Abu Syafiq Al-Asy’ary menerusi instagram mendakwa dia telah difitnah oleh beberapa ahli pasukan Ustaz Ebit Lew.
Dia yang tampil menerusi satu video mendedahkan bakal membuat laporan polis seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap isu tersebut.
“Saya telah difitnah teruk dengan fitnah yang tidak benar oleh beberapa orang daripada team ustaz Ebit Lew sendiri, tetapi bukan Ustaz Ebit Lew.
“Saya tidak mahu menyebut nama, tetapi saya akan buat report polis dan tindakan undang-undang sekiranya hal ini tidak dapat diselesaikan dengan cara baik,”
– Ustaz Abu Syafiq
Mengulas lebih lanjut dia berkata antara fitnah yang dilemparkan kepadanya iaitu dia menghina kerja amal dan mengkafirkan Ebit Lew. Menurutnya tuduhan yang dilemparkan sangat berat sehingga mencalarkan imejnya sebagai seorang pendakwah.
“Saya mengkaji dan melihat, rupa-rupanya dalam team ustaz Ebit Lew itu ada beberapa orang yang telah menyebarkan fitnah itu terhadap saya, bukan Ustaz Ebit Lew.
“Kerja amalnya saya sokong dan kerja-kerja dakwahnya saya tidak ada masalah kerana beliau tidak membawa mana-mana ajaran yang menyimpang serta memperjuangkan Ahli Sunnah Wal Jamaah,”
– Ustaz Abu Syafiq
Dakwanya lagi, dia juga sudah menegur individu tersebut namun dia enggan memohon maaf.
“Salah seorang daripada ‘teamnya’ akui telah memfitnah saya. Tetapi dia tidak mahu memohon maaf.
“Apabila dia memfitnah dan melaga-lagakan saya tanpa saya berjumpa dengan Ustaz Ebit Lew, tiba-tiba melagakan saya. Bagaimana setelah dia memfitnah saya, dia tidak mahu memohon maaf,”
– Ustaz Abu Syafiq