Selepas namanya digugurkan dari drama yang mempunyai 100 episode, Rita Rudaini mendakwa terdapat sebuah lagi produksi drama telah membatalkan penglibatannya semata-mata mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Rita juga mempersoalkan mengapa perlu dikenakan ujian swab COVID-19 sekiranya indvidu tersebut telah divaksin.
Menerusi hantaran dalam InstaStory, Rita mendakwa pengguguran namanya itu dilihat ada kaitan dan unsur diskriminasi antara penerima vaksinasi dengan individu yang belum mengambil suntikan tersebut.
“Sekali lagi saya digugurkan dari job yang sudah lama pasti. Hanya kerana SOP MKN, SOP diskriminasi. Kenapa perlu ada ujian calitan lagi nak bekerja jika dah vaksin?
“Sama sahaja dengan SOP sebelum sampainya vaksin ini, semua patuh SOP perlu membuat ujian calitan dahulu sebelum kerja. Jadi apa bezanya dengan sekarang? Jangkit? Pembawa? Bukan ke yang vaksin pun boleh jadi pembawa. Apa bezanya?
“Okey, bezanya memang nak ‘paksa’ walaupun kata ‘tidak wajib. Bezanya sekarang Malaysia negara diskriminasi.
“Yang dalam kesusahan sampai kena naik bendera putih, tak nak pergi cari. Belum vaksin ini pula kerah usaha pergi cari rumah ke rumah,” luahnya panjang lebar.
– Rita Rudaini
Pada hantaran sama, pemilik nama sebenar Rita Rudaini turut mendedahkan ada pihak yang menawarkan kepadanya vaksin palsu, namun ditolaknya dengan alasan mahu mencari rezeki halal.
“Ada pihak menawarkan kepada saya vaksin tipu-tipu untuk senang bekerja. Tetapi maaflah, saya mencari rezeki dengan ikhlas. Saya tidak perlu nak tipu diri sendiri dan juga orang lain hanya untuk memuaskan SOP kerajaan.
“Kerana rezeki kita semua di muka bumi ini, Allah yang pegang. Bagi saya, ini satu ujian Dia kepada saya. Dia ingin melihat saya sabar atau kecundang dengan ujianNya.
“Rezeki kita semua sudah tertulis dan saya percaya dengan aturanNya, Dia gugurkan sehelai daun pun ada sebab. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua,”
– Rita Rudaini
Bagaimanapun, pelakon itu menegaskan dia telah menolak tawaran berkenaan kerana mahu mencari rezeki dengan ikhlas dan tidak mahu tipu diri sendiri dan puaskan SOP kerajaan.
Terdahulu, nama pelakon filem Mami Jarum Junior itu menjadi bualan netizen dalam Twitter selepas didakwa sebagai anti vaksin apabila ada pengguna memuat naik tangkap layar InstaStorynya memaparkan dia sedang merebus bunga cengkih.
Malah, ibu tunggal kepada dua cahaya mata kelahiran Perlis Indera Kayangan itu turut bertindak menyiar semula beberapa hantaran yang seakan menguatkan dakwaan dirinya tidak percaya dengan vaksin Covid-19.
Rita juga pernah bersuara membidas tohmahan seorang pengacara televisyen yang mendakwa dirinya sebagai seorang anti vaksin dan kerap menyebarkan dakyah berkaitan perkara berkenaan.
Rita turut pernah mendedahkan namanya digugurkan salah satu produksi selepas menimbulkan tanda tanya ramai pihak mengenai kesahihan pernah ditolak daripada naskhah 100 episod.