Lebih bermakna, video yang memaparkan temubual bersama pencipta lagu itu, Manan Ngah dan penulis lirik, Lukhman S, dimuat naik Francissca atau lebih mesra disapa Fran pada hari ulang tahun kelahiran yang ke-60, hari ini.
Selain mahu mengembalikan nostalgia peminat terhadap lagu ikonik itu, Fran meluahkan rasa terharu kerana Sekadar Di Pinggiran meletakkan dirinya pada kedudukan sekarang.
“Terima kasih atas sokongan diberi dan mengekalkan legasi saya dalam industri seni menerusi lagu ini. Terima kasih Manan kerana mencipta melodi yang cukup cantik komposisinya.
“Terima kasih kepada Lukhman kerana menghasilkan lirik yang bukan sahaja indah, malah penuh makna.
“Setinggi penghargaan turut diberikan kepada rakan dan peminat kerana sudi berkongsi kenangan mereka mengenai lagu ini,” luahnya dalam video durasi kira-kira 40 minit itu.
Mengimbau detik pembikinan karya sentuhannya itu, Manan mendedahkan Sekadar Di Pinggiran banyak menghadiahkan kenangan manis kepada mereka.
“Saya fikir 35 tahun bukanlah jangka masa yang pendek. Saya bersyukur jika benar lagu itu dianggap sebagai malar segar.
“Proses rakaman lagu ini mengambil masa kerana pada waktu itu, kerja dilakukan secara analog, bukannya digital seperti sekarang.
“Situasi itu menguji kreativiti dan kesabaran kami. Malah, ia mengajar untuk sentiasa bertolak ansur dalam menghasilkan sebuah kolaborasi seni,” katanya.
Tambahnya, kemuncak kejayaan Sekadar Di Pinggiran adalah apabila karyanya itu memenangi trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) 1986 diikuti Juara Festival Lagu Asean di Kuala Lumpur pada 1987.
“Seperti suatu penghargaan buat kami apabila lagu ini masih lagi didengar selepas 35 tahun pembikinannya. Saya percaya lagu ini dekat di hati anda semua.
“Semua orang ada kenangan manis yang boleh dikaitkan dengan lagu ini. Mungkin ia pernah menjadi peneman ketika anda semua masih belajar atau mengisi cerita cinta anda,” katanya yang pernah menerbitkan tiga album solo Fran sebelum ini.
Sementara itu, Lukman mengakui karya itu bukan sahaja bersifat peribadi buatnya, malah lirik yang dihasilkan menyimpan kisah mengusik perasaan.
“Lagu Sekadar di Pinggiran menyaksikan pembabitan awal saya dalam industri muzik hingga ke saat ini. Saya bersyukur kerana masih terus diberi ilham untuk berkarya.
“Kalau kita ungkap setiap baris yang ada pada untaian itu dan hayati setiap melodinya, lagu ini benar-benar mencengkam jiwa terutama bahagian ‘jantung’ lagu itu yang menyebut lirik ‘hati sedih, hati pedih’.
“Paling cantik apabila pada penghujung rangkap lagu ini, ada kesimpulan yang cukup manis. Tidak semua impian kita akan kesampaian.
“Kita kena mengalah demi kebaikan bersama. Itulah hakikat kehidupan yang harus diterima,” katanya menterjemahkan simbolik karya agungnya itu.
Teruja dengan penghargaan yang diberi, Lukhman yang banyak menghasilkan lirik dendangan artis popular ini mengharapkan legasi kejayaan itu dapat diteruskan penyanyi pelapis.
“Saya mengharapkan industri muzik kita akan terus berkembang dan melahirkan generasi baharu yang menghasilkan muzik berwibawa, berkualiti dan mampu diterima pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Lagu Sekadar Di Pinggiran dimuatkan dalam album ketiga penyanyi berketurunan Serani itu yang menggunakan judul sama.
Tahun lalu, Fran yang mengabdikan diri dalam dunia seni lebih empat dekad menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 atas sumbangan besar terutama menjadi perintis kepada penguasaan penyanyi bukan Melayu dalam dunia seni suara bagi genre balada wanita.
Sumber: Berita Harian