in ,

Drama Bersiri Seruan Kasih Lakonan Eira Syazira

LARA HATI EIRA SHAZIRA DALAM DRAMA BERSIRI SERUAN KASIH DI TV1

Bergelar ibu tunggal bukanlah semudah yang disangka. Apatah lagi bagi saudara baru seperti Melisa. Namun segalanya dijalani dengan tabah dan liku cabaran dalam hidupnya cuba diharungi Melisa dengan hati yang terbuka. Konflik cinta tiga segi dihadapinya ditambah pula seorang diri membesarkan anak tunggalnya, Akil semakin mematangkan Melisa. Tambahan pula dirinya diburu bekas suami yang ingin merebut kembali cintanya.

Segalanya melatari drama bersiri Seruan Kasih yang menyaksikan Eira Syazira menjayakan watak sebagai Melisa dengan dibantu oleh Ako Mustafa, Acong Sweet Child, dan Kismah Johar yang telah menemui penonton sejak 23 Februari lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 9.00 malam di TV1.

Eira Syazira

Disiarkan mengisi slot Mahligai, plot drama Seruan Kasih bermula dengan watak Melisa seorang perempuan muaalaf telah ditukarkan mengajar di sebuah sekolah di kawasan kampung. Melisa berpindah ke kampung bersama dengan anaknya, Akil. Di dalam perjalanan ke rumah kawan baiknya Shima, Melisa terlibat dengan satu pergaduhan di sebuah kedai milik Mak Jah. Di situlah bermulanya perkenalan antara Melisa, Mak Jah, dan Nahar. Dalam diam Nahar mula jatuh cinta pandang pertama dengan Melisa. Dalam pada itu Nahar yang berkawan baik dengan Zakri anak Mak Jah melaporkan kepada Zakri tentang kejadian yang menimpa kedai ibunya. Zakri pulang ke kampong dan dari situlah bermulanya perungkaian rahsia antara Zakri dan Melisa.

Zakri pula telah sampai di kampong dan berjumpa dengan Nahar. Manakala Melisa pula trauma dengan kejadian yang menimpa dan masih teringatkan apa yang diperkatakan oleh Nahar tentang nama “Zakri”. Melisa tidak pasti adakah dia betul-betul berada di kampong Zakri atau sebaliknya. Nahar mula menceritakan hal Melisa dengan Zakri tapi Zakri tidak ambil kisah kerana masih bimbangkan keselamatan ibunya.

Melisa masih lagi tidak pasti tentang hubungan Mak Jah dengannya. Dalam pada itu Kak Nor orang yang bertanggung jawab menjaga Akil mula membawa Akil berjalan-jalan ke rumah Mak Jah. Melisa tidak suka dengan situasi itu. Ini kerana Melisa bimbang sekiranya benar Mak Jah itu ibu Zakri, pasti Akil akan diambil daripadanya. Dalam pada itu, Milah tunang Nahar datang ke kampong Nahar. Puan Rosnah ibu Nahar begitu teruja dengan kehadiran Milah.

Melisa pula berjumpa dengan bapa saudaranya Ah Kooi di hardware. Ah Kooi tidak tahu yang Melisa sudah bertukar agama. Ketika di hardware Melisa terjumpa dengan Nahar. Mereka mula berkenalan di situ. Nahar semakin jatuh cinta dengan Melisa. Ketika Nahar pulang ke rumah, dia terkejut melihat Harun sedang berbual mesra dengan Milah.

Nahar membuat pengakuan kepada Puan Rosnah dan Pak Shaari yang dia tidak cintakan Milah dan mula jatuh hati dengan Melisa. Puan Rosnah bengang dengan pengakuan Nahar itu. Melisa pula mengaku dengan Shima yang dia mula ada perasaan terhadap Nahar.

Teman wanita Zakri, Nina pula terus mendesak Zakri cepat memperisterikannya. Namun Zakri cuba mencari helah melambatkan lagi perkahwinan. Ini kerana Zakri masih cintakan Melisa, bekas isterinya. Manakala Harun pula semakin tergila-gilakan Milah. Pelbagai peluang diambil untuk mendekatkan diri dengan Milah. Tanpa di rancang Harun dan Milah ternampak Nahar sedang bermesra dengan Akil anak Melisa.

Milah jadi semakin marah dan sedih. Harun mengambil peluang ini untuk lebih merapatkan diri dengan Milah. Harun terkejut bila Puan Rosnah cadangkan untuk mempercepatkan tarikh perkahwinan antara Milah dan Nahar.

Zakri berjaya jumpa Melisa di rumah. Zakri merayu dengan Melisa. Zakri dan Melisa berbincang tentang hidup mereka. Melisa mula meluahkan apa yang tersimpan di hatinya selama ini. Zakri rasa terkilan kerana hilang di saat Melisa sedang mengandungkan Akil anak mereka. Zakri semakin rasa bersalah. Zakri mahu berbaik dengan Melisa untuk masa depan anak mereka tapi Melisa masih berat hati lagi. Dalam masa yang sama, Nina dan Mak jah sibuk mencari Zakri. Ketika Nina dan Nahar sedang tunggu Mak Jah di hadapan rumah Shima, mereka telah ditangkap khalawat. Mereka tergamam.

Lalu apakah yang terjadi seterusnya? Apakah percaturan jodoh yang ditentukan Allah diterima mereka sepenuhnya dengan redha? Saksikan kesudahannya menerusi Seruan Kasih di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yana Samsudin Jadi Wanita Mualaf dalam Nurin Qistina

Teater Bangsawan Siti Zubaidah Di Panggung Bandaraya