Muhyiddin memaklumkan mahu meletakkan jawatan kepada ahli Parlimen Bersatu dalam pertemuan pada 15 Ogos lalu.
Katanya, Muhyiddin sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahan kedudukannya dan kerajaan, malah menyifatkan peletakan jawatan adalah pilihan terakhir baginya.
Jom baca kronologi berita-berita yang disiarkan tentang apa yang berlaku pada hari ini.
Jam 3:00 Petang: Perutusan Khas & Sidang Media Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengadakan perutusan khas jam 3 petang ini.
Ia selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri.
Menerusi muat naik di laman Facebook beliau, Muhyiddin turut dijadual mengadakan sidang media jam 3.30 petang.
Muhyiddin Pulang ke Kediaman Peribadi
Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di kediamannya di ibu negara selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Isnin.
Kenderaan membawa Ahli Parlimen Pagoh itu memasuki perkarangan kediaman peribadi beliau sekitar pukul 1.09 tengah hari.
Muhyiddin juga sempat melambai tangan kepada petugas media yang berkampung di situ seawal jam 6.30 pagi tadi.
Sebelum itu, beliau memasuki Istana Negara jam 12.23 tengah hari untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang pengesahan mengenai perkara tersebut.
Jam 2:30 Petang: Hishammuddin Tukar ‘Bio’ di Facebook kepada Ahli Parlimen Sembrong
Di sebalik pengesahan rasmi mengenai kedudukan barisan Jemaah Kabinet, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencuri tumpuan selepas mengemas kini ‘bio’ di laman Facebooknya kepada ‘Ahli Parlimen Sembrong’.Hishammuddin yang memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Keselamatan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut menulis jawatan beliau sekarang adalah sebagai Bendahari Agung Barisan Nasional (BN).
Kemas kini yang dibuat kira-kira 2.30 petang itu dipercayai sekali gus mengesahkan bahawa beliau telah meletak jawatan.
Khairy Sahkan Anggota Kabinet Serah Surat Letak Jawatan
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan barisan Jemaah Kabinet telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.Khairy memaklumkan perkara tersebut menerusi kemas kini di Instagram Story peribadinya sebentar tadi.
Agong Perkenan Peletakan Jawatan
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara, susulan peletakan jawatan ini, Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Katanya, ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
Jam 12:20 Tengahari: Muhyiddin Tiba di Istana Negara
Kenderaan rasmi yang membawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara sekitar jam 12.20 tengah hari tadi.
Dari dalam kenderaan, Perdana Menteri melambai ke arah petugas media yang telah menanti sejak awal pagi tadi di pintu masuk utama Istana Negara.
Difahamkan sesi tersebut adalah bagi Ahli Parlimen Pagoh itu mempersembahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-8, kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain itu beberapa media juga melaporkan Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, akan mempersembahkan beberapa nama sebagai calon Perdana Menteri baharu.
Dalam pada itu beberapa pegawai kanan kerajaan juga telah diperkenan untuk mengadap Agong.
Antara yang kelihatan ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Muhyiddin Dijangka Buat Pengumuman Khas Hari Ini
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pengumuman khas hari ini berkaitan kedudukannya selaku Perdana Menteri.
Pengumuman itu akan dibuat selepas beliau menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum itu beliau akan terlebih dahulu mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri.
Kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri menjadi pertikaian selepas didakwa hilang keabsahan.
Jam 8:07 Pagi: Muhyiddin Tiba di Pejabat Perdana Menteri
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 8.07 pagi ini.
Beliau tiba diiringi polis pengiring sebelum memasuki Pintu Protokol, malah sempat menurunkan tingkap dan melambai kepada pengamal media.
Difahamkan, Muhyiddin akan mempengerusikan satu mesyuarat khas Kabinet dengan ahli Jemaah Menteri yang dijadualkan pukul 10 pagi ini.
Semalam, media melaporkan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof memaklumkan, Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di sini mendapati, lebih 30 pengamal media berkumpul sejak 7.30 pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan terbaharu situasi politik negara.
Dalam pada itu, turut dilihat memasuki Kompleks Bangunan Perdana Putra adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Turut tiba di kompleks sama ialah Peguam Negara Tan Sri Idris Harun.
Istana Negara Kembali Jadi Tumpuan
Istana Negara sekali lagi menjadi tumpuan petugas media berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini untuk menyembah maklum peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Lebih 30 petugas media pelbagai agensi mula berkumpul di Pintu Istana Negara bermula jam 8 pagi tadi walaupun Perdana Menteri dijadualkan menghadap Seri Paduka pada jam 11 pagi ini.
Pada masa ini, Perdana Menteri berada di pejabatnya di Putrajaya dan dijadual mengadakan mesyuarat khas Kabinet pada jam 10 pagi.
Difahamkan Presiden BERSATU itu akan membuat pengumuman khas berkenaan kedudukannya sebagai Perdana Menteri selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof memaklumkan Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.
Kedudukan Perdana Menteri mula diperkatakan apabila Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada awal bulan ini membuat ketetapan sebulat suara menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuatkuasa serta merta.
Jam 7:42 Pagi: Muhyiddin Tinggalkan Kediaman ke Putrajaya
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan kediamannya di Bukit Damansara di sini dipercayai menuju ke pejabatnya di Putrajaya, sebentar tadi.
Kenderaan Toyota Vellfire dinaiki beliau diiringi polis dan pengiring dilihat keluar dari kawasan kediaman pada jam 7.42 pagi.
Ahli Parlimen Pagoh itu dikatakan akan ke pejabat beliau di Perdana Putra, Putrajaya dan difahamkan bagi mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ke Istana Negara tengah hari ini.
Muhyiddin yang memakai sut hitam menurunkan tingkap kenderaannya dan sempat melambai ke arah kumpulan pengamal media yang menunggu di luar kediaman beliau sejak jam 6.30 pagi.
Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin dijangka membuat satu pemakluman penting berkaitan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya, hari ini.
Muhyiddin juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang serta pegawai kanan kerajaan.
Muhyiddin Tak Pernah Sebut Letak Jawatan
Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menyebut akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sebaliknya mahu memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan inginkan negara segera pulih daripada COVID-19.
Katanya yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu, dalam tempoh 17 bulan ini, Perdana Menteri mengumumkan bantuan berjumlah RM530 bilion bagi pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi semasa pandemik.
“Bantuan kepada 32 juta penduduk negara ini satu angka yang sangat besar membuktikan beliau sentiasa mengutamakan dan membantu rakyat.
“Misalnya di Indonesia 275 juta rakyat hanya RM20 bilion dibelanjakan kerajaan negara itu untuk membantu rakyat mereka,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas Program Penyampaian Bakul Makanan dan Menyantuni Penduduk Berek 12, di sini.
Mengulas lanjut, Mohamed Farid berkata, berbanding semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya memberikan bantuan RM30 Program e-Tunai Rakyat semasa pemerintahan mereka pada Januari tahun lalu.
“Rakyat dianaktirikan kerana mereka (ahli politik) lebih pentingkan diri mereka sendiri, agenda peribadi dan berebut kuasa.
“Kami tidak faham kenapa mereka begitu kuat berpolitik supaya Perdana Menteri ‘gugur’ sedangkan negara masih berdepan COVID-19 dan pada masa kerajaan berusaha membantu rakyat,” katanya.
*Sumber: Artikel asal disiarkan di Sinar Harian
‘Parti Tentukan Calon PM, Bukan Individu’
Calon Perdana Menteri dari UMNO hanya akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu dan bukan oleh mana-mana individu, dengan calonnya hanya ditentukan selepas Tan Sri Muhyiddin Yasin sah meletak jawatan.
Perkara itu dinyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan difahamkan ia antara yang diputuskan lima pemimpin tertinggi UMNO dalam mesyuaratnya petang semalam.
“MKT akan tentukan (siapa calon Perdana Menteri),” katanya ketika diminta mengesahkan sama ada pertemuan pemimpin utama UMNO di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn semalam memutuskan sebarang nama untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
Pertemuan yang berlangsung lewat petang semalam itu dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Selain itu, turut hadir dalam mesyuarat itu, tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled dengan tanpa kehadiran pemimpin lain.
Sementara itu ditanya sama ada MKT khas UMNO akan bermesyuarat petang ini, Mohamed Khaled menyatakan ia belum dapat dipastikan.
“Belum pasti lagi,” katanya ringkas.
Sementara itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan ketika mengesahkan pertemuan pemimpin utama itu semalam, turut memaklumkan UMNO belum ada perancangan untuk mengadakan mesyuarat MKT.
“Tak ada lagi setakat ini,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan UMNO mengadakan mesyuarat MKT sebaik Muhyiddin meletak jawatan hari ini.
BH difahamkan, mesyuarat MKT khas itu akan berlangsung petang ini dengan agenda utamanya bagi menamakan individu sebagai calon Perdana Menteri untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sebaik nama calon Perdana Menteri dipersembah kepada Agong, terserah kepada baginda untuk membuat penilaian pemimpin berkenaan mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen atau sebaliknya.
Semalam, Ismail Sabri dilaporkan mengadakan beberapa pertemuan antaranya dengan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum menemui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed di kediamannya di Sri Kembangan.
Pertemuan itu antara lain dipercayai bagi mendapatkan sokongan bagi beliau dinamakan sebagai calon Perdana Menteri untuk dipersembah kepada Agong.
Hari ini, tumpuan kemelut politik negara terarah kepada mesyuarat Kabinet terakhir, sebelum Muhyiddin dijangka mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dijangka tengah hari ini.
*Sumber: Berita Harian