Sebelum ini, kita dapat perhatikan di media sosial netizen Malaysia aktif berbincang soal busana yang dipakai oleh para atlet Malaysia. Ramai yang menyukainya dan tidak kurang juga yang kurang berminat dengan pakaian yang digayakan.
Semua bermula sewaktu acara perbarisan kontinjen ketika majlis perasmian di Stadium Olimpik di Tokyo, Jepun yang disiarkan secara langsung di seluruh negara. Menurut warganet di laman Twitter, perenang berusia 24 tahun itu kelihatan segak dan tampan walaupun memakai pelitup muka yang hanya menampakkan bahagian matanya.
Dalam pada itu, lain ceritanya di China apabila seorang atlet renang Malaysia yang turut berada sewaktu acara perasmian Sukan Olimpik Tokyo 2020 berjaya menjadi tumpuan netizen di China berikutan wajahnya yang tampan.
Menerusi komen yang dikongsikan netizen China, mereka berpendapat Welson Sim memiliki wajah yang sangat tampan meskipun wajahnya ditutup dengan pelitup muka. Terdapat juga netizen China yang mengakui jatuh hati saat pertama kali melihat atlet ini sewaktu acara perasmian.
Meninjau ke laman Instagram miliknya, foto terbaharu Welson menerima lebih banyak tanda suka berbanding posting sebelumnya selain dihujani ratusan komen yang mengucapkan selamat berjuang dalam merebut pingat emas.
Untuk pengetahuan, Welson Sim merupakan atlet mewakili Malaysia dalam kategori renang 200m dan 400m gaya bebas. Anak kelahiran, Kuching, Sarawak sudah berjaya merangkul pingat emas bagi kedua-dua acara pada Sukan SEA 2017 lalu.
Sebelum ini, Welson Sim menduduki tempat ke-33 daripada 36 perenang dalam ranking keseluruhan acara itu pada hari pembukaan acara renang di Pusat Akuatik Tokyo.