Drama mini bersiri ‘SAGA 2.0’ merupakan sekuel kepada bahagian pertama naskhah ‘SAGA’ yang menampilkan penceritaan penuh aksi bertemakan elemen pertarungan seni bela diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) terbitan syarikat produksi MediaCorp TV Singapore Pte. Ltd.
Kesinambungan bahagian kedua bakal mengetengahkan konflik dan plot twist serba baharu yang dikembangkan daripada edisi pertama bagi menyuntik kelainan segar untuk naratif kisah kali ini.
Sekuel ‘SAGA 2.0’ diarahkan oleh sutradara Khairudin Samsudin serta turut menampilkan Azizah A Malik selaku penerbit eksekutif dan Azian Pasiran selaku penulis skrip. Drama ‘SAGA 2.0’ diterajui oleh pelakon handalan seperti Imam Shah, Jeff Catz, Hasnul Rahmat, Hannah Delisha dan Shah Iskandar. Lebih istimewa lagi, drama ini turut diserikan dengan penampilan khas oleh bintang atlet MMA iaitu Amir Khan dan Agilan Thani.
‘SAGA 2.0’ bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 18 Ogos 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusiaplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro berkata
“Selaku stesen TV berbayar, kami bertanggungjawab untuk memenuhi permintaan audiens yang sentiasa mahukan pengisian segar yang lari dari kelaziman. Khusus buat penggemar rantaian drama Melayu, taruhan terbaharu kami menerusi drama mini aksi ‘SAGA’ bahagian pertama yang berakhir semalam pastinya telah meninggalkan rasa berbeza kepada penonton.
Sehubungan dengan itu, kami dengan berbesar hati membawakan pula sekuel kedua secara ‘back-to-back’ istimewa buat penonton yang telah mengikuti kisah ini sedari awal.
Drama ‘SAGA 2.0’ bakal menjanjikan konflik yang lebih dramatik dan mendebarkan. Walaupun hadir dengan plot penceritaan serba baharu, momentum perjalanan cerita asal masih dikekalkan agar audiens dapat menyelami apa yang ingin disampaikan dalam bahagian kedua. Elemen yang membabitkan aksi lawan penuh lasak pastinya bakal memberi keterujaan kepada penonton yang mahu menyaksikan gaya pertarungan seterusnya. Penceritaan drama ‘SAGA 2.0’ juga mudah difahami serta turut disuntik dengan elemen kekeluargaan dan pengajaran sebagai pelembut keseluruhan jalan cerita.
Selain pengenalan watak-watak baharu untuk menghidupkan plot kali ini, fokus penceritaan kali ini juga terarah kepada pembinaan watak ‘Zack’ dari musim pertama yang dikembangkan menjadi lebih besar dengan jalan ceritanya yang tersendiri. Kami berharap agar sekuel kedua drama ‘SAGA’ dapat memberi kepuasan kepada peminat genre aksi kerana ia bukan sahaja menghiburkan, malah turut mempunyai kritikan sosial berhubung dengan isu konflik yang diketengahkan. Semoga terhibur!”. – Raqim Ahmad
Khairudin Samsudin, Pengarah ‘SAGA 2.0’ berkata
“Sepanjang kerjaya sebagai pengarah, ini merupakan kali pertama saya diberi kepercayaan untuk menghasilkan karya bercorak aksi. Pengalaman tersebut memberi kepuasan yang cukup bermakna kerana jarang dan bukan mudah untuk mendapat peluang mengarahkan naskhah aksi pada skala yang besar seumpama ini di Singapura.
Pembikinan drama sekuel ‘SAGA 2.0’ amat mencabar kerana ia bukan sahaja memerlukan susunan koreografi aksi yang mantap, malah turut menuntut kelainan daripada segi teknikal dan penggunaan sudut kamera bagi mendapatkan ‘angle’ yang menarik. Namun, saya bersyukur kerana diberikan kebebasan untuk berkarya dan diperuntukkan dengan masa produksi yang mencukupi. Terdapat juga sedikit penambahan dilakukan ke atas naskhah ini untuk memberi lebih warna terutamanya yang melibatkan adegan lawan. Walaupun terikat dengan sumber yang kurang dan terhad, namun saya sahut cabaran berat tersebut dan buat sehabis baik demi mendapatkan hasil yang terbaik.
Saya juga sengaja selitkan elemen seni silat Melayu dan cuba adakan kesinambungan dengan sukan tempur MMA yang menjadi nadi utama ‘SAGA 2.0’ sebagai tarikan utama untuk memikat hati penonton. Bukan itu sahaja, drama ini juga turut diterajui oleh barisan pelakon handalan yang pastinya mampu membuatkan penonton terpaku dengan lakonan cemerlang mereka. Semoga terhibur!”.
Trivia Menarik Drama ‘SAGA 2.0’
Pembikinan sekuel kedua drama mini yang memuatkan 4 buah episod ini telah mengambil masa 27 hari secara keseluruhan. Manakala lokasi penggambaran pula telah dijalankan di sekitar Singapura.
Lebih membanggakan, drama mini ‘SAGA 2.0’ telah tersenarai dalam pusingan akhir pencalonan untuk kategori ‘Best Direction’ di New York Festivals TV and Film Awards 2021. Manakala Imam Shah juga turut tercalon sebagai finalis akhir bagi kategori Pelakon Terbaik menerusi drama yang sama. Keputusan akhir akan diumumkan pada bulan Oktober kelak.
Untuk makluman, Imam Shah pernah mengalami kecederaan ringan sewaktu sedang menjalani penggambaran drama tersebut. Namun, kecederaan yang dialaminya tidak serius. Ironinya, pengarah drama Khairudin Samsudin pula yang terpaksa duduk di kerusi roda sambil mengarah selama 3 hari gara-gara terpelecok.
Sewaktu drama ini masih sedang dalam penggambaran, pelakon utama Imam Shah yang melakonkan watak Zack dan Hannah Delisha belum lagi diijabkabulkan sebagai suami isteri. Menurut pengarah, tidak ada sebarang masalah daripada segi mencipta keserasian di antara kedua-dua watak yang dibawakan oleh Imam dan Hannah kerana mereka memang merupakan pasangan kekasih di dunia realiti. Sikap profesional dan komitmen tinggi yang diberikan oleh mereka juga turut memudahkan lagi urusan penggambaran sewaktu di set.
Kedua-dua mereka juga pernah bergandingan dalam drama bersiri ‘Kisah Rumah Tangga: Rindu Salah Alamat’ yang pernah ditayangkan di saluran Astro Ria sekitar April yang lalu.
Pelakon handalan Jeff Catz yang memegang watak antagonis sebagai Ryan pernah merangkul anugerah untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Asian Television Awards menerusi lakonannya dalam drama Bunga Tanjong pada tahun 2016.
Untuk mendapat ‘feel’ sebenar sekaligus menjaga kualiti lakonan, pihak produksi turut membawa masuk khidmat pelakon lagak ngeri atau ‘stuntman’ dan pakar pesilat untuk menyusun koreografi aksi, memberi tunjuk ajar serta melatih para pelakon agar lakonan menjadi lebih mantap dan tidak nampak seperti dibuat-buat.
Pembikinan drama ini juga turut mendapat sokongan penganjur pertandingan MMA di Singapura. Pihak penganjur tersebut memberi kebenaran dan akses untuk menggunakan kemudahan fasiliti bagi penggambaran melibatkan adegan gimnasium.
Pecahan Watak Drama ‘SAGA 2.0’
PELAKON UTAMA
IMAM SHAH sebagai Zack
JEFF CATZ sebagai Ryan
HASNUL RAHMAT sebagai Borhan
HANNAH DELISHA sebagai Sofia
SHAH ISKANDAR sebagai Farouk
PELAKON PEMBANTU
WAHYU RAHMAN sebagai Hasnah
AMY KECIK sebagai Khairul
ISA BORA sebagai Hassan
RIZAL RAHIMAN sebagai Azri
THE CHOSEN WAN ‘TCW’ sebagai Kelvin
WANDY sebagai Danny
PENAMPILAN KHAS ATLET MMA
AMIR KHAN
AGILAN THANI
Sinopsis Drama ‘SAGA 2.0’
Berkisarkan tentang Zack yang menghadapi masalah hubungan dengan ayahnya, Borhan, seorang guru silat. Hubungan mereka menjadi genting apabila Borhan mendapat tahu Zack terlibat dalam MMA. Malangnya, anak dan ayah tidak sedar siapa musuh mereka sebenar. Musuh mereka adalah orang kepercayaan Zack iaitu Ryan dan murid setia Borhan, Farouk. Konflik mereka meruncing apabila Ryan dan Farouk berjaya memutarbelitkan keadaan. Mujur, teman wanita Zack, Sofea berjaya mendedahkan kebenaran.