Untuk rekod, Lufya Omar dulunya pernah mengambil keputusan untuk bertudung litup pada 2 Februari 2015, juga pada hari lahirnya. Menurut Lufya, niat untuk berhijrah tersebut memang sudah terdetik setiap tahun namun ketika itu dia terlalu memikirkan mengenai kerjaya dan juga komitmen. Sehubungan dengan hijrahnya itu, Lufya juga mengakui sudah mula mengurangkan menerima tawaran berlakon dan jika ada pun, cukup sekadar menerima watak yang tidak bersentuhan dan bersesuaian dengan perubahan kini
Meskipun banyak berita baik mengenai selebriti mengenakan hijab, Lufya mendedahkan ianya bukanlah disebabkan oleh trend dalam berfesyen. Malah ianya terjadi disebabkan oleh kesedaran terhadap akhir zaman.
“Ramai artis berhijab sebab trend? Bukan trend sis, tapi trend Akhir Zaman dah nampak dengan jelas dan ketara. Perbanyakkan selawat dan sedekah dari menilai orang,”
– Lufya Omar
Akui pelakon ini, tanda-tanda mengenai akhir zaman semakin hari semakin jelas. Pada masa yang sama, dia mengajak orang ramai untuk terus melakukan kebaikan dalam kehidupan.
Lufya Tinggalkan Pesanan
Pada masa yang sama, Lufya turut mendedahkan bahawa setiap individu tidak mempunyai penghujung hidup yang sama. Tambahnya, tidak semestinya orang yang berhijab itu adalah baik dan sebaliknya.
“Penghujung hidup kita pun belum pasti. Belum tentu yang bertudung labuh bertutup litup masuk syurga! Yes true.
Pesanan untuk diri sendiri, berhenti mengumpat (ghibah), berhenti menilai orang lain, berhenti cakap tentang masa lalu. Bergerak ke hadapan dan jadi hamba Allah yang terbaik,”
– Lufya Omar
Lufya turut meninggalkan pesanan kepada pengikut dan orang ramai agar meninggalkan perkara yang dilarang dalam agama. Malah turut sama-sama memperbaiki diri untuk mencari keredhaan Tuhan.
Lufya Omar Akur Dugaan Berhijab
PENGHIJRAHAN sejak Februari lalu oleh Lufya Omar dengan menutup aurat dilakukannya secara berperingkat-peringkat. Lufya mengakui tidak mahu terlalu drastik dan terburu-buru dalam hal itu. Cuma sebagai manusia biasa, Lufya berusaha untuk terus menjadi hamba-Nya yang terbaik.
Baginya, berhijab tidak hanya semata-mata mengenakan tudung dan berpakaian sopan semata-mata, sebaliknya perlakuan dan kata-kata juga harus dijaga. Semuanya bermula dari dalam hati. Pastinya ke arah menjadi yang sempurna, setiap tindak tanduk akan diperhatikan. Tersilap langkah dan percaturan pastinya ia akan mengundang kritikan termasuklah yang membabitkan soal imej dan pakaiannya.
Dalam hal berpakaian, pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar cuba bergaya dengan fesyen terkini. Yang dirasakan sesuai dan tidak keterlaluan cuba dipraktikkan sejak bertudung. Selain Lufya, ramai artis tanah air yang sudah bertudung tetapi masih tampil bergaya, antaranya seperti Ziana Zain, Rozita Che Wan, Neelofa dan Adira.
“Jadi dalam hal berpakaian saya pakai ikut keselesaan. Saya tak boleh cakap kena pakai baju longgar atau sebaliknya. Iman saya naik turun. Cuma pastinya setiap hari ia menjadi proses pembelajaran terbaik untuk saya menjadi muslimah yang terbaik. Insya-Allah. Bertudung juga bukan halangan untuk kita berfesyen. Kebelakangan ini juga fesyen bertudung semakin banyak di pasaran sekali gus memberi pilihan pelbagai,” katanya dalam pertemuan di butik Cosry Nu Sentral baru-baru ini.
Dalam sisi lain, Lufya sebenarnya masih meneruskan dunia lakonan sebagai mata pencarian. Cuma seperti kenyataannya sebelum ini, kerjaya nyanyian sudah ditinggalkan. Malah, dia mengakui keputusan menutup aurat tidak pernah memutuskan rezekinya. Bahkan Lufya tidak takut dengan skeptikal yang melihat artis bertudung tidak mempunyai tawaran kerja kerana percaya rezeki itu di tangan Tuhan.
“Saya masih berlakon. Minat saya dalam dunia lakonan sangat mendalam. Saya akan teruskan. Ada tawaran yang saya sudah langsaikan penggambaran cuma belum keluar di kaca TV lagi. Senang kata, memang belum ada istilah bersara dalam lakonan lagi dalam hidup saya.
Tawaran lakonan tidak pernah putus. Sentiasa ada cuma diakui ia tidaklah lumayan, tetapi saya dapat rasa keberkatan wang itu.
“Wang itu tidak mudah habis. Saya juga tak lepas diuji. Selepas bertudung, ada produksi yang menawarkan saya berlakon tetapi dengan syarat saya perlu berlakon tanpa tudung dan dijanjikan pulangan yang lumayan. Tetapi saya lihat semua ini sekadar ujian dari Yang Maha Esa. Macam saya cakap tadi dalam menjadi yang terbaik, iman kita memang sentiasa diuji dalam banyak perkara dalam hidup,” katanya yang baharu selesai penggambaran telefilem Dibawah Langit Mu Aku Berselawat siaran Astro Oasis bergandingan dengan Lah Ahmad.
Biarpun sudah bertudung, Lufya percaya kepada toleransi dan keterbukaan pengarah dan rumah produksi. Syarat yang ditetapkan Lufya mahupun pelakon bertudung lain bukan lagi isu yang diperbesarkan kerana masing-masing sudah memahami. Kata Lufya, dia sangat teliti dalam pelbagai perkara yang membabitkan watak yang akan dipegang dan semuanya perlu menepati syariat agama.
“Syarat yang diletakkan seperti kena pakai tudung bila berlakon dan takkan bersentuhan dengan lelaki yang bukan muhrim antara yang asas. Dialog yang boleh membuatkan kita terpesong, tak ada moral di sebaliknya dan tiada penamat yang positif juga akan saya pertimbangkan dengan membaca betul-betul skrip. Kalau ada skrip, semua boleh di bawa berbincang. Alhamdulillah setakat ini tak berdepan kesukaran.
“Sebagai pelakon juga saya kena terus memastikan kualiti lakonan daripada segi persembahan dan disiplin. Insya-Allah kita buat dengan ikhlas, Tuhan akan permudahkan. Rezeki yang saya terima buat saya gembira dan lebih daripada itu ia sangat berkat,” katanya.
Ketika artis memilih untuk menjalankan pelbagai jenis perniagaan yang berasaskan produk dan perkhidmatan, Lufya pula sehingga saat ini tidak ke arah itu.
“Saya ada juga melakukan perkara sebagai jaminan dan survival mendatang. Cuma selama ini pun saya tak pernah isytihar apa jenis perniagaan yang dilakukan. Saya anggap hal ini cukup peribadi. Tetapi memang bukan jual produk. Ia lebih kepada pelaburan. Tapi siapa tahu, pada masa mendatang saya akan jual produk ke apa. Siapa tahu saya akan buka restoran makanan Arab mungkin,” katanya.
Seperti wanita lain, Lufya juga berhak mengecap kebahagiaan. Cuma saat diajukan soal jodoh, wanita cantik itu hanya tersenyum manja.
“Saya masih macam ini. Saya tak terdesak mencari jodoh. Saya serahkan urusan ini kepada Tuhan. Insya-Allah, Tuhan akan berikan yang terbaik untuk mereka yang baik. Jadi untuk ke arah itu, saya sendiri kena mempersiapkan diri menjadi manusia dan wanita Muslim yang baik daripada segala segi,” katanya.