Bulan kemerdekaan menjelma tidak lama lagi, meskipun dalam norma baharu dek pandemik yang masih menghantui, namun semangat menyambut hari bersejarah, hari kebangsaan pada 31 Ogos tetap membara di hati.
Tidak mahu ketinggalan untuk menyemarakkan semangat itu, kumpulan Here Comes July (HCJ) tampil melancarkan lagu baharu berjudul Suara Malaysia. Melihat judulnya sahaja pun sudah tahu bahawa lagu ini semestinya berkisar patriotisme.
HCJ yang dianggotai Wan Lukman sebagai vokalis, Arfan Zainuddin (gitar utama), Adam Hariz (gitar ritma), Haziq Hashim (pemain bass) dan Irfan Ismail (dram) juga turut mengakui lagu Suara Malaysia besar maknanya untuk mereka.
Hasil ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, dan Aden King, lagu ini sarat dengan mesej penting mengenai cinta terhadap Malaysia. Bahkan, HCJ mengakui alunannya bakal memberi semangat luar biasa kepada pendengar.
“Aspek paling utama yang kami minati adalah melodi dan liriknya. Melodi yang moden namun tetap disuntik unsur tradisional menunjukkan kita sebagai sebuah negara, tidak perlu rasa bersalah untuk berkembang ke arah pemodenan atau dalam muzik sekalipun.
“Jangan kita lupa akan asal usul kita yang penuh kesenian, kesopanan, dan kreativiti yang seharusnya ditonjolkan di mata dunia. Pilihan perkataan liriknya pula bertujuan memberi semangat kenegaraan dan memastikan rasa cinta kepada negara tidak luntur,” kata HCJ.
HCJ percaya, nilai patriotisme secara semulajadi sudah terhasil dalam diri setiap rakyat. Namun, dengan adanya kebebasan media sosial hari ini, kadangkala masyarakat terpengaruh dengan anasir buruk. Kadangkala lupa, Malaysia adalah segalanya untuk kita.
“Bagi kami, Malaysia adalah segalanya buat HCJ. Kami faham, kadangkala, Malaysia ada kekurangannya. Namun kekurangan itulah yang menjadi titik semangat perubahan untuk kita menjadikan Malaysia lebih baik.
“Tanpa Malaysia, kita tak mampu bersuara. Tanpa Malaysia, kita tak dapat menikmati keselesaan hidup harmoni dalam masyarakat. Tanpa Malaysia, kita tak mampu berjaya. Inilah maksud sebenar patriotisme bagi HCJ dalam lagu Suara Malaysia,” katanya.
Kongsi HCJ, lagu itu bukan dihasilkan hanya kerana sambutan kemerdekaan akan menjelang. Sebaliknya, mereka berharap lagu itu bakal mencipta impaknya sendiri dan menjadi siulan serta semboyan peniup semangat rakyat Malaysia terus bersatu-padu.
Selaku komposer penting Suara Malaysia, Mas Dewangga pula mengakui pada awalnya, proses menghasilkan lagu patriotik sedikit mencabar. Ia disebabkan untuk mecipta melodi yang betul-betul mesra dan mudah menangkap halwa telinga ambil masa.
“Tapi selepas dapat melodi yang kami mahukan, proses pembikinan lagu menjadi lebih mudah. Proses menulis liriknya pula tidak lama kerana kami cuba bayangkan situasi kegembiraan dan perpaduan rakyat Malaysia ketika Merdeka dilaungkan buat pertama kalinya.
“Apa perasaan ketika itu dan pastinya rakyat Malaysia dari berbilang kaum bersatu dalam meraikan kemerdekaan bersama. Daripada situ, banyak idea mengalir dalam kepada sekali gus penulisan jadi lebih lancar,” katanya.
Dalam pada itu Mas Dewangga juga tidak mahu ambil remeh mengenai nilai komersial lagu ini. Justeru, dia menghasilkan susunan muzik seperti dibayangkan mereka sejak awal yang mahukan melodinya rancak dan menaikkan semangat pendengar.
“Kami mahukan sesuatu yang lebih segar dan terkini untuk memikat hati anak muda supaya lebih bersifat patriotik apabila mendengar lagu ini. Idea susunan asasnya ambil masa dalam dua jam saja. Selepas kami dapat hala tujunya, kami masukkan beberapa melodi dan lirik,” katanya.
Dalam pada itu, HCJ juga berharap Suara Malaysia menjadi pembakar semangat untuk rakyat Malaysia terus kuat mengharungi dugaan pandemik sekarang. Mereka yakin dengan semangat kental, kita semua dapat bertemu sinar terang kelak.
“Kami faham, ramai sedang menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan seharian. Bahkan satu dunia menghadapi dugaan sama. Namun apa membezakan Malaysia dengan negara lain adalah semangat kebersamaan kita sebagai rakyat.
“Saling membantu bila ada yang memerlukan, saling berkongsi bila ada rezeki lebih. Kami yakin, dengan penerapan nilai ini dalam majoriti rakyat kita, tidak kira umur, kaum, agama, kita mampu mengharungi dugaan dengan jayanya. Kita akan berjaya bersama,” katanya.
HCJ mula aktif sejak 2013 dan pernah membuat persembahan di Rantai Art Festival, Naib Johan Music’s Friends from Far Away Places, Unity Festival Malaysia, Push to Play Vol. 28, Merdekaraya Open Mic, LiveInIntun, Euphonious 2018, dan Cyber Fest.
Terdahulu, mereka juga tampil dengan lagu Juwita yang menjadi runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis sehingga meraih perhatian lebih ramai pencinta muzik tempatan. Awal tahun ini, HCJ juga turut melancarkan lagu berjudul Sembunyi.
‘Suara Malaysia’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music.