Tirai pencarian bakat baru iaitu The Audition 2021 telah pun melabuhkan tirai pada hari Ahad 19 Disember 2021 yang lalu. Pertandingan peringkat final telah berlangsung di Atrium, The Strand Mall, Kota Damansara dengan membariskan 27 peserta yang berjaya sehingga ke peringkat ini.
Untuk info pembaca, The Audition 2021 adalah pertandingan pencarian bakat baru Malaysia terbitan Armani Entertainment Group (AEG). Pertandingan ini diadakan untuk mencungkil bakat peserta dalam pelbagai bidang seni seperti nyanyian, tarian, lakonan dan berlawak komedi.
Uji bakat The Audition adalah 100 peratus daripada pihak juri. Para peserta hanya melalui beberapa fasa uji bakat sahaja. Pertama, melalui muat naik video berdurasi lebih 1 minit di Instagram masing-masing berserta hashtag wajib. Fasa kedua, anda akan dipanggil ke sesi uji bakat bersama para juri mengikut lokasi berdekatan anda.
Menariknya, bermula Oktober lalu, ujibakat secara langsung telah diadakan di Kuala Lumpur diikuti Kuantan (Pahang), Johor Bahru, Kota Kinabalu (Sabah), Kuala Terengganu dan berakhir di Pulau Pinang.
Untuk memastikan program ini memenuhi kehendak pasaran hiburan tanah air yang terus berkembang maju dengan kemunculan pelbagai idea kreatif daripada penggiat seni lama dan baru, AEG melantik pengarah dan penerbit drama terkenal iaitu Michael Ang sebagai Rakan Strategik.
Barisan juri pertandingan akhir The Audition 2021 ialah Michael Ang, Cikgu Sarah Ismail, Amira Othman dan Datuk KK Chua.
Sekali lagi Budiey nak mengucapkan tahniah buat Muhammad Shauqi Danial yang mana menurut beliau, dia tidak menyangka dipilih menjadi juara untuk penyertaan beliau di dalam The Audition 2021. Ya betullah orang kata, rezeki ayam nampak di kaki, rezeki manusia siapa yang tahu.
“Saya tak sangka menang kerana saya rasa persiapan hari ini 60 peratus saja. Alhamdulillah, rezeki saya dan sudah tentu saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya memilih lagu nyanyian asal, Hafiz Suip berjudul Ku Akui dan masa agak suntuk untuk saya menggubah semula lagu itu tetapi saya nekad mempersembahkan yang terbaik pada peringkat akhir ini.
Sebelum ini saya hanya pernah masuk pertandingan karaoke dan Battle of the Band. Untuk perancangan selepas ini, saya akan ikut apa yang diaturkan AEG dan kemenangan ini diharap dapat merealisasikan impian saya untuk menjadi penyanyi terkenal,”
– Muhammad Shauqi Danial
Dengan kemenangan ini, Muhammad Shauqi Danial melayakkan beliau untuk menerima kontrak bernilai RM50,000 termasuk latihan dan pembangunan. Selain itu, penyanyi akan merakam single yang disusun oleh top-chart komposer lengkap bersama dengan video muzik.
Manakala buat pelakon pula, pemenang akan mendapat peluang untuk bekerjasama dengan pengarah tersohor iaitu Michael Ang dalam drama terbaru beliau. Seronoknya! Memang hebat betul hadiah yang diberikan dalam pertandingan ini.
Selaku rakan strategik dan juga juri untuk program The Audition 2021, Michael Ang ternyata berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh ke semua peserta.
Saya terkejut apabila ada peserta daripada awal ujibakat sehingga ke final menunjukkan peningkatan ketara. Ini kerana mereka mendengar pendapat kami selaku juri ketika mereka beraksi pada ujibakat.
Ramai yang menyanyikan lagu Anuar Zain tetapi mereka mengalunkannya mengikut lenggok mereka sendiri.
Persembahan nyanyian dan lakonan mereka sangat bagus. Ada dua peserta yang saya lihat kualiti persembahan mereka banyak ‘improvement’ sehingga mereka layak terpilih untuk peringkat akhir The Audition 2021 dan tidak mustahil jika mereka terus berusaha dan bekerja keras, mereka bakal mencabar pelakon yang ada sekarang.
– Penerbit dan Pengarah, Michael Ang
Industri memang perlukan ramai bakat baru dalam bidang lakonan tetapi di Malaysia, orang suka yang tengok pelakon yang ‘elok-elok’ walaupun tidak berbakat. Hendak cari pakej lengkap yang cantik dan tampan serta berbakat, memang susah. Penonton ‘tengok’ ikut mata bukan ikut otak.
Kalau ada rupa tetapi tak berbakat, hantarlah ke kelas lakonan Fauziah Nawi atau Ogy Ahmad Daud pun, mereka tak akan mengajar. Mereka yang cantik ini, ‘self- concious’. Apabila berlakon mahu nampak cantik saja.
Pada pertandingan ini, sebenarnya ramai yang layak menang tetapi tempat untuk yang terbaik ada tiga saja. Jadi selepas berbincang dengan Datuk KK Chua, kemungkinan kami akan menyerapkan mereka yang berbakat ini untuk berada di bawah pengurusan AEG.
Datuk KK Chua selaku Ketua Pegawai Eksekutif AEG turut tidak menafikan kehebatan peserta The Audition 2021 kali ini;
AEG dengan bantuan Michael Ang berjaya mencungkil ramai bakat baru. Mereka yang berjaya ke final semuanya ada kualiti. Saya lihat bakat muda ini boleh membawa kelainan kepada industri hiburan tempatan.
AEG menyediakan platform untuk mereka mengembangkan bakat terutama pembangunan dan sahsiah diri untuk berhadapan cabaran termasuk kemahiran berkomunikasi dan berhadapan dengan media.
Berikutan sambutan yang memberangsangkan daripada seluruh negara, kami akan terus mengadakan pertandingan ini setiap tahun.
– Ketua Pegawai Eksekutif AEG, Datuk KK Chua
AEG pastinya akan menjadi platform untuk merealisasikan impian mereka yang mempunyai cita-cita untuk menjadi anak seni yang berjaya asalkan mereka sanggup berusaha.
Bahkan untuk memastikan program ini memenuhi kehendak pasaran hiburan tanah air yang terus berkembang maju dengan kemunculan pelbagai idea kreatif daripada penggiat seni lama dan baru, AEG melantik pengarah dan penerbit drama terkenal iaitu Michael Ang sebagai Rakan Strategik.
Menggunakan tagline ‘Good Talent and Great Character’, dalam pencarian ‘bakal bintang’ ini, AEG bukan saja mencari peserta yang berbakat tetapi juga mempunyai karektor yang bagus.
Semoga pertandingan pencarian bakat seperti ini dapat diteruskan untuk mencungkil bakat terpendam anak-anak muda pada masa hadapan.