Irma Hasmie Nekad Bertudung
Selama 14 hari berada di Mekah, cukup membuatkan pelakon dan pengacara popular, Irma Hasmie tergerak untuk memakai tudung sekembalinya ke tanah air.
Mungkin ia adalah sesuatu yang sukar bagi seseorang lebih-lebih artis muda yang terlibat aktif dalam dunia glamor. Namun, yang nyata ada yang lebih penting di dalam dunia yang sementara ini iaitu akhirat.
Biarpun mulanya dia kelihatan sukar memberikan komen pasal perkara ini, namun akhirnya Irma Hasmie akur kerana pasti suatu hari nanti umum tetap jua akan mengetahui perubahan yang dilakukan dan kini dia mengesahkan akan kekal bertudung biarpun masih berada dalam dunia glamor.
“Alhamdulillah, sudah sampai masa untuk saya bertudung, sukar nak jelaskan mengapa saya ambil keputusan secepat ini, tetapi ini semua kerja Tuhan, dan bila sudah sampai seru-Nya, saya hanya menerima.
“Kalau boleh, saya tidak mahu cerita saya bertudung terlalu diberi perhatian sebab takut disalahertikan niat sebenarnya, walaubagaimanapun saya yakin lambat laun semua orang akan mengetahui juga.
“Saya bersyukur dan gembira dengan kehidupan saya sekarang, saya lebih tenang dan lebih banyak belajar. Tiada siapa yang memaksa saya tampil begini, semuanya berlaku secara natural. Alhamdulillah, setelah dua minggu pulang ke Malaysia, ramai yang menerima baik niat saya ini,” jelas Irma akui hidupnya kini lebih tenang dan bahagia Irma. Irma akui hidupnya kini lebih tenang dan bahagia
Berdoa di Mekah
Mengerjakan umrah bersama ibu dan adiknya, jelas Irma, dia mengambil kesempatan itu untuk berdoa sebanyak yang mungkin.
“Satu perkataan yang dapat saya gambarkan tentang Mekah adalah Subhanallah. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci ini.
“Memang seronok berada di sana, saya dapat lihat sendiri betapa hebat dan ajaibnya ciptaan Tuhan. Saya memang tidak mahu melepaskan peluang untuk berdoa, macam-macam doa saya minta.
“Selama 29 tahun saya hidup dibumi ini, saya mohon diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan, diberi rezeki dan jodoh yang baik,” jelas Irma yang turut memohon ditenangkan hati setiap masa.
Lakonan berterusan
Memilih untuk bertudung, Irma Hasmie yakin biarpun terpaksa memilih watak yang sesuai dengan imejnya sekarang, dia percaya masih ada rezeki untuknya dalam bidang seni ini.
“Alhamdulillah, saya percaya kalau kita berubah kepada kebaikkan, Allah akan sentiasa membantu. Selepas pulang ke tanah air, saya sudah selesaikan penggambaran tiga buah telemovie.
“Ramai yang faham dengan keputusan saya, jadi apabila ditawarkan sesuatu watak, saya akan melihat dahulu sama ada watak itu sesuai dengan saya ataupun tidak,” katanya lagi.