Tahun lalu, melalui pelan infrastruktur digital Jalinan Digital Negara (JENDELA), rangkaian 3G bakal ditamatkan sepenuhnya pada akhir tahun ini.
Ia merupakan usaha menambah baik komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025).
Antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang sudah mula melakukannya adalah Celcom. Kini, Maxis pula telah mengeluarkan notis peringatan melalui kiriman di Facebook yang mana mereka menyenaraikan kawasan yang ditamatkan rangkaian 3G, bermula di Terengganu.
Bermakna, sekiranya pengguna menggunakan peranti bukan 4G, mereka hanya menerima isyarat 2G sahaja. Sementara peranti yang tidak menyokong VoLTE, mereka hanya boleh membuat atau menerima panggilan menerusi rangkaian 2G walaupun peranti itu mempunyai 4G.
Selain itu, Maxis juga telah menyenaraikan garis masa proses penamatan rangkaian 3G secara berperingkat di Malaysia. Namun, mereka telah memadam kiriman tersebut semalam.
Bagaimanapun, terdahulu Maxis pernah mengesyorkan pengguna untuk menaik taraf 3G ke rangkaian 4G. Oleh itu, jika anda masih tidak berbuat demikian, sebaiknya perlu melakukannya sekarang.