in , ,

Ako Mustafa Sari Yanti dalam Cempaka Alesya

CEMPAKA ALESYA KONGSI KISAH MENANTU PILIHAN DI TV1

Dalam kesempurnaan memiliki paras rupa yang mampu memikat setiap mata yang memandang, kelulusan profesional yang baik serta karier yang menjamin, Dr Bazli masih terkongkong dengan kekecewaan lalu lantaran putus tunang dengan bekas kekasihnya Yasmin Emilin yang memilih untuk meneruskan cabang niaga ke luar negara. Kepakaran Dr Bazli dalam menyembuhkan pesakit tidak dapat dinafikan tetapi Dr Bazli sendiri hakikatnya gagal menyembuhkan luka di hati sendiri. Dr Bazli seakan serik untuk menerima cinta baru dalam hidupnya.

Ako dan Intan Ladyana bergandingan dalam Cempaka Alesya

Konflik yang melanda Dr Bazli lakonan Ako Mustafa bergandingan dengan pelakon cantik Sari Yanti ini melatari drama menarik Cempaka Alesya yang disiarkan pada 12 Mac 2011, jam 3.05 petang mengisi slot Panggung 1 di TV1.

Turut dibantu oleh Harun Salim Bachik, Intan Ladyana, Kenchana Devi, Hung Sheng dan Ryzal Jaafar, plot drama ini berlatarkan situasi berlaku di klinik, Dr Bazli yang dibantu oleh dua orang jururawat amatur bernama Alesya dan Ranee. Kedua mereka adalah orang penting yang menguruskan klinik milik Dr Bazli. Ada waktu-waktunya, mereka terpaksa menjadi ‘talian hayat cinta’ dari pesakit-pesakit Dr Bazli yang berpura-pura mengadu mempunyai masalah kesihatan tetapi matlamat mereka tidak lebih dari untuk memikat Dr Bazli atas alasan klinikal. Dan beberapa insiden lucu terjadi sepanjang rawatan ‘cinta’ ini.

Alesya seorang jururawat yang bertudung. Wajahnya ayu seiring sifatnya yang bersantun. Dia bukan sahaja menjalankan tugas dengan hemah dan disiplin yang tinggi tetapi juga membawa ‘aroma’ baru kepada klinik dan seterusnya kehidupan Dr Bazli. Selain tugas riutin di klinik, Alesya gemar untuk membuat campuran bunga rampai dalam pot pouri yang indah dan diletakkan di klinik. Bila ditanya kegemarannya, Alesya sering tersenyum dan menyatakan, haruman itu adalah simbolik kepada terapi bungaan kepada pesakit Dr Bazli dan lazimnya ia bisa menyeru cinta datang ke klinik itu. Dr Bazli kurang faham analogi Alesya tetapi terkadang, dia sendiri terpesona dengan haruman pot pouri rampai hasil tangan Alesya.

Meniti usia tua, Datin Zakiah, ibu Dr Bazli terlalu kepingin bermenantu dan bercucu. Pada Bazli disuarakan hasrat. Malah beberapa gadis telah diperkenalkan tetapi semuanya ditolak. Dr Bazli agak orientalis dan menganggap calon isterinya haruslah seorang wanita moden yang sempurna segalanya dan berpesonaliti sesuai dengan status quo yang dimilikinya. Ini menjadikan Datin Zakiah rimas dan memberikan tempoh hanya sebulan bagi Dr Bazli untuk memilih calon atau dia sendiri yang akan mencari jodoh.

Dr Bazli resah lalu segalanya dikongsi dengan Dr Robert, teman sekuliah dahulu. Akhirnya muncul idea untuk mengubah penampilan Alesya untuk dipertemukan dengan ibunya. ‘Make over” Alesya dilakukan tetapi imej tudungnya dikekalkan. Alesya menjadi model samaran selama sehari demi memenuhi tuntutan Datin Zakiah. Peribadi Alesya menjadi sebutan Datin Zakiah dan mereka semakin intim. Dr Bazli makin resah kerana terperangkap dengan lakonannya sendiri.

Berlaku konflik antara Dr Bazli dan Alesya. Dr Bazli terlanjur menyatakan Alesya sengaja ingin memikat dirinya melalui cara memikat ibunya. Alesya tersinggung. Berkali-kali dia cuba menegakkan kebenaran. Padanya, pipit dan enggang masakan boleh terbang seiring. Di waktu ini juga, muncul Arman yang sering menjemput Alesya dari klinik. Pada Arman Alesya adukan duka dan ternyata Arman, seorang jejaka kacak sangat memahami Alesya. Diperingkat ini terbit rasa cemburu di hati Dr Bazli tetapi cepat-cepat dipadamkannya.

Datin Zakiah yang menyedari perhubungannya dan Alesya semakin menjauh mula mendesak Dr Bazli untuk memberi penjelasan. Akhirnya Dr Bazli membongkar apa sebenarnya yang terjadi dan tentang lakonan dia dan Alesya. Datin Zakiah kecewa dan Alesya sempat meminta maaf. Namun, kasih Datin Zakiah pada Alesya tidak pernah padam. Datin Zakiah berubah menjadi seorang pemurung dan ini membimbingkan Dr. Bazli.

Ditengah-tengah kemelut itu muncul Yasmin, bekas tunang Dr Bazli yang kembali dan menagih cinta dahulu. Lalu bagaimanakah kesudahannya?

babak dalam Cempaka Alesya

drama Cempaka Alesya

Cemapaka Alesya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Airasia Named Asias Best Low Cost Cargo Carrier

Yang Best Tentang LIFE UNEXPECTED Season 2