Siri pertama untuk misi bantuan telah diadakan pada hari Khamis, 23 Disember lepas melibatkan dua daerah di Pahang iaitu Kampung Bukit Piatu dan Taman Harmoni di Bentong serta Kampung Bukit Dinding yang terletak di Jerantut.
Menurut Pengurus Besar Suria Fm, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), “Menerusi misi pertama ini, kami berjaya mengagihkan ‘beg bantuan Suria’ kepada lebih 100 buah rumah di sekitar Bentong juga ke Pusat Pemindahan sementara (PPS) di Dewan Bukit Dinding, Jerantut, Pahang. Kami sangat terharu kerana kebanyakan penduduk di lokasi yang terlibat merupakan Pendengar Suria FM. Mereka kelihatan sangat teruja apabila menerima kunjungan Penyampai Suria FM. Ramai yang turut bergambar dan tak kurang juga yang mengalirkan airmata sebak melihat kedatangan kami ke rumah mereka.”
“Misi pertama ini Alhamdulillah Allah permudahkan bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Insyaallah misi ini akan kami teruskan ke lokasi yang lain pula termasuk di Lembah Klang dan penyertaan daripada syarikat korporat atau rakan-rakan penaja amat kami alu-alukan untuk turut sama berkolaborasi dengan pihak Suria FM dalam menganjurkan misi seumpama ini. Mungkin dengan penyertaan daripada mereka, skala bantuan yang sedia ada dapat diperbesarkan dan boleh membantu lebih ramai mangsa banjir yang terlibat.
Untuk sebarang perkembangan terkini, boleh terus dengarkan Suria FM atau layari laman web suria.my dan akaun media sosial Suria Malaysia.