Meraikan Hubungan Harmoni Serantau
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
KONSERT Setiakawan 2 membuka tirai menerusi persembahan lagu Memori oleh Yuni (dari kiri), Maiya, Misha dan Fairuzneezan.
HUBUNGAN akrab stesen televisyen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan rakan-rakan serantau tidak perlu dipertikaikan lagi. Semenjak diasaskan 62 tahun lalu, RTM dengan mudah menerima penghormatan untuk menjadi perintis kepada pelbagai acara yang melibatkan kerjasama serantau.
Lalu, apabila Konsert Setiakawan anjuran RTM hujung minggu diadakan buat kali kedua, stesen berkenaan seharusnya berbangga kerana rasa hormat rakan-rakan jiran tetangga buatnya masih tinggi. Diadakan secara percuma di kawasan terbuka di tengah-tengah Kuala Lumpur iaitu di Dataran Merdeka, sokongan warga kota biarpun agak dingin namun secara umumnya berjaya mencapai matlamat penganjuran.
Objektif Konsert Setiakawan 2 diterbitkan dengan hasrat untuk mengeratkan semangat persahabatan antara tuan rumah dengan Indonesia, Singapura dan Brunei. Dan kerana itu, bintang-bintang yang dihantar oleh stesen televisyen dari tiga negara lain itu juga tidak kurang hebatnya selain Malaysia yang diketuai oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Tidak ketinggalan rakan-rakan seperjuangan Siti seperti kumpulan Sofaz, Adibah Noor, Misha Omar, David Arumugan, Elyana, Suki, Izwan Pilus dan Prem Nath turut mengambil bahagian. Negara Republik Indonesia diwakili oleh penyanyi tersohornya, Yuni Shara sementara Singapura membariskan tiga nama besarnya iaitu Ahli Fiqir, Ferhad dan Maya Rahman.
Brunei, walaupun industri hiburannya tidak sehebat Malaysia, namun ia tidak ketinggalan diwakili oleh penyanyi Fairuzneezan. Kehadiran nama-nama besar dalam industri muzik keempat-empat negara bagi RTM merupakan manifestasi terhadap kerjasama erat yang terjalin selama ini.
“Konsert Setiakawan 2 berbeza dengan penganjuran konsert komersial yang lain. Hasratnya untuk meraikan keharmonian antara masyarakat di keempat-empat negara jiran,” itu penjelasan Penerbit Konsert Setiakawan 2, Ain Sabrina Onn mengenai penganjuran konsert kali kedua itu.
Lalu, apabila Konsert Setiakawan 2 mendapat sambutan dingin daripada warga kota, Ain tidak mahu meletakkan kesilapan kepada mana-mana pihak. Sebagai sebuah stesen yang sentiasa meletakkan kualiti dan reputasi di kedudukan teratas, Ain dan seluruh team produksi Konsert Setiakawan 2 pada masa yang sama juga sentiasa realistik dengan situasi semasa.
Selain dibatasi dengan faktor hujan lebat di Kuala Lumpur pada sebelah petang serta pengaruh konsert mingguan program realiti Akademi Fantasi dan perlawanan bola sepak antara Kedah dan Selangor menyebabkan Konsert Setiakawan 2 seperti dipinggirkan. Mengulas situasi tersebut, Ain berkata, pihaknya sentiasa peka dengan situasi semasa setiap kali menjayakan persembahan mega.
“Kami sudah menjangkakan dari awal situasi sebegini akan berlaku. Ini kerana kita terpaksa berhadapan dengan persaingan lain. Namun, tanggungjawab harus dilaksanakan dan kami tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah tarikh konsert,” ujar penerbit muda berjiwa besar itu kepada Hits ketika ditemui sejurus selepas konsert berakhir.
Kata Ain, perancangan penganjuran Konsert Setiakawan 2 sudah lama diatur dan RTM tiada pilihan melainkan meneruskan rancangan itu.
“Kita tidak boleh sesuka hati menukar tarikh konsert disebabkan ia sudah lama dirancang dan kebetulan ia diadakan sempena ulang tahun ke-62 RTM pada 1 April lalu. Jadi, lebih manis jika ia tidak diubah,” jelas penerbit itu lagi.
Bagaimanapun, Ain gembira kerana hampir 5,000 warga kota yang menonton konsert berkenaan tempoh hari berpuas hati dengan persembahan artis-artis tersebut.
Sebilangan besar daripada artis pada malam itu memberikan persembahan yang baik selain beberapa persembahan artis yang kurang memberi impak. Sebagai contoh kehadiran kakak Kris Dayanti, Yuni Shara sedikit menjejaskan mood khalayak yang menonton. Tatkala berduet dengan Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa, Yuni Shara terlupa lirik dan begitu seronok menyanyikan lagu tersebut dengan gaya tersendiri.
Dari satu sudut, sememangnya tindakannya dilihat bagus kerana berjaya menutup kesalahannya tapi dari sudut lain tindakannya itu membuatkan khalayak yang menyaksikan konsert itu hilang tumpuan. Mungkinkah Yuni tidak punya waktu yang cukup untuk membuat latihan kerana difahamkan dia baru saja tiba dari Jakarta pada sebelah pagi sedangkan konsert berlangsung pada waktu malam?
Konsert Setiakawan 2 membuka tirai menerusi persembahan lagu Memori oleh Yuni, Maiya, Fairuzneezan dan Misha Omar.
MENARIK
Manakala nyanyian David Arumugam, Ferhad, Ahli Fiqir, Adibah Noor berjaya menarik perhatian orang ramai. Kebijaksanaan penyanyi-penyanyi profesional itu membuat pilihan lagu memberikan manfaat yang cukup besar pada mereka.
Kala mereka ralit di pentas menghiburkan peminat, yang menonton pula bukan saja terpaku bahkan turut menyanyi bersama-sama. Sementara kemunculan Suki, Prem Nath, Izwan Pilus Elyana dan Sofaz pula saling tidak ubah seperti penghias konsert pada malam itu.
Persembahan mereka bolehlah dikatakan biasa-biasa sahaja sama seperti yang pernah kita saksikan sebelum ini. Dalam pada itu pengacara konsert Zul Yahya dan Sharifah Shahira cukup bijak menghiburkan warga kota dengan lawak spontan.
Kalau sudah namanya pengacara berpengalaman, mereka tidak ada masalah untuk membuatkan penonton ketawa menyaksikan gelagat mereka. Dan sudah tentu persembahan penghibur kesayangan ramai, Siti Nurhaliza tidak perlu diperkatakan lagi.
Personanya berjaya menarik peminat untuk mendekati pentas pada malam itu. Memilih dua buah lagu popularnya, Ku Mahu dan Pastikan, aura Siti masih belum pudar. Apa pun usaha RTM menganjurkan konsert tersebut merupakan satu usaha yang patut dikenang dalam memberikan sebuah hiburan percuma kepada khalayak peminat seni tempatan.
Kegembiraan para penghibur dan penonton Konsert Setiakawan 2 tempoh hari juga terganggu dek masalah sistem audio yang tidak berfungsi dengan sempurna. Sepanjang konsert berkenaan berlangsung, kelemahan sistem audio sangat ketara dan menjejaskan kelancaran persembahan. Sesekali, suara penyanyi tenggelam timbul selain muzik iringan juga seakan-akan tidak senada dengan nyanyian mereka. Kesulitan itu kata Ain berlaku disebabkan masalah cuaca.
“Beberapa jam sebelum konsert berlangsung, hujan turun lebat di Kuala Lumpur dan keadaan itu menyebabkan sistem audio terganggu. Oleh kerana ia berlaku di saat-saat akhir, kita tak dapat nak memperbaikinya dalam masa terdekat,” terang Ain mengharapkan pengertian semua pihak.
Biar di sebalik kesulitan yang diharungi, namun komitmen dan kerja keras RTM dalam mengotakan janjinya terhadap warga kota tetap dilaksanakan sebaik mungkin.
Kalau sudah namanya stesen berpengalaman, segala halangan dan rintangan bukan masalah besar bagi stesen berkenaan. Moga-moga usaha RTM merai keharmonian hubungan persahabatan serantau mencapai matlamatnya.
Artikel kredit: Utusan Malaysia
[tags]siti bertudung, konsert setiakawan 3, poster siti, wallpapers siti nurhaliza, awek bertudung, awek indon, busana muslim, fesyen muslimah, fesyen pengantin, fydo, gadis bertudung, gaya bertudung selebriti, manchester united girls, sembahyang solat hajat, audi quattro, beego, beetle, bmw cars, daihatsu terios, gambar perodua baru, golf gti, mpv proton baru, new volvo 2008 facelift, performance, cars, gambar perodua kembara, satria neo, torque, toyota rush, volkswagen passat, sharlinie, singapore gp, urusan, pengantin[/tags]