Aktivis dan penyanyi rap Caprice bertemu dengan selebriti media sosial, King Coco selepas kontroversi posting di laman Instagram miliknya baru-baru ini yang mengusik wanita tersebut berhubung berita perceraian dengan bekas suami.
Ada netizen cuba menjodohkan penyanyi rap Caprice dengan pemilik media sosial, King Coco.
Ibu tunggal dua anak ini walau bagaimanapun berkata dia tidak berminat dan penyanyi rap itu tidak mempunyai ciri-ciri lelaki pilihannya.
Terbaru, Caprice menerusi hantarannya di media sosial didapati telah bertemu empat mata dengan King Coco.
Menerusi satu perkongsian video di Instagram, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dilihat duduk santai berbual dengan wanita berusia 23 tahun itu dipercayai di sebuah pejabat miliknya.
Sebelum ini, kedua-duanya menjadi usikan dalam kalangan warganet kerana mempunyai persamaan ‘pelat’ dengan slang ‘mat salih’ apabila berbual dalam bahasa Melayu.
Sebelum ini mereka dipercayai berhubung di ruangan Direct Message di mana Caprice menjelaskan situasi gurauan panggilan video di dalam bilik air.
Dalam pertemuan itu, Caprice mencabar King Coco baca kisah ‘Sang Kancil dan Buaya’ untuk mendapat tahu siapakah yang paling pelat di antara mereka.
Caprice menyifatkan bahasa Melayu King Coco yang lahir serta dibesarkan di Kuala Lumpur agak teruk berbanding dirinya yang dibesarkan di luar negara.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya teruja melihat pertemuan berkenaan serta berseloroh supaya Caprice bertemu jodoh dengan Coco, atau nama sebenarnya Marshaira Ismail kerana dilihat serasi.
Selain itu, ada juga individu berpendapat aktivis itu kononnya mahu ‘memujuk’ semula wanita tersebut selepas tidak sengaja membuat posting berbaur sindiran dan gangguan seksual sebelum ini sehingga mengundang kecaman ramai.
Terdahulu, Caprice memuat naik satu tangkapan skrin berita mengenai penceraian Coco dengan menulis kapsyen kurang sesuai sebelum menukarnya kepada ayat yang lebih sopan.
Bagaimanapun, Coco tidak berkecil hati dan memahami bahawa sindiran berkenaan ditujukan kepada orang lain selain memberikan kata-kata nasihat kepada Caprice.