KISAH PERGOLAKAN CINTA SEORANG ISTERI MENGISI SLOT CITRA DI TV2
Memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri bukanlah semudah yang disangka. Apatahlagi jika tidak bersedia sepenuhnya untuk berumahtangga. Namun bila serunya telah tiba, tiada seorang pun yang dapat mengelakkannya daripada terjadi. Ibarat kata jodoh, ajal dan maut di tangan tuhan.
Begitu pun hubungan antara dua hati yang telah sekian lama terbina hakikatnya tidak menjaminkan kebahagiaan berkekalan sekiranya rumahtangga itu tidak dibajai dengan kesediaan kedua pihak memikul tanggungjawab besar hidup bersama. Apatahlagi sekiranya suami gagal memainkan peranan sebagai nakhoda kapal dalam melayari pelayaran hidup berumahtangga.
Zarynn Min pegang watak Amy
Begitu kisah yang melatari drama menarik sarat dengan pengajaran berguna bertajuk Cinta Seorang Isteri disiarkan pada 25 Mac 2011 (Jumaat), jam 10.00 malam mengisi slot Citra di TV2.
Ceritanya mengangkat kisah penderitaan seorang isteri bernama Amy lakonan hebat pelakon Zarynn Min. Amy mencintai Johari yang dibawakan wataknya oleh Ijoi Azhari dimana sedari usianya remaja sampai ke satu ketika apabila Amy mendapati Johari bukan lelaki yang disangkanya idaman hati.
Namun kerana ibubapanya, Amy berubah fikiran untuk sanggup meneruskan perancangan yang sudah diaturkan sedari awal untuk berkahwin dengan Johari. Dia hanya mampu berserah kepada takdir mengharapkan supaya kesediaannya menerima Johari sebagai suami bakal memberikan kehidupan yang lebih sempurna. Apatahlagi dia sudah berjanji kepada keluarganya untuk menjadi isteri yang solehah setelah berkahwin.
Begitu pun setelah menjalani kehidupan sebagai suami isteri, Amy begitu kecewa. Dia mendapati Johari tidak pernah mengambil tahu akan keadaan isterinya. Semua tanggungjawabnya diabaikan tanpa rasa bersalah. Hinggakan sampai satu ketika Johari tenggelam dalam kesombongannya.
Ketika itu dia mula tergerak hati untuk mencari erti kehidupan dan sedar apa itu perkahwinan sekaligus mahu mengenali apa itu sebenarnya yang dimaksudkan dengan isteri. Pada situasi sama yang tergambar di fikirannya hanya mahu kembali semula kepada isteri, Amy.
Namun masihkah ada ruang di hati Amy untuk menerima kembali kehadiran suaminya itu? Atau sebaliknya Amy sudah nekad mahu kembali hidup sendiri setelah sedar dirinya diperlakukan tidak sepatutnya oleh suami.
Turut terlibat menjayakan drama menarik ini termasuklah Mubarak Majid, Rashidah Jaafar dan Kazaruddin Saisi.