Mengesahkannya, Ketua Pegawai Operasi WAU Animation yang juga penerbit filem Ejen Ali, Faiz Hanafiah berkata, pihaknya dan Primeworks Studios (PWS) perlu mengkaji situasi pasca pandemik COVID-19 bagi memastikan pulangan filem kolaborasi itu tidak mengecewakan.
“Kami sedang fokus dengan pembikinan filem animasi Ejen Ali kedua, namun, ia tidak akan dikeluarkan, tahun ini. Mungkin tahun hadapan ekoran situasi COVID-19.
“Jika diikutkan, kami merancang mengeluarkan penghujung tahun ini atau tahun depan, tetapi situasi pandemik COVID-19 memerlukan perancangan lebih teliti dari segi masa.
“Jadi, kami perlu melihat situasi semasa terlebih dahulu jika ditanya tarikh tepat untuk dikeluarkan. Lagipun, adakah pawagam sudah dibuka ketika itu?
“Kalau pawagam dibuka, adakah penonton dapat kepuasan menonton filem sekiranya pawagam membataskan bilangan penonton yang dibenarkan masuk?,”
– Faiz Hanafiah
Faiz mengulas persoalan perkembangan filem animasi Ejen Ali kedua menerusi sidang media secara virtual, petang ini.
Sidang media diadakan sempena kemenangan filem pendek, Ejen Ali Misi: Juang menerusi kategori Program Televisyen (TV) Kanak-Kanak Animasi 3D Terbaik pada Anugerah Kandungan Asia 2021 di Singapura pada 27 Ogos lalu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Penjenamaan WAU Animation dan pengarah seni filem Ejen Ali, Fuad Md Din.
Faiz berkata, pihaknya juga mengkaji apa cara paling bersesuaian memandangkan banyak platform penstriman dalam talian, selain pawagam.
“Kami perlu kaji cara bersesuaian untuk ditayangkan menerusi pawagam dan platform penstriman dalam talian.
“Jadi, ia tidak mudah dan memerlukan kajian lebih terperinci bersama WAU Animation dan PWS,”
– Faiz Hanafiah
Bagaimanapun, Faiz berkata, pihaknya tidak menolak mempertimbangkan tarikh tayangan sekiranya negara sudah mencapai imunisasi kelompok.
Kata Faiz, mereka tidak pernah menjangkakan kemenangan, apatah lagi, meletakkan anugerah sebagai sasaran setiap produk animasi.
“Apabila menghasilkan animasi, anugerah bukanlah sasaran kami. Niat awal menghasilkan filem pendek sekadar mahu memberikan inspirasi terutama kepada petugas barisan hadapan dan rakyat Malaysia, memandangkan pelbagai isu timbul pada era pandemik.
“Jadi, apabila penonton menyaksikan animasi akan timbul perasaan mahu bersatu hati terutama dalam memerangi COVID-19.
“Namun, saya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana lagi menyokong walaupun tidak banyak kandungan baharu animasi, buat masa ini.
“Sebenarnya, kami bertungkus lumus dan tidak tidur malam untuk cuba menghasilkan animasi terbaik untuk tatapan rakyat Malaysia,”
– Faiz Hanafiah
Dilancarkan secara rasmi menerusi saluran YouTube pada 25 Disember tahun lalu, filem animasi pendek, Ejen Ali Misi: Juang berdurasi 3.22 minit itu berjaya meraih 17 juta tontonan menerusi saluran YouTube rasmi.
Filem animasi pendek yang disokong kempen perkhidmatan awam itu dihasilkan bagi memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19.
Sementara itu, tambah Faiz, filem dan siri Ejen Ali musim pertama dan kedua sudah ditayangkan di platform Disney+ Hotstar Malaysia dan Indonesia sejak Jun lalu.
“Insya-Allah, ia akan ditayangkan di beberapa negara Asia Tenggara lain, tidak lama lama menerusi platform sama.
“Filem dan siri Ejen Ali berjaya menembusi pasaran China dan ditayangkan di platform Tencent Video, tahun lalu. Jadi seterusnya, kami mahu Ejen Ali ke platfrom penstriman lain seperti Taiwan dan Russia.
“Sebelum kemenangan pada Anugerah Kandungan Asia 2021, minggu lalu, kami terpilih dalam tontonan awam di Festival Fantaspoa, Brazil pada April lalu.
“Itu antara pencapaian membanggakan buat kami WAU Animation dan Primeworks Studio,” katanya yang turut menyifatkan kejayaan itu sebagai tekad dan kerja keras pasukan WAUriors.
– Faiz Hanafiah
Sebelum itu, filem Ejen Ali The Movie dinobatkan sebagai Filem MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era (AME) pada 2020.
*Sumber: Berita Harian