in , ,

Laku Keras! Tak Sampai 5 Minit, Tiket Dolla Mini Showcase Habis Dijual

Siapa yang menyangka kumpulan nyanyian wanita DOLLA yang baru beberapa tahun menyertai industri muzik tanah air kini sudah menjadi sebuah kumpulan yang mempunyai pengaruh yang sangat besar.

Dengan penampilan muzik dan gaya persembahan yang tersendiri kumpulan ini telah meraih pelbagai kejayaan, termasuk menjadi kumpulan nyanyian wanita pertama yang tampil di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat.

Kini, mereka bakal tampil dengan pertunjukan khas mereka sendiri berupa sebuah acara yang dikenali sebagai DOLLA MINI SHOWCASE. Acara ini bakal berlangsung pada Sabtu 19 Februari 2022 jam 8 malam di Nero Event Space, PJPAC, 1Utama.

DOLLA

Malah, tiket-tiket yang dijual pada harga RM35 (tiket terhad) dan RM55 (berserta sesi ramah mesra atau ‘meet and greet’) telah pun habis dijual lima minit selepas diumumkan pada jam 12 tengah hari 30 Januari 2022.

“Kami berasa sangat gembira kerana akhirnya diberi peluang membuat pertunjukan kami sendiri untuk para iDolla kami. Lagipun, kamilah puteri-puteri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kami muncul semasa PKP dilaksanakan. Jadi peluang ini sangat berharga buat kami,” jelas Angel mewakili kumpulan DOLLA.

Idea untuk membuat showcase ini pula merupakan cadangan pihak syarikat rakaman mereka, iaitu Universal Music Malaysia.

“Idea syarikat rakaman kami ini memang bagus kerana kami memang tak pernah bertemu peminat setia kami yang dikenali sebagai iDolla secara langsung. Gara-gara muncul sewaktu PKP, kami hanya dapat berinteraksi di alam maya. Jadi showcase ini satu peluang untuk mendekati mereka dan berinteraksi secara langsung,” ujar Syasya pula tentang persembahan ini.

Selain persembahan dalam beberapa versi lain serta mutu vokal yang dipertingkatkan, terdapat beberapa kejutan lain yang bakal dipertontonkan.

“Ada banyak kejutan yang akan kami tampilkan namun kami tak mahu beritahu kerana ia tidak akan menjadi istimewa jika kami beritahu sekarang. Jadi nantikan malam showcase nanti,” jelas Tabby pula selaku wakil kumpulan DOLLA.

DOLLA

Angel yang berharap tiket persembahan habis dijual secepatnya sangat teruja mendengar khabar gembira itu.

“Kami benar-benar terkejut dan tidak menyangka tiket kami akan laku dan habis dijual begitu cepat. Jadi kami harap para peminat kami khasnya iDolla akan menikmati malam tersebut saat melihat kami membuat persembahan secara langsung untuk pertama kali khas di depan mereka. Kami juga tak sabar nak berjumpa peminat kami semua,” ujar Angel menutup bicara.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

NAIM DANIEL JOE FLIZZOW

Kolaborasi Naim Daniel Ft Joe Flizzow dalam Single Baharu Berjudul HABIS SINI

MESTICA

Kolaborasi MAHAL Mestica Menampilkan Dato’ Hattan Dalam Single ISTIKHARAH