CERITA HANTU MALAYSIA, BERDASARKAN KISAH-KISAH “BENAR”
Korang percaya hantu tak? Hehehe… saje nak usik korang.
Sama ada korang percaya atau tidak, cerita hantu selalu kita dengar malah sekarang ni lambakan filem seram dan hantu selalu kita tonton di pawagam dan di kaca TV. Tak kira kat mana pun kita, mesti ada yang cakap dan bercerita pasal citer hantu.
Kini James Lee yang pernah memenangi Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Bangkok menerusi The Beautiful Washing Machine muncul pula dengan sebuah filem Seram Komedi Urban Legend yang masih mengekalkan unsur seram dan mistik “SINI ADA HANTU” ataupun “Here Got Ghost”. Kisah Hantu yang cuba dipaparkan, menceritakan lebih dari satu kisah hantu.
Malah bukan sekadar penceritaan, ada yang cuba menjejak dan merungkai Misteri Hantu tersebut. Namun banyak lagi kisah hantu yang sering kita dengar jarang diangkat ke layar perak. Justeru itu SINI ADA HANTU yang diilhamkan oleh James Lee cuba menceritakan CERITA HANTU MALAYSIA, BERDASARKAN KISAH-KISAH “BENAR”. menampilkan tiga cerita dalam satu filem, Sini Ada Hantu, nyata tidak mengecewakan.
Kemunculan filem pertama beliau “HISTERIA” dalam arus perdana mengubah banyak pandangan pengkritik filem tentang karya beliau. Filem yang mendapat kutipan lebih dari RM 2.8 juta itu membuktikan James Lee layak diikitiraf sebagai pengarah yang berani dalam menghasilkan karya seramnya.
Filem seram ini akan menemui penonton mulai 10 Februari 2011.
Menurut James Lee, filem ini sedikit sebanyak merujuk kepada kejadian-kejadian yang berlaku di Malaysia samada penceritaan hantu ini secara terus oleh orang yang mengalaminya atau yang mendengar cerita dari pihak lain, “Kisah hantu yang diangkat adalah kisah yang kita pernah dengari dan kisah-kisah ini boleh dikatakan bahan penceritaan oleh rakan-rakan saya”.
JAMES LEE
Kisah hantu dalam SAH ini juga dikatakan dapat mengingatkan kita kembali beberapa kejadian yang sering diperkatakan seperti kejadian di asrama penuh di mana seringkali pelajar-pelajar ditakutkan dengan kisah seram mengenai asal kejadian sesebuah sekolah berkenaan, kisah bagaimana orang mahu cepat kaya dengan memuja roh untuk meminta bantuan dan kisah tentang hantu cantik yang menjelma dari pokok pisang.
Filem ke 5 Astro Shaw Sdn Bhd dan filem pertama dengan kerjasama Double Vison Sdn Bhd mengisahkan tentang dua rakan sekerja yang dikehendaki menghantar suatu keranda secara mengejut ke sebuah kampung, di dalam perjalanan menghantar keranda tersebut van yang dinaiki oleh mereka mempunyai sedikit masalah radio.
Untuk watak utama, tiada barisan pelakon popular digunakan kecuali untuk watak hantu dan menjelaskan mengenai perkara itu, kata James, dia cuba untuk tidak mengganggu perhatian penonton menerusi populariti pelakonnya.
“Saya bimbang kalau menampilkan pelakon popular, orang akan lebih memberikan tumpuan kepada lakonan berbanding jalan cerita. Kalau itu berlaku, mereka tidak dapat menghayati filem ini sepenuhnya,” katanya.
Walau pun demikian, filem ini turut menampilkan pelakon popular Fasha Sandha yang tampil sebagai hantu pokok pisang dan pelakon terkenal Cina, Mandy Chen, yang menjadi hantu nombor ekor. Sementara untuk hantu Jepun yang muncul di asrama, dia menggunakan khidmat barisan pelakon lagak ngeri.
“Masalahnya untuk hantu nombor ekor dan hantu pokok pisang, saya perlukan mereka yang berwajah cantik. Bagaimanapun, anda boleh lihat Fasha tampil dalam keadaan hodoh dan menakutkan apabila bertukar menjadi hantu,” katanya.
Walaupun menampilkan cerita seram, jelas James, dia cuba menimbulkan suasa lucu dalam beberapa babak agar lebih menarik. Antara babak lucu dapat dilihat apabila James menampilkan pelakon teater terkenal, Mano Maniam yang menjadi mayat mendiang bapa kepada pemilik syarikat penghantaran segera.
Sebagai bahan hiburan untuk menghilangkan rasa mengantuk mereka bercerita dan membuat perbandingan tentang kepercayaan hantu masing-masing yang mana lebih ganas antara mereka. Tanpa disedari cerita yang disampaikan turut didengari oleh makhluk lain sepanjang perjalanan mereka.
Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.2 juta ini melakukan penggambaran sepenuhnya di sekitar Kuala Lumpur, diterajui oleh Baki Zainal dan Alvin Wong sebagai pencerita yang menceritakan kejadian-kejadian hantu tersebut.
Filem ini juga turut dibintangi oleh ramai pelakon lama dan turut menampilkan beberapa muka baru; Fasha Sanda, Beto Kusyairy, Eira Syazira, Kuswadinata, Qhaud AF, Pete Teo, Mandy Chen, Goh Sin Ping, Mano Maniam, Ramasundram, Sufian Mohamed, Zaki Zabidi, Chen Puie Heng, Chen Puie Kong, Wong Chee Hong, Patrick Teoh, Taiyuddin Bakar, Chomatt Samad, Amerul Affendi, Kazaruddin Saisi, Zuraini Kassim dan ramai lagi dan akan ditayangkan di 54 pawagam seluruh Malaysia bermula 10 Februari 2011.