Platform radio Media Prima, Media Prima Audio atau MPA (dahulunya dikenali sebagai RIPPLE) hari ini mengumumkan berkenaan penjenamaan semula nama syarikat dan melaksanakan strategi kandungan yang baharu selepas perlantikan pengurusan kanan baharu yang diumumkan pada bulan Jun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Encik Nazri Noran telah melancarkan perubahan utama strategik bagi syarikat termasuk penjenamaan semula semua stesen radio MPA, perubahan kandungan dan juga barisan penyampai serta merangka semula strategi secara keseluruhan bagi stesen radio dibawahnya.
RIPPLE Ditukar Kepada Media Prima Audio
Dua stesen radio iaitu Hot FM dan Fly FM masih mengekalkan nama yang sama tetapi tampil dengan penyampaian dan kandungan yang serba baharu dan berbeza, dengan perubahan logo dan wajah yang baharu dan lebih segar. Sementara itu, dua stesen radio lagi, yang sebelum ini dikenali sebagai One FM dan Kool FM, kini masing-masing diberi nafas baharu sebagai 8FM dan Buletin FM.
“Penjenamaan semula secara holistik ini pertama kali dilakukan oleh Media Prima Audio selepas 15 tahun beroperasi. Ini adalah untuk memberikan peluang kepada kami untuk mengukuhkan lagi kedudukan sebagai stesen radio terkemuka di negara ini.
Hari ini kami memulakan siaran on-air dengan barisan penyampai yang baru dan logo serta jenama yang serba baharu yang merangkumi seluruh stesen termasuk digital, media sosial dan peranti mudah alih.
Kami juga sangat teruja dan gembira dengan perjalanan baru ini dengan sokongan pemasaran yang menyeluruh di semua platform kumpulan Media Prima,”
– Nazri Noran
Nazri juga mengumumkan perubahan barisan penyampai untuk semua stesen radio.
“Misi kami adalah untuk memastikan perubahan positif ini dapat memberi manfaat kepada syarikat. Oleh itu, perubahan barisan penyampai untuk semua stesen adalah sebahagian daripada strategi baru kami agar jenama di bawah Media Prima Audio akan tampil lebih relevan dan mampu berdaya saing di pasaran.
Terdapat banyak rancangan dan kandungan menarik yang akan diberikan bermula hari ini untuk pendengar Hot FM, Buletin FM, Fly FM dan 8FM. Bagi pendengar radio di Malaysia, anda boleh mengharapkan sesuatu yang lebih menyeronokkan dan mampu untuk jatuh hati kembali dengan stesen radio kami dengan adanya penambahbaikkan ini.”
– Nazri Noran
Media Prima Audio juga teruja untuk memperkenalkan jenama aplikasi mudah alih yang baru iaitu Audio+.
Audio+ adalah aplikasi baru yang akan menjadi pusat sehenti bagi anda untuk mendapatkan pelbagai kandungan radio, digital dan sosial antaranya siaran radio secara langsung, podcast, video dan banyak lagi.
Jika sebelum ini anda perlu muat turun aplikasi kami secara berasingan mengikut stesen, tetapi kini hanya satu aplikasi yang lebih mudah dan tampil lebih segar dengan Audio+. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play, App Store dan Huawei AppGallery.
Perubahan & Rombakan Hot FM
Hot FM, Kini Lebih Muzik Yang Hangat akan menjadi satu pusat untuk pendengar dapatkan pelbagai hiburan dan maklumat melalui kandungan yang lebih menarik, penceritaan yang lucu dan muzik yang lebih hangat.
Hot FM menyasarkan pendengar berusia 18 tahun hingga 39 tahun bagi sasaran yang lebih luas, manakala lebih memberi fokus sasaran kepada pendengar berusia 24 tahun hingga 35 tahun.
Sejajar dengan pengumuman yang dilakukan, Hot FM tampil dengan barisan penyampai yang baru dan penyampai sedia ada yang pastinya akan menghangatkan pagi anda dengan celoteh dan perkongsian yang lebih berinfomatif juga mampu memberikan aura positif kepada pendengar. Teraju utama segmen pagi Hot FM iaitu Fara Fauzana, AG & Fad akan menemani pendengar menerusi segmen Rakyat Rangers yang ke udara setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 10 pagi.
Fara atau nama lengkapnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, pernah berkhidmat di Hot FM selama 10 tahun dan mengundurkan diri daripada stesen radio itu pada tahun 2016. Kemasukan mengejut Fara sebagai penyampai radio di segmen pagi ini seiring dengan pengumuman daripada pihak pengurusan platform radio Media Prima pada 19 Julai lalu mengenai transformasi perniagaan yang membabitkan perubahan operasi dan isi kandungan
Meneruskan kehangatan hari, Zetty yang dahulunya mengendalikan segmen Mega Hot kini tampil dengan segmen baharu yang lebih segar iaitu menerusi segmen Playlist Hangat. Zetty akan menemani pendengar dengan playlist lagu yang hangat dan hit setiap Isnin hingga Jumaat bermula 10 pagi hingga 3 petang.
Pendengar juga boleh terus dengarkan Hot FM dengan gandingan mantap Haziq dan Riena Diana. Mereka akan mengendalikan segmen petang yang lebih fresh dengan cerita-cerita hangat masa kini menerusi Sembang Squad. Ke udara bermula 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.
Keluarga baru Hot FM, Imran Aqil akan menemani pendengar menerusi segmen Hot Flix. Lebih memfokuskan pendengar generasi muda, Imran Aqil akan memenuhi tetuang udara Hot FM bermula 8 malam hingga 12 tengah malam, setiap hari Isnin hingga Khamis. Segmen ini akan menampilkan hiburan dan interaksi bersama selebriti dan pendengar yang aktif dalam media sosial, ‘gamers’ dan ‘influencers’. Manakala Hot Flix Top 40, juga kendalian Imran Aqil, akan menemani pendengar setiap Jumaat bermula 8 Malam hingga 12 tengah malam. Menerusi segmen ini pendengar boleh mengundi lagu kesukaan mereka menerusi carta Hot Flix Top 40 dan mendengar kira turun naik 40 lagu terhangat sepanjang minggu.
Istimewa untuk kali ini, Hot FM tampil dengan kolaborasi bersama rancangan TV3, Muzik Muzik menerusi segmen Carta Muzik Muzik 30 Hot FM yang akan dikemudi oleh Haziq. Ke udara setiap hari Ahad bermula 8 malam hingga 10 malam dan dengarkan ulangan pada hari Sabtu minggu berikutnya bermula 9 pagi hingga 11 pagi. Kira turun naik 20 lagu terhangat menerusi carta Muzik Muzik 36 yang disiarkan di TV3.
Terus dengarkan Hot FM di mana saja anda berada kerana kami akan berikan pelbagai segmen menarik yang lebih segar setiap hari juga hiburan muzik yang lebih hangat.
Hot FM boleh didengari menerusi frekuensi 97.6FM di Lembah Klang, 88.2FM Alor Setar dan Pulau Pinang; 104.5FM Ipoh; 90.1FM Johor Bahru dan Singapura; 92.4FM Kuantan; 105.1FM Kota Bharu; 87.7FM Kota Kinabalu; 94.3FM Kuching; 104.3FM Melaka; 99.5FM Seremban; 90.5FM Taping; 105.0 Kuala Terengganu.
Secara alternatif, para pendengar juga boleh mendengar Hot FM secara live streaming di www.hotfm.audio dan YouTube Hot TV. Untuk perkembangan dan pengisian digital paling hangat, boleh terus ikuti laman sosial Hot FM di Facebook Hot FM, Instagram @hotfm976 dan Twitter @hotfm976 dan Whatsapp 017-302 8822. Hot FM juga boleh didengar menerusi aplikasi Audio+, yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.
Kool FM Kini DIkenali Sebagai Buletin FM
Buletin FM, Info Terkini & Muzik Sepanjang zaman akan membawakan berita terkini dan isu-isu semasa juga analisis yang pasti akan memberi penjelasan yang lebih tepat, pengkongsian cerita-cerita positif dan akan memberikan muzik yang dikenali ramai sepanjang hari.
Buletin FM menyasarkan pendengar berusia 25 tahun hingga 45 tahun bagi sasaran yang lebih luas, manakala lebih memberi fokus sasaran kepada pendengar berusia 30 tahun hingga 39 tahun.
Sejajar dengan pengumuman yang dilakukan, Buletin FM tampil dengan barisan penyampai yang baru dan penyampai sedia ada. Kelainan diberikan oleh Buletin FM dengan menyaksikan teraju utama segmen pagi di Buletin FM akan dikendalikan oleh Pengacara TV iaitu Ally Iskandar dan pembaca berita Buletin Utama, Hawa Rizwana. Pendengar boleh mendengarkan segmen Fokus Pagi bersama Ally Iskandar dan Hawa Rizwana setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 10 pagi.
Meneruskan hari yang berinformatif, Haiza yang dahulunya mengemudi segmen pagi bersama AG dan Muaz kini bergerak solo menerusi segmen Santai Siang bersama Haiza. Diskusi topik dari pelbagai perspektif bersama Haiza, setiap Isnin hingga Jumaat bermula 10 pagi hingga 3 petang.
Gandingan baru yang lebih mantap bagi membincangkan subjek paling menarik antaranya sukan dan masyarakat, juga memberikan pendengar perbincangan penuh untuk isu-isu yang dekat dengan masyarakat bersama Muaz dan Izwan Azir menerusi segmen Diskusi Harian bersama Muaz & Izwan, setiap Isnin hingga Jumaat bermula 3 petang hingga 7 malam.
Tampil dengan keunikkan kata-kata puitis yang akan menemani malam hari menerusi Ilham Sanubari bersama Fedtri Yahya. Luahan Hati dan Ceritera Puisi Cinta bersama Fedtri Yahya membuatkan malam lebih indah bermula 9 malam hingga 12 tengah malam, Isnin hingga Jumaat.
Ulasan dan kupasan dengan lebih fokus tentang sukan tempatan dan luar negara di hari minggu bersama Hanif Miswan menerusi segmen Spectator Sukan di Buletin FM pada hari Sabtu bermula 8 malam hingga 10 malam. Dengarkan kembali ulangan pada hari Ahad, 9 pagi hingga 11 pagi.
Terus dengarkan Buletin FM di mana saja anda berada kerana kami akan berikan pelbagai segmen menarik dan berinformatif dan sarat dengan analisis dan perbincangan yang lebih segar setiap hari juga hiburan muzik sepanjang zaman.
Buletin FM boleh didengari menerusi frekuensi 101.3FM di Lembah Klang; 90.2FM Penang; 93.6FM Kuala Terengganu; 88.6FM Kota Bharu; 107.3FM Alor Setar; 104.3FM Sarawak.
Secara alternatif, para pendengar juga boleh mendengar Buletin FM secara live streaming di www.buletinfm.audio dan YouTube Buletin TV. Untuk perkembangan dan pengisian digital berinfomatif, boleh terus ikuti laman sosial Buletin FM di Facebook Buletin FM, Instagram @buletinfm dan Twitter @buletinfm dan Whatsapp 017-276 5656. Buletin FM juga boleh didengar menerusi aplikasi Audio+, yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.
Fly FM Kini Berkonsepkan Hiburan Komedi
Fly FM kini tampil serba baharu dengan menawarkan komedi mencuit hati, penceritaan bertaraf dunia, kandungan yang lebih menarik dan muzik yang familiar sepanjang hari. Fly FM kini serba baharu bersama Douglas Lim & Ili di pagi hari dan Muzik yang ANDA perlukan sepanjang hari!
Fly FM menyasarkan pendengar berusia 18 tahun hingga 39 tahun bagi sasaran yang lebih luas, manakala lebih memberi fokus sasaran kepada pendengar berusia 25 tahun hingga 34 tahun.
Segmen pagi di Fly FM kini tampil dengan sesuatu yang lebih segar dan baharu dengan menampilkan Douglas Lim bergandingan bersama Ili bagi memberikan hiburan serta komedi yang lebih matang menerusi segmen Douglas Lim & Ili In The Morning bermula 6 pagi hingga 10 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat. Douglas Lim yang merupakan seorang stand-up comedian juga dilihat bakal memberi input dan komedi yang berpatutan di segmen pagi Fly FM.
Turut menemani para pendengar di Fly FM adalah Natalie K, nama yang tidak asing lagi bagi pendengar setia Fly FM. Natalie K yang merupakan wajah segmen pagi stesen Fly FM pada ketika Fly FM pertama kali memulakan siaran bersama Saufian Mokhtar di segmen yang disebut “The Pagi Show”. Dengan pengalaman lebih dari satu dekad di radio, Natalie K memberikan suntikan baru kepada pembaharuan Fly FM kali ini, setiap Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 4 petang.
Jangan ketinggalan untuk terus berhibur bersama Ryan Matjeraie di segmen petang Fly FM, setiap Isnin hingga Jumaat bermula 4 petang hingga 8 malam. Ryan yang mempunyai lebih sedekad pengalaman di dalam pengacaraan TV dan sebagai penyampai radio adalah tambahan terbaik buat segmen petang Fly FM.
Malam di Fly FM terus diserikan lagi dengan Juanita bermula 8 malam hingga 12 tengah malam, Isnin hingga Jumaat. Juanita, atau nama penuhnya Juanita David Ramayah adalah pemenang tempat ke-empat di Miss Universe Malaysia 2012 dan juga juara Seventeen Cover Girl 2008 adalah antara rentetan penyampai radio baru yang menyertai Fly FM.
Terus rasai Fly FM serba baharu dengan segmen yang menarik yang mampu membuatkan anda terhibur sepanjang hari dan pastinya memberikan muzik yang ANDA perlukan sepanjang hari.
Fly FM boleh didengari menerusi frekuensi 95.8FM di Lembah Klang; 98.6FM Seremban; 94.0FM Melaka; 89.9FM Penang; 107.5FM Kuala Terengganu; 107.4FM Kota Bharu; 87.6FM Kuantan; 87.9FM Ipoh; 99.1FM Alor Setar; 102.5FM Johor Bahru.
Secara alternatif, para pendengar juga boleh mendengar Fly FM secara live streaming di www.flyfm.audio dan YouTube Fly TV. Untuk perkembangan dan pengisian digital yang menghiburkan, boleh terus ikuti laman sosial Fly FM di Facebook FM FM, Instagram @flyfm958 dan Twitter @flyfm958 dan Whatsapp 017-295 1144. Fly FM juga boleh didengar menerusi aplikasi Audio+, yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.
One FM Kini Ditukar Dengan Nama 8FM
8FM yang dahulunya One FM, menyasarkan untuk menghiburkan dan berkongsi kandungan menarik bersama masyarakat Cina di Malaysia melalui penceritaan bertaraf dunia, positif dan muzik yang familiar sepanjang hari. 8FM 听好音乐,过好生活 Love Music, Cherish Life.
8FM menyasarkan pendengar berusia 25 tahun hingga 39 tahun bagi sasaran yang lebih luas, manakala lebih memberi fokus sasaran kepada pendengar berusia 30 tahun hingga 35 tahun.
Segmen pagi di 8FM dimeriahkan dengan kemunculan semula Royce Tan 陈志康 yang sudah lama berehat dari industri radio. Royce mengendalikan segmen pagi, 8FM Good Vibe Everyday (8FM 日日好精神) bersama Angeline Ooi 黄玉丽. Gandingan mereka berdua di dalam mengemudi segmen pagi ini bakal membincangkan berkenaan berita semasa, isu komuniti dan kehidupan seharian yang memfokuskan masyarakat cina serta pelbagai topik menarik bermula 6 pagi hingga 10 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat.
Pagi hari diteruskan bersama Hana 心怡 menerusi segmen 8FM Hana at 10 (8FM NA么十在) bermula 10 pagi hingga 4 petang, Isnin hingga Jumaat dengan pengisian berkaitan fakta-fakta menarik, berita hiburan dan gaya hidup yang pastinya mampu memberikan informasi yang padu buat para pendengar.
Gandingan hebat di 8FM terus menemani petang hari pendengar bersama Kyann Lim 林志遵 dan Orange Tan 陈慧恬. Mereka digandingkan di 8 FM OK Family (8FM OK 大小事) setelah beberapa tahun selepas pertandingan Project Superstar pada tahun 2007. Segmen 8 FM OK Family (8FM OK 大小事) pastinya akan membuatkan petang hari lebih segar dengan perdebatan mereka berkenaan kehidupan seharian dan dedikasi lagu yang anda mahukan. Bersama mereka setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 4 petang hingga 8 malam.
Segmen malam di 8FM pula diteruskan dengan Rickman Chia 谢承伟 menerusi segmen 8FM AMAZING YEAH! Yang pastinya akan menjadi teman malam buat pendengar bermula 9 malam hingga 12 tengah malam, setiap Isnin hingga Jumaat. Rickaman adalah peneman anda untuk berkongsi segala cerita dan apa sahaja yang sedang trending di media sosial merangkumi hiburan, drama, muzik dan banyak lagi daripada Malaysia, Hong Kong, China, Taiwan, Korean dan billboard.
Terus nikmati 8FM serba baharu dengan pelbagai segmen yang menarik dan perkongsian berita-berita semasa, juga cerita hiburan yang mampu memberikan anda informasi berguna serta muzik yang familiar sepanjang hari.
8FM boleh didengari menerusi frekuensi 88.1FM di Lembah Klang; 88.3FM Seremban; 88.1FM Melaka; 87.8FM Penang; 95.7FM Kota Kinabalu; 88.1FM/105.3FM Johor/Johor Bahru; 100.4FM Kuantan; 87.6FM Ipoh; 87.8FM Kedah; 98.3FM Kuching.
Secara alternatif, para pendengar juga boleh mendengar 8FM secara live streaming di www.8fm.audio dan YouTube 8FM881. Untuk perkembangan dan pengisian digital yang menghiburkan, boleh terus ikuti laman sosial 8FM di Facebook 8FM881 dan Instagram @8fm881 dan Whatsapp 017-251 0110. 8FM juga boleh didengar menerusi aplikasi Audio+, yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.