yang baik untuk terus mempertingkatkan mutu kandungan di laman web tersebut,” tambah beliau.

Laman web rasmi BERITA TV3 dilengkapkan dengan berita-berita eksklusif dan terkini dalam negara dalam bentuk video serta teks. Ikuti liputan khas tentang isu hangat masa kini di laman web tersebut selain mendapatkan paparan video tanpa suntingan (un-cut) secara eksklusif. Segmen Aduan Rakyat yang bertujuan memberikan jalan penyelesaian masalah dalam masyarakat turut memberi laporan yang lebih terperinci dalam laman web BERITA TV3 dengan video penuh.

Tidak ketinggalan, anda juga boleh mengikuti perkembangan terkini sukan tanah air dan luar negara kerana liputan-liputan khas akan dimuat naik secara pantas. BERITA TV3 juga boleh dikongsi bersama menerusi laman rangkaian sosial Facebook dan Twitter TV3 Malaysia di www.facebook.com/TV3Malaysia atau www.twitter.com/TV3Malaysia. Lebih menarik, laman web ini menampilkan satu segmen kegemaran ramai iaitu “Video Paling Popular” (most-clicked video).

Menjelang pilihan raya di Sarawak, BERITA TV3 akan menyampaikan liputan berita dan video penuh dari semasa ke semasa. Untuk kemudahan para pelayar, “Virtual Map Sarawak” akan disertakan untuk memberi gambaran jelas tentang kawasan, calon dan parti yang bakal bertanding. Di samping itu, penonton masih boleh mengikuti catch up program “Sayang Sarawak” yang bersiaran selama 30 minit setiap hari di TV3 jam 6.05 petang. Laman web BERITA TV3 juga akan menyiarkan pengumuman rasmi keputusan pilihan raya Sarawak secara langsung (Live streaming) bagi mereka yang gemar mengikuti isu-isu semasa secara online.

Bagi yang tidak berkesempatan menonton Buletin Utama di TV3, “Catch up” Buletin Utama boleh disaksikan menerusi www.tonton.com.my. Berita baik buat pengguna rangkaian MAXIS, anda boleh mendapatkan berita terkini menerusi mobile, dengan hanya menghantar SMS “BUY TV3” ke 26000. Untuk video berita terkini, anda boleh menghantar SMS “3VNews” ke 22663 (untuk pengguna MAXIS) atau ”3VNews” ke 2000 (untuk pengguna DiGi). Pengguna akan dikenakan caj sebanyak RM5 sebulan untuk setiap langganan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Apokalips Arahan Mamat Khalid

Bunkface Wakil Malaysia di Asian Music Festival 2011 Hong Kong