Istilah “rumah” mempunyai beberapa definisi tersendiri – pertama, ia boleh merujuk kepada tempat kita dilahirkan, seperti tanah air kita, Malaysia; ia juga boleh merujuk kepada ruang fizikal yang kita diami, sama ada rumah atas tanah atau bertingkat tinggi.
Pada Hari Malaysia ini, mari kita raikan kedua-duanya dengan mengamati bagaimana kawasan persekitaran di Malaysia telah berkembang sejak beberapa dekad, serta pandangan kita mengenai hartanah, dan cara kita mencari rumah!
Pembandaran: Kampung vs Bandar
Seiring dengan Malaysia menuju ke arah status negara maju, pelbagai transformasi telah dilaksanakan dari segi pembangunan inovatif dan peningkatan infrastruktur. Namun, kawasan kota dan bandar raya utama telah mengalami masalah kekurangan tanah, yang menyebabkan pembangunan mula berpindah ke pinggir kota, dan tempat-tempat yang dulunya merupakan kampung.
Kampung-kampung tersebut kekal sama selama bertahun-tahun, walaupun pembangunan besar semakin pesat di sekitarnya. Namun, apabila ia tidak dapat lagi bertahan dengan perubahan zaman, kawasan desa ini telah diubah menjadi kota-kota moden, sebagai tambahan kepada skap bandar raya yang sudah berkembang.
Salah satu contoh terbaik ialah transformasi Kampung Segambut Dalam, yang terletak di lokasi strategik bersebelahan perbandaran Mont Kiara yang makmur serta menempatkan banyak kediaman mewah bertingkat tinggi dan terkenal sebagai kawasan pilihan ekspatriat. Sekarang kawasan yang dulunya kampung itu boleh dikatakan berfungsi sebagai kawasan tambahan kepada Mont Kiara yang maju.
Walaupun arus pemodenan tidak dapat dielakkan, amat penting untuk menyeimbangkan antara pembangunan bandar dan luar bandar dengan cara yang lestari, bagi melindungi warisan dan budaya tempatan – seperti yang dapat dilihat dalam pemeliharaan kawasan pendesaan Kampung Bahru, dan juga rumah kedai tradisional di Kuala Lumpur, Georgetown, dan Melaka.
Keutamaan: Tinggal bersama Keluarga vs Ruang Peribadi
Dahulu kala, keutamaan bakal pemilik rumah merangkumi pencarian rumah untuk menetap seumur hidup mereka. Hartanah dianggap sebagai pusaka keluarga yang akan diturunkan dari generasi ke generasi, atau sebagai rumah beberapa generasi yang menempatkan keluarga lanjutan untuk tinggal bersama.
Namun, dengan peredaran masa, terdapat perubahan dalam keutamaan dan pemilihan hartanah. Generasi muda kini lebih suka tinggal berasingan daripada keluarga kerana beberapa sebab, seperti memerlukan lebih banyak ruang peribadi, perkahwinan, atau keselesaan, menurut Kajian Sentimen Pengguna H2 2021 PropertyGuru. Mereka lebih cenderung untuk berpindah keluar dari rumah ibu bapa mereka supaya dapat memilih rumah yang lebih sesuai dengan keperluan, gaya hidup, atau keperibadian mereka.
Kajian ini juga mendapati bahawa ramai millennium yang berhasrat membeli rumah teres dua tingkat (26%) dan kondominium (23%).
Pencarian Rumah: Fizikal vs Digital
Pemilikan rumah dianggap sebagai matlamat hidup atau tonggak utama kehidupan bagi hampir semua rakyat Malaysia. Pada zaman sebelum adanya Internet, orang akan mencari rumah secara manual.
Maknanya, mereka mencari iklan-iklan di surat khabar atau melawat di sekitar kawasan perumahan dengan harapan dapat mencari tanda ‘Dijual’, dan berulang kali melakukannya sebelum membuat keputusan. Ianya lebih sukar untuk memahami pasaran perumahan dan membuat perbandingan harga, kerana waktu itu wujud kekurangan data dan ketelusan.
Kini, berkat kemajuan teknologi, golongan pencari rumah dapat mencari pilihan hartanah dengan mudah di platform dalam talian seperti PropertyGuru, dan meninjau beberapa hartanah berlainan bagi mencari satu hartanah yang menepati pilihan dan keutamaan mereka.
Malah, kita tidak perlu lagi hadir secara fizikal untuk melihat hartanah yang diminati, kerana lawatan rumah secara maya semakin meningkat di Malaysia. Menurut Kajian Sentimen Pengguna H2 2021 PropertyGuru, kebanyakan pencari rumah di Malaysia (66%) kini lebih memilih gabungan lawatan secara fizikal dan maya semasa tempoh norma baru. Mereka juga dapat memeriksa sama ada mereka mendapat tawaran yang bagus dengan mengetahui anggaran harga hartanah di kawasan yang mereka kunjungi, melalui laman web seperti PropertyAdvisor!
Malaysia, Rumah Kita
Walau bagaimanapun, yang paling penting, tidak kira era, lokasi, atau jenis hartanah, ada satu perkara yang kekal berterusan – Malaysia adalah rumah kita semua. Selamat Hari Malaysia!