Seiring peralihan dari satu tahun ke tahun yang lain, dapat kita saksikan ramai artis wanita mula berhijrah menjadi insan lebih baik dengan mengenakan penampilan bertudung. Ada yang bermula dengan turban diikuti dengan tudung, sebelum akhirnya perlahan-lahan menyempurnakan kewajiban menutup aurat sepenuhnya seperti digariskan dalam agama Islam.
Pelakon Betty Rahmad berkongsi kisah penghijrahannya yang kini tampil dengan imej bertudung sempena mengambil keberkatan kedatangan tahun baru iaitu Awal Muharram yang disambut pada tanggal 10 Ogos, Selasa lalu.
Kongsi Betty di akaun rasmi Instagramnya, dia mula terdetik untuk mengubah imej setelah melihat anaknya, Ardy Wira yang kini berusia dua tahun sudah lancar mengaji Iqra, sedangkan dirinya yang sudah berusia masih merangkak untuk membaca Al-Quran.
Sebenarnya ini semua untuk diri sendiri. Setiap kali solat, saya berdoa kepada Allah supaya jadikan diri saya seorang yang lebih baik, beriman dan diberikan hidayah.
Betty atau nama sebenarnya Norsha Rahmad berkata dia mula melatih diri bangun dari tidur seawal 4.30 pagi bagi melakukan solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, berdoa dan mengaji di balkoni rumahnya.
Tambahnya lagi, setiap pagi dia akan membaca surah Ar-Rahman dan Al-Waqiah, namun terdapat satu ayat dalam kandungan surah Ar-Rahman yang benar-benar menjentik hatinya untuk berubah.
Hati saya tersentak setiap kali membaca ayat ‘nikmat Tuhan mana yang engkau dustakan?’. Setiap pagi saya ulang membaca surah yang sama.
Dalam pada masa yang sama, pemergian rakannya iaitu Allahyarham Siti Sarah juga menjadi asbab buat dirinya melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
Selain itu, sebahagian rakaman IG Live yang dibuat oleh ibu 1 anak ini juga meruntun jiwa ramai. Saat sedang berkongsikan rutin harian yang dibuat bagi mendekatkan diri dengan agama, 2 kakaknya telah muncul dan sama-sama menangis melihat hijrah bermakna adik mereka.
Kemunculan Betty dalam sesi siaran langsung yang dilakukan olehnya di Instagram turut disertai oleh kedua-dua kakaknya iaitu Erma Fatima dan Datin Paduka Umie Aida yang terharu menyaksikan perubahan adik mereka itu.