Strategi Samsung tahun ini ialah melancarkan peranti dua skrin boleh-lipat serentak dengan spesifikasi hampir sama tetapi saiz yang berbeza. Jika Z Fold3 menyasarkan pengguna yang ingin melakukan kerja ketika di luar dengan skrin lebih besar, Z Flip3 ialah peranti yang menyasarkan pengguna yang ingin bergaya dan mengamalkan prinsip minimal dalam hidup mereka.
Terkenang Semasa Dulu
Apa-apa pun, sewaktu melihat depan mata dan memegang sendiri Samsung Galaxy Flip3, membuatkan Budiey terkenangkan kembali zaman milenial, tahun 2005 kalau tak silap, pernah sekali Budiey beli telefon bimbit lipat ni. Nostalgik betul!
Masa tu, Budiey rasa teruja sebab dapat meneliti dengan lebih dekat teknologi skrin lipat ini. Tetapi dalam masa yang sama agak skeptikal untuk menggunakannya setelah sekian lama memiliki telefon dengan skrin rata. Timbul persoalan, berapa kali dalam sehari kita akan lipat telefon bimbit itu sebab kita kan selalu je mengadap telefon bimbit ni boleh dikatakan 24 jam, sepanjang masa akan tengok Whatsapp dan melihat kemaskini di sosial media kan?
Bagi sesetengah orang nak lipat melipat ni bagi diorang sesuatu yang melecehkan. Bagi mereka, semua perkara nak cepat. Akan tetapi tidak pada Budiey, sebab lipat melipat tu Budiey anggap satu terapi.
Mengapa Perlu Pakai Telefon Lipat?
Di zaman yang serba nak cepat ini, rekaan telefon bimbit juga diambil kira. Kita dapat lihat, Samsung kerapkali mengeluarkan peranti yang semakin menarik, kompak, tahan lasak, kalis air dan mesra pengguna dengan pengenalan skrin sekunder yang lebih besar.
Samsung Galaxy Flip3 dilahirkan untuk menyelesaikan beberapa isu besar pada Z Flip dan Z Flip 5G dan pada waktu yang sama ditawarkan pada harga yang membuatkannya menjadi pilihan lebih logikal apabila dibandingkan dengan peranti pintar mercu lain di pasaran.
Jelas terbukti, engsel untuk Galaxy Flip3 adalah lebih baik berbanding model pertama dahulu dimana ia lebih nipis dan ruang ketika dilipat lebih kecil.
Dikatakan, engsel yang diperbuat dari Armor Aluminium ini dapat dirasakan lancar untuk dibuka tutup. Apabila dibuka, anda seperti menggunakan telefon pintar biasa, seakan terlupa ia sebenarnya telefon flip. Hebat bukan?
Spesifikasi IPX8
Rata-rata telefon bimbit sekarang ini didatangkan sekali dengan ciri kalis air, jadi pengguna tidak perlu lagi bimbang jika terperangkap dalam hujan atau terjatuh dalam air.
Spesifikasi IPX8 ini berdasarkan ujian dilakukan dengan kedalaman air sehingga 1.5 meter untuk tempoh sehingga 30 minit. Hebat Bukan!
Tak macam keluaran sebelum ini, ramai pengguna takut untuk terkena air kerana takut rosak kerana dimasuki air. Untuk keluaran terbaharu ini, anda jangan risau ya!
Buatan Yang Utuh & Premium
Badan peranti seberat hanya 183 gram ini juga dibina dengan Armor Aluminium baharu iaitu aluminium terkuat yang pernah digunakan pada telefon pintar Galaxy berserta skrin Corning® Gorilla® Glass Victus™ yang paling utuh untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.
Galaxy Z Flip3 5G dihasilkan dengan mekanisme lipatan ditambah baik lagi bagi membolehkan lipatan yang lebih kemas sekali gus membuatkan peranti menjadi lebih nipis pada kedudukan tertutup.
Selain itu, kedua-dua peranti mempunyai filem pelindung baharu diperbuat daripada PET 5 yang boleh regang dan lapisan panel paparan yang dioptimumkan menjadikan Skrin Utama 80% lebih tahan lama berbanding peranti sebelumnya.
Skrin Dynamic AMOLED ini menyokong kadar segar semula 120Hz, tatalan dibuat dengan licin. Penggunaan dalam dan luar fizikalnya juga terang jelas tanpa sebarang gangguan. Mudah kata, skrin ini menghasilkan warna yang cantik, tajam serta cukup perincian dan setanding dengan model-model andalan yang dijual pada paras harganya.
Ukuran & Saiz
Kalau korang bezakan dengan peranti lain, peranti Flip3 ini dirasakan agak panjang. Jadi, untuk nisbah 22:9, mungkin korang akan rasa macam payah untuk penggunaan sebelah tangan. Mungkin agak kekok sikit…. Tapi jangan risau, korang boleh gunakan mod sebelah tangan. Anda cuma perlu leretkan sahaja dibahagian tengah bawah dan paparan akan mengecil sedikit. Memudahkan menu-menu yang berada diatas skrin dicapai. Mod sebelah tangan boleh diakses dengan menekan butang home sebanyak 3 kali boleh diakses pada bila-bila masa. Cukup mudah!
Apa-apa pun ciri ini tetap memberi faedahnya. Pertama, apabila anda menggunakan atau membuka dua aplikasi serentak dengan Split View, saiz tingkap yang digunakan adalah lebih besar. Pada kedudukan mendatar pula, menonton filem dengan nisbah skrin memanjang terasa lebih semula jadi.
Saiz keseluruhan peranti ini mengikut spesifikasi lebih tepat adalah 166.0 x 72.2 x 6.9 mm apabila dibuka dan 72.2 x 86.4 x 17.1 mm apabila dilipat.
Pada panel luaran pula terdapat skrin mini sebesar 1.9″ AMOLED yang lebih besar berbanding 1.1″ tahun lalu. Ini menjadikan skrin luar Flip3 adalah lebih dua kali ganda lebih besar berbanding skrin tahun lalu.
Samsung membawakan sokongan widget yang lebih baik seperti sokongan mengawal muzik, paparan notifikasi lebih besar, paparan cuaca, Samsung Health dan aplikasi merekod audio. Notifikasi boleh dipaparkan tetapi ciri menjawab mesej terus pada skrin kecil tidak diberikan. Pengguna masih perlu membuka telefon terlebih dahulu.
Skrin boleh-lipat peranti ini sebesar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X FHD+ menyokong kadar segar semula 120Hz secara adaptif lengkap dengan lapisan kaca UTG generasi terbaru.
Skrin memaparkan pergerakan yang lancar tetapi pada waktu yang sama mengurangkan penggunaan bateri kerana kadar segar semula diubah secara dinamik.
Bagi pendapat Budiey, apabila dibuka lipatan peranti ini, Budiey dapati ia jadi lebih besar dan memanjang. Ya, ia lebih tinggi dari lebar.
Pada peranti ini sokongan stylus S Pen tidak diberikan dan pada pandangan penulis ciri itu tidak diperlukan kerana kelihatan tidak praktikal kerana fokus utamanya ciri saiz yang mini.
Sesetengah yang mempersoalkan crease line atau garisan lipatan. Memang perkara ni tak boleh dielakkan. Pasti akan nampak oleh mata kasar. Ia hanya kelihatan jelas apabila dilihat pada sisi atau kandungan yang ditonton mempunyai latar belakang berwarna putih. Tapi sebenarnya, tak perlu nak hiraukan sangat garisan lipatan ini. Kadang-kadang kita pun tak perasan garisan lipatan ini ada, betul tak?
Bateri, Pemprosesan & Storan
Secara ringkas, Budiey berpuas hati dengan ketahanan bateri yang boleh bertahan sepanjang hari. Nak cas pun senang dan cepat. Sistem pengecasan yang disokong pula hanyalah 15W yang memerlukan 90 minit untuk mengecas bateri sepenuhnya. Samsung Galaxy Z Flip3 dilengkapi cip Snapragon 888, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 3300 mAh. Pengecasan berwayar adalah hanya 15W dengan nirwayar pula 10W serta pengecasan berbalik 4.5W.
Samsung meneruskan legasinya dalam menerajui peranti boleh lipat dengan proses yang sangat rapi dan teliti untuk mencipta peranti yang boleh dipercayai dan mampu mengekalkan prestasinya walaupun selepas beberapa tahun digunakan.
Revolusi Hideaway Hinge, yang diperkenalkan pertama kali pada Galaxy Z Flip, membolehkan peranti kekal berada pada kedudukannya di sebarang sudut untuk pengalaman pengguna yang inovatif dengan mod Flex.
Terima kasih buat teknologi Sweeper yang ditambah baik, bulu di Hinge kini lebih pendek, membantu untuk menangkis habuk dan partikel kecil lain bagi mengekalkan ketahanan peranti untuk pengalaman pengguna yang lebih lancar.
Z Flip3 juga menjalani ujian lipatan yang sukar, disahkan oleh Bureau Veritas, untuk menahan lipatan sebanyak 200,000 kali. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan cip prosesor 5nm AP yang terbaharu dan keserasian jalur 5G untuk pengalaman terbaik di dalam dan luar.
Rekaan Kemas Yang Ikonik
Galaxy Z Flip3 5G menawarkan satu keseimbangan gaya, fungsi, dan keseronokan tanpa henti kerana penggunanya mampu mengekspresikan diri dengan pilihan warna terang, reka bentuk yang anggun, dan ciri-ciri premium.
Dari reka bentuk ikonik hingga ke hiburan yang mengasyikkan, Z Flip3 menawarkan kepada pengguna cara baharu yang unik untuk bekerja, menonton dan bermain. Rekaan tahun ini lebih rata, padat, nipis dan tahan lasak. Yang penting, ia memang kejap dan sedap terasa di tangan kerana kemasan belakangnya yang tidak berkilat membuatkan peranti tidak terasa licin di dalam tangan. Kalau misal kata peranti ni terjatuh sekalipun, Samsung menjaminkan teknologi Armor Aluminium yang digunakan lebih tasak.
Apa yang menariknya ialah empat pilihan warna yang bergaya ditawarkan iaitu Cream, Green, Lavender, dan Phantom Black. Korang boleh sesuaikan dengan gaya anda tersendiri. e
Bagi anda yang menginginkan peranti penuh gaya berserta pelbagai fungsi, Z Flip3 adalah peranti ideal dengan reka bentuknya yang anggun, kompak, dan bersaiz poket,
Skrin Penutup yang direka semula kini bersaiz empat kali lebih besar dan menjadikannya lebih mudah untuk memaparkan notifikasi dan mesej tanpa perlu membuka Z Flip3.
Pengguna boleh sentiasa mengikuti jadual mereka, memeriksa cuaca, dan memantau jumlah langkah harian mereka dengan widget Skrin Penutup yang baharu atau menyelaraskan gambar hiasan Skrin Penutup dengan Galaxy Watch4 Classic baharu mereka untuk gaya yang sepadan.
Mengenggam peranti kecil ini kadang-kala agak kekok disebabkan saiznya namun ia sentiasa mencuri perhatian umum kerana kebanyakan peranti ketika ini hanya tampil dalam rekaan bentuk segi empat yang hampir sama dan membosankan. Nampak kan perbezaannya. Tak mainla pakai peranti yang besar-besar sampai penuh poket kan?
Dwi Kamera
Berada dalam keadaan terlipat, anda akan lihat sebuah skrin yang berada bersebelahan dwi kamera belakang. Selain notifikasi, skrin paparan kedua ini boleh anda gunakan untuk mengakses beberapa fungsi melalui widget tetapi agak terhad. Seperti contoh membalas emel, anda perlu buka penuh baru boleh balas.
Skrin kedua ini juga berfungsi sebagai viewfinder untuk kamera belakang sewaktu rakaman selfie. Ya, nak selfie lagi mudah sebab skrin yang lebih besar. Bagi rakaman selfie yang lebih cantik hasilnya, saya syorkan anda untuk gunakan kamera belakang. Namun disebabkan saiz ukurannya yang kecil, agak susah sedikit untuk melakukan komposisi rakaman yang baik.
Bahagian kanan disusun dengan butang kuasa yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari serta butang pelaras kelantangan bunyi. Telefon ini panjang (nisbah 22:9), dan apabila dibuka kedua-dua butang ini berada pada kedudukan yang agak leceh untuk ditekan. Jari mengais-ngais untuk mencapai butang-butang ini. Kalau jari korang besar dan panjang, kira okay lah takde masalah sangat.
Menarik untuk butang pelaras kelantangan, fungsinya akan diterbalikkan apabila peranti dilipat. Ini memudahkan kita mengakses pemain muzik dari skrin kedua. Sebab memori kita sudah terbiasa, butang atas untuk kuatkan muzik, butang bawah untuk perlahankan.
Ciri Kamera
Kamera utama pada bahagian belakang adalah kombinasi 12+12 MP f/1.8+f/2.2 (sudut lebar dan ultra sudut lebar) dan kamera swafoto pula sebesar 10 MP f/2.4. Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar f/1.8 dan lensa ultra sudut lebar f/2.2. Kamera hanya menyokong zum secara digital sehingga 10X. Kemampuan rakaman video adalah sehingga 4K 60FPS pada kamera utama dan 4K 30FPS pada kamera hadapan. Kualiti gambar yang diambil adalah amat memuaskan
Dari segi spesifikasi, tiada perubahan dilakukan pada spesifikasi kamera, RAM dan bateri pada Z Flip3 berbanding Z Flip 5G tahun lalu.
Untuk memberikan pengguna lebih banyak pilihan, ciri Labs 18 baharu Samsung menawarkan kepada pengguna kemampuan untuk mengoptimumkan lebih banyak aplikasi ke skrin yang boleh dilipat ketika mereka memerlukannya.
Paling ketara, kelebihan utama peranti ini, anda tidak perlu menggunakan alat sokongan lain seperti tripod atau ‘selfie ring’ untuk membolehkan telefon ini berdiri sendiri. Cuma mungkin ketinggian sahaja yang membezakan.
Apa yang korang perlu lakukan hanya melipat telefon ini dan diletakkan diatas meja atau mana-mana permukaan yang rata untuk mengambil gambar swafoto dengan mudah.
Selain itu, Samsung terus memikirkan semula bagaimana pembangun aplikasi dapat mencipta pengalaman pengguna yang luar biasa dari mana sahaja.
Untuk memberi mereka lebih banyak pilihan selain memastikan pengoptimuman berkualiti tinggi, Samsung menyokong Remote Test Lab (RTL) 19 , yang memberi pembangun aplikasi kemampuan untuk memasang dan menguji aplikasi mereka secara langsung dalam masa nyata, walau di mana sahaja mereka berada.
Audio Yang Memuaskan Hati
Mutu audio peranti Z Flip3 ini boleh dipuji kerana ia dipadukan dengan sokongan stereo dan Dolby Atmos. Ia menghasilkan mutu bunyi yang jelas dan lantang. Jika pasang kuat pun, bunyi tak akan pecah.
Kata Akhir
Bagi Budiey, Z Flip3 ini tidak mengecewakan. Peranti ini sudah mula dibuka untuk pra tempahan bermula 27 Ogos lalu pada harga RM3,999 bagi model 128GB/8GB manakala RM4,199 untuk model 256GB/8GB. Empat warna menarik ditawarkan iaitu Cream, Lavender, Phantom Black, Green manakala tiga warna eksklusif Pink, Grey dan White juga ditawarkan. Kepada pembaca yang nak memiliki peranti ini, Budiey rekemen sangat sebab ia sebuah telefon lipat ‘mampu milik’ yang seronok untuk digunakan. Kenapa mampu milik? kerana lihat sahaja telefon pintar lipat yang lain, lagi mahal dari harga Flip3 ini. Jadi, ia tidak terlalu mahal, berbaloi dengan mutu dan prestasi yang ohsem. Harganya memang munasabah dan tak merepek la kan.