Sebagai persediaan untuk penyambungan semula perkhidmatan penerbangan domestik dan antarabangsa, AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) hanya akan menerima tetamu dewasa yang telah divaksin sepenuhnya di dalam penerbangannya, berkuat kuasa serta-merta. Para tetamu di bawah umur 18 tahun yang belum divaksin atau mendapat vaksinasi sepenuhnya mestilah ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah divaksin sepenuhnya.
Ini adalah sebahagian daripada pelan mitigasi Covid-19 oleh AirAsia untuk memastikan standard keselamatan tertinggi bagi para tetamu dan kakitangannya. Semua penerbangan AirAsia hanya akan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal.
AirAsia juga telah mewajibkan para tetamu untuk mendaftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App yang membolehkan mereka melalui proses perlepasan dan menaiki pesawat menggunakan pas masuk elektronik (e-Boarding Pass), yang meminimumkan interaksi fizikal dengan kakitangan kami seperti sentuhan pas masuk menggunakan kertas dan merupakan kunci untuk membendung penyebaran Covid-19 dan virus lain. Tertakluk kepada beberapa pengecualian, bayaran akan dikenakan untuk daftar masuk melalui kaunter di lapangan terbang.
Para tetamu hanya perlu memuat turun airasia Super App di telefon pintar mereka dan memanfaatkan aplikasi tersebut sepenuhnya. Ia adalah satu-satunya aplikasi perjalanan yang mereka perlukan, bermula dengan tempahan penerbangan dan penginapan, daftar masuk, pengesahan dokumen kesihatan sehinggalah kepada pas masuk elektronik, perlepasan melalui sistem pengecaman wajah FACES dan pelbagai perkhidmatan semasa dalam penerbangan.
AirAsia telah membangunkan pelbagai inovasi dan pembaharuan teknologi tanpa sentuh yang membolehkan para tetamu terbang dengan lebih selesa dan selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata: “Keputusan untuk hanya menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan kami dibuat demi untuk menjaga keselamatan para tetamu dan kakitangan kami. Semua penerbangan AirAsia dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya, begitu juga dengan kakitangan operasi yang lain. Selain itu, kami telah menyediakan pelbagai perkhidmatan di airasia Super App.
“Para tetamu kini boleh menggunakan sistem daftar masuk mudah dan pantas yang membolehkan mereka memuat naik dokumen kesihatan dan sijil vaksinasi mereka untuk pengesahan segera dan menggunakan sistem pengecaman wajah FACES untuk meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang.”
AirAsia telah melaksanakan prosedur operasi standard yang mantap bagi mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa. Ciri-ciri keselamatan di dalam penerbangan itu sendiri di mana udara di dalam pesawat mengalir dari siling ke bawah menjadikan udara di dalam kabin sama seperti di hospital. Tidak hairanlah sistem penerbangan diperakui sebagai kaedah pengangkutan yang paling selamat di dunia, seperti mana yang dibuktikan melalui pelbagai kajian dan penyelidikan antarabangsa.
Sebelum menempah tiket penerbangan AirAsia anda, sila pastikan perkara-perkara berikut untuk menjamin perjalanan yang lancar:
- Pastikan anda (dan keluarga) layak untuk melakukan perjalanan. Sila semak jika ada sebarang peraturan atau syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan di destinasi anda. Ini termasuklah keperluan menyediakan dokumen kesihatan dan perjalanan seperti sijil keputusan negatif COVID-19 dan sijil lengkap vaksinasi. Syarat-syarat ini mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, jadi sila dapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkaitan terlebih dahulu.
- Pastikan anda tidak mengalami sebarang gejala. Jika anda mengalami simptom seperti selesema, anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanan anda. Sebagai tetamu yang bertanggungjawab, kami juga ingin menasihati anda untuk melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum penerbangan anda bagi memastikan bahawa anda selamat untuk melakukan perjalanan dan melindungi para tetamu lain di sepanjang perjalanan anda.
- Hanya tetamu yang telah divaksin sepenuhnya akan diterima. Anda haruslah telah divaksin sepenuhnya dan telah melepasi tempoh matang serta diklasifikasikan sebagai status “Risiko Rendah” atau “Kontak Kasual Tanpa Gejala” di aplikasi MySejahtera untuk meneruskan perjalanan anda.
- AirAsia telah mewajibkan daftar masuk kendiri melalui airasia Super App untuk meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang. Mendaftar masuk kendiri amat mudah dan ianya boleh dilakukan melalui airasia Super App atau laman web airasia.com bila-bila masa 14 hari sebelum penerbangan. Anda hanya perlu mengimbas atau memuat naik sijil vaksinasi atau dokumen kesihatan yang diperlukan semasa proses mendaftar masuk untuk pengesahan segera.Sila ambil maklum:
- Daftar masuk melalui kaunter hanya untuk tetamu kurang upaya, tetamu yang membawa bayi (bawah usia 24 bulan), dan tetamu bawah umur yang terbang sendiri.
- Caj daftar masuk kaunter akan dikenakan kecuali untuk kategori tetamu yang dinyatakan di atas.
- Pastikan anda tiba lebih awal di lapangan terbang. Para tetamu digalakkan untuk tiba sebaik-baiknya 4 jam sebelum masa berlepas untuk memenuhi semua proses yang diperlukan. Pasukan khidmat pelanggan kami bersedia membantu sebarang pertanyaan dari tetamu.
- Pakai pelitup muka sebelum, semasa dan selepas penerbangan. Pakai pelitup muka perubatan jenis tiga lapis seperti yang disarankan pihak berkuasa kesihatan, atau gunakan pelitup muka berganda untuk perlindungan yang lebih baik. Pelitup muka dengan injap terbuka tidak dibenarkan di dalam penerbangan AirAsia.
Berikut adalah beberapa tip bagi anda mendapatkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan lancar bersama AirAsia.
- Manfaatkan airasia Super App sepenuhnya. Bagi yang belum memuat turun aplikasi ini, kami sarankan anda berbuat demikian sekarang. Ia adalah satu-satunya aplikasi perjalanan yang anda akan perlukan, bermula dengan tempahan penerbangan dan penginapan, daftar masuk, pengesahan dokumen kesihatan sehinggalah kepada pas masuk elektronik dan pelbagai perkhidmatan semasa dalam penerbangan. Jika anda membuat perjalanan berkumpulan atau bersama keluarga, sila pastikan setiap tetamu mempunyai airasia Super App pada telefon pintar mereka. (Psst… Inilah aplikasi bagi anda mendapatkan tawaran promosi perjalanan terhebat dan menikmati pelbagai perkhidmatan lain untuk gaya hidup anda.)
- Pastikan anda telah memuat turun aplikasi MySejahtera. Ini adalah aplikasi yang mesti dimiliki oleh semua rakyat Malaysia. AirAsia juga telah mengintegrasikan aplikasi ini dengan airasia Super App supaya anda boleh mengesahkan sijil vaksinasi dengan mudah sebelum anda melakukan perjalanan. Anda juga pasti memerlukan aplikasi ini apabila melawat dan mendaftar masuk di destinasi anda.
- Cetak tag bagasi melalui kiosk tanpa sentuhan di lapangan terbang dan daftar masuk bagasi secara kendiri. Jika anda mempunyai bagasi daftar masuk, jangan lupa untuk membuat pra-tempahan dalam talian semasa membeli tiket penerbangan atau sehingga 4 jam sebelum penerbangan anda untuk menikmati penjimatan terbaik. Selepas mendaftar masuk secara kendiri, anda boleh mengimbas kod QR pada pas masuk elektronik anda untuk mencetak tag bagasi di kiosk dan kemudian mendaftar masuk bagasi secara kendiri.
- Perlepasan secara berperingkat. Untuk memastikan kelancaran dan meminimumkan sentuhan sesama para tetamu dan dengan kru kabin, perlepasan akan dilakukan dari barisan belakang (Zon 2), diikuti dengan barisan tengah (Zon 3) dan akhir sekali barisan hadapan/Hot Seats (Zon 1). Proses turun dari pesawat juga akan dibuat secara berperingkat setiap 3 barisan.
- Terus berhubung dengan AirAsia WiFi semasa penerbangan. Kini anda boleh merujuk menu sajian Santan, katalog Bebas Cukai, majalah penerbangan, serta menikmati kandungan hiburan digital secara percuma menggunakan peranti anda sendiri. Dengan internet berkelajuan tinggi kami, anda juga boleh berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan, dan mengakses perkhidmatan airasia Super App yang lain semasa penerbangan.
- Pembayaran tanpa sentuhan. Semua kaunter perkhidmatan AirAsia di lapangan terbang di Malaysia kini menerima pembayaran digital menggunakan e-dompet, perbankan dalam talian dan transaksi kad kredit/debit.
Akhir sekali, sila ambil maklum perkara-perkara berikut supaya anda mendapat ketenangan fikiran sepanjang perjalanan.
- Hanya kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya akan bertugas. Semua penerbangan AirAsia hanya akan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal.
- Penapis Udara Berkecekapan Tinggi (HEPA). Udara di dalam pesawat sentiasa mengalir dari siling ke bawah sebelum diserap oleh penapis HEPA berkecekapan tinggi yang biasanya digunakan di dewan pembedahan hospital. Semua pesawat AirAsia dilengkapi dengan penapis HEPA yang berkuasa menapis 99.99% zarah debu dan bahan cemar udara termasuk virus dan bakteria. Udara kabin disegarkan sepenuhnya pada setiap tiga minit untuk memastikan kualiti udara tertinggi sepanjang penerbangan anda.
- Pembersihan pesawat secara menyeluruh. Semua pesawat AirAsia disanitasi selepas setiap penerbangan dan setiap malam pula akan menjalani prosedur pembersihan menyeluruh selama 2 jam seperti yang disarankan pihak berkuasa.
- Penyediaan sajian dalam penerbangan mengikut peraturan ketat. Pastikan anda membuat pra-tempahan sajian dalam penerbangan terlebih dahulu, kerana hidangan yang tersedia semasa penerbangan mungkin terhad kerana kami ingin memastikan standard kebersihan dan keselamatan tertinggi sepanjang masa. Makanan atau minuman dari luar tidak dibenarkan di dalam semua pesawat AirAsia.
AirAsia merupakan salah satu penerbangan pertama di dunia yang menerima pengiktirafan tertinggi 7/7 daripada pakar-pakar penerbangan di Airlineratings.com berikutan langkah-langkah keselamatan Covid-19 yang dilaksankannya sejak pandemik bermula.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan daftar masuk kendiri dan cara untuk mengesahkan sijil vaksinasi, layari Halaman Sokongan AirAsia di sini. Untuk membuat perubahan penerbangan, klik di sini untuk menghubungi AVA, dan untuk status penerbangan terkini, layari airasia.com/flightstatus.
Maklumat terkini mengenai promosi dan pengumuman oleh AirAsia boleh didapati di airasia Super App atau dengan melawat platform media sosial kami.
Untuk pengalaman perjalanan yang lebih baik dan lancar, muat turun airasia Super App melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery sekarang.