Ia adalah langkah lebih tegas berbanding sebelumnya di mana YouTube hanya menyekat berita palsu berkaitan COVID-19.
Dalam kenyataan rasmi mereka, polisi terbaru ini akan dikuatkuasakan terhadap vaksin yang telah diluluskan dan disahkan selamat serta berkesan oleh pihak berkuasa tempatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO).
Selain COVID-19, polisi baru YouTube ini akan turut memantau sebarang salah maklumat berkaitan imunisasi untuk wabak seperti campak, Hepatitis B dan influenza. Jika ditemui, YouTube akan terus membuangnya dari platform mereka tanpa disoal.
Antara jenis kandungan yang akan dibuang oleh YouTube adalah kandungan yang menyatakan vaksin yang telah diluluskan tidak berkesan, atau dikaitkan dengan kesan sampingan yang kronik.
YouTube juga telah menyekat kandungan merbahaya seperti meminum minyak turpentin boleh memulihkan penyakit.
Sebagai langkah tambahan, YouTube juga dikatakan telah menyekat saluran yang dikaitkan dengan aktivitis anti-vaksin terkenal seperti Robert F Kennedy Jr and Joseph Mercola. Menurut YouTube, mereka telah membuang lebih daripada 130,000 video sejak tahun lepas kerana melanggar polisi YouTube mengenai kandungan vaksin COVID-19.