DYNAS KEMBALI CERIAKAN MUSIM KEDUA
Sarat Dengan Perisian Menarik Untuk Si Ibu & Anak
Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah membawa bahagia! Ibubapa mana yang tidak sayangkan anak-anaknya sendiri? Anugerah terindah, bukan mudah untuk menjaga dan membesarkan anak-anak kita. Samada anda seorang ibu, ataupun bakal menimang cahayamata, jangan lepaskan peluang mendapatkan panduan, nasihat dan tip berguna dan bermanfaat menerusi program menarik TV3, SI KECILKU… CHAKK!! bakal kembali dengan musim terbaru mulai 22 Mac 2011 di slot Senda Pagi, setiap hari Selasa, pada jam 10.30 pagi.
Dibawakan oleh Dutch Lady Malaysia, SI KECILKU..CHAKK!! musim kedua terus menampilkan selebriti popular, Dynas Mokhtar, sebagai pengacara sambil berkongsi pengalaman serta tip dan segala maklumat yang diperlukan oleh seorang ibu untuk manfaat si kecil yang sedang membesar, merangkumi topik tentang nutrisi makanan, penjagaan bayi, persediaan bakal ibu, petua kepada ibu yang berkerjaya dan banyak lagi.
Dynas Mokhtar
Terbitan Twentyseventh Pictures Sdn. Bhd. seperti sebelumnya, musim kedua siri program realiti ini akan sama-sama membawa anda ke sebuah eksplorasi rentak baru yang sangat menyeronokkan menerusi 13 episod seterusnya. SI KECILKU..CHAKK!! mengajak para ibu untuk mengenali si comel dengan lebih mendalam, memandangkan sudah menjadi lumrah setiap ibubapa untuk memberikan hanya yang terbaik buat permata hati masing-masing.
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “Selain daripada rancangan bual bicara dan program majalah dokumentari yang sentiasa mengetengahkan pelbagai isu dan krisis yang perlu diambil perhatian tentang kaum Hawa khususnya, slot Senda Pagi (Inspirasi Wanita) juga terus teruja dengan sokongan dan sambutan positif yang diterima menerusi musim pertama SI KECILKU…CHAKK!! Musim baru kali ini menerapkan elemen yang berkonsepkan ‘gaya hidup’ dan fokus ditujukan kepada para ibubapa, bayi matang dan kanak-kanak. Maklumat, tip, fakta menarik dan fesyen terbaru tentang dunia keibubapaan merupakan suntikan utama program ini dan disampaikan dengan stail yang menarik, ringkas dan senang difahami. Tidak ketinggalan, dapatkan petua dan panduan untuk wanita berkerjaya yang mempunyai anak yang sedang membesar dan bagaimana menguruskan keluarga, salah satu intipati rancangan yang semestinya sangat berguna dan membantu.”
Selain daripada kaum ibu, rancangan ini juga dapat mendidik penonton pelbagai genre untuk mengenali diri sendiri dan persekitaran masing-masing, terutamanya bagi ibubapa yang mempunyai bayi yang sedang membesar. Sememangnya peranan ibu bapa pada tahun-tahun tumbesaran (adolescent) bagi anak-anak adalah amat kritikal. Pada fasa ini, ia akan menentukan pola dan bentuk pemikiran anak-anak. Oleh itu, amat penting jika kita berusaha memahami bayi kita dan terutamanya pada ketika peringkat-peringkat yang bakal ditempuh berikutnya seperti isu kanak-kanak dan isu keremajaan.”
Turut menjadi fokus utama, program ini akan mendedahkan pelbagai aspek penting bagi ibubapa dan penonton yang mempunyai bayi dan anak kecil, seperti tumbesaran anak, ikatan kekeluargaan, prilaku anak-anak, memupuk bakat semulajadi, tips selepas bersalin, ilmu dan tips positif untuk para ibubapa, peningkatan IQ dan EQ anak-anak dan pemilihan susu terbaik dan kandungannya.
Lebih menarik, musim ini juga akan memaparkan penggambaran di kilang Dutch Lady Malaysia dan rakaman di sebalik tabir serta menyentuh tentang kebaikan susu dan keperluan nutrisi yang berbeza mengikut peringkat umur kanak-kanak.
Menurut Puan Dina Mohd Nor, Pengurus Komunikasi Korporat, Dutch Lady Milk Industries Berhad, “Di Dutch Lady Malaysia, kami bermatlamat menyumbang kepada kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pelapis dan pewaris masa depan negara. Sealiran dengan misi syarikat iaitu “Membantu rakyat Malaysia terus maju dalam kehidupan dengan nutrisi tenusu yang dipercayai”, kami percaya mesej yang dibawa oleh program ini akan memanfaatkan semua penonton, termasuklah golongan mereka yang belum lagi menjadi ibubapa. Melalui program SI KECILKU… CHAKK!!, kami sebagai pakar dalam nutrisi tenusu akan berkongsi sedikit sebanyak tentang pemakanan berkhasiat mengikut umur, pembentukan EQ dan IQ, khasiat kebaikan susu serta topik-topik lain yang bakal menarik minat penonton. Isi kandungan yang bakal dipersembahkan melalui segmen 2-minit Dutch Lady akan memaparkan pandangan dan tips-tips nutrisi dan psikologi oleh Pakar Nutrisi Kanan Dutch Lady Malaysia, Loo Mei Fong serta Pakar Klinikal Psikologi, Dr Alvin Ng Lai Oon dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Selain itu, penggambaran di kilang pemprosesan Dutch Lady Malaysia juga akan bakal disajikan bagi tatapan penonton yang ingin tahu tentang penghasilan susu sehingga ke tahap pembungkusannya.”
Oleh itu, jangan lupa temujanji anda untuk menerokai alam SIKECILKU…CHAKK!! di musim kedua yang penuh dengan keseronokkan, pasti menambat hati para ibubapa dan para penonton mulai 22 Mac 2011, pada setiap Selasa, jam 10.30pagi, khas di slot Senda Pagi, di TV3.