Istimewanya, sekian lama tidak bertemu peminat tempatan, buat julung kali kumpulan yang popular dengan lebih 100 album hits itu bakal beraksi di Istana Budaya selama tiga hari, bermula 6 hingga 8 Mei ini.
Sekitar Sidang Media Konsert D’lloyd – Semalam Di Malaysia
Pentas berprestij itu akan menjadi gelanggang betapa kuasa muzik dan dendangan D’lloyd masih unggul untuk terus memancing perhatian peminat tegar serta kelompok pengikut baru. D’lloyd kini dianggotai Bartje Van Houten (pemain gitar/ketua kumpulan), Yuhanny Fatmarida Susilo (Yuyun/flute), Syamsuar Hashim (Sam/Vokalis), Chairul Daud (Khairul/dram), Candra Chasmala (keyboard) dan Uce F Tekol (Tooto/bass).
Persembahan gah ini juga menjadi menifestasi perjuangan tanpa henti D’lloyd selepas lebih lima dekad mengabdikan diri dalam arena muzik sekali gus dianggap sebagai lagenda hidup yang menjadi ikon kepada band lain.
Menyingkap semula kebangkitan kumpulan berasal dari Jakarta itu, mereka asalnya hanya sekumpulan kelasi kapal yang bercita-cita tinggi bergelar anak seni.
Berbekalkan bakat disuntik semangat, bersama seorang lagi anggota yang sudah kembali ke rahmatullah, S Paggabean, mereka merealisasikan penubuhan D’lloyd, nama yang diambil sempena nama kapal tempat ditugaskan ketika itu.
Sekali pun berhadapan onak duri sepanjang perjalanan penuh berliku, mereka akhirnya mampu menggapai impian yang awalnya dianggap sekadar mimpi indah. Bagai ditakdirkan, keserasian mereka membuahkan ganjaran ditambah kebolehan Bartie selaku pencipta lagu dengan garapan vokal lunak Sam hingga sampai suatu tahap setiap dendangan mereka menjadi kegilaan ramai!
Siapa mampu melupakan lagu malar hijau yang masih menjadi siulan hingga kini seperti Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana, Cinta Hampa dan Mengapa Harus Jumpa.
Sebuah lagu lagi yang dikatakan punya sejarah peribadi buat vokalisnya, Semalam Di Malaysia juga pernah mendominasi carta dan popularitinya membolehkan ia diangkat ke layar perak pada 1975.
Walau semua anggotanya sudah melepasi separuh abad, ia bukan pengukur tahap persembahan kerana apa yang pasti kumpulan itu sudah sedia beraksi dengan momentum barisan lagu-lagu hangat.
Justeru, KONSERT D’LLOYD “Semalam di Malaysia” yang dijadualkan berlangsung hampir dua setengah jam itu pastinya penuh dengan nostalgia manis dan menjadi kenangan terindah buat semua yang pernah membesar dengan lagu mereka.
Lebih istimewa, mereka juga bakal berkongsi pentas dengan teman seperjuangan yang juga penyanyi yang tidak asing lagi dikalangan peminat muzik Malaysia, Datuk Ahmad Jais. Konsert ini akan dipimpin oleh En. S.Atan, pengarah muzik. KONSERT D’LLOYD “Semalam di Malaysia” dibawakan khas oleh Massa Frequency. Tiket menyaksikan konsert ini hanya pada kadar RM68, RM98, RM128, RM168, RM208, RM258, RM308 dan RM458 dan boleh dilayari www.ticket2u.biz atau hubungi talian hotline +603 41478600.
Massa Frequency akan menjual Album Kompilasi terhad Dlloyd pada harga yang istimewa. Tawaran ekslusif ini akan dikeluarkan oleh Life Record, hanya boleh dimiliki di Istana Budaya pada hari hari Konsert tersebut
Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web khas www.konsertdlloyd2011.com yang akan beroperasi sepenuhnya bermula 10 Mac ini. Peminat yang ingin mengetahui setiap perkembangan berkaitan konsert juga boleh ke laman sosial Facebook: Konsert Dlloyd 2011 atau twitter: http://twitter.com/KonsertDlloyd.