Dua tiga hari ini, saya mengikuti perkembangan isu yang dibangkitkan Caprice, tulisan saudara Nadir Al-Nuri, diikuti dengan video penjelasan Ustaz Ebit.
Hanya menjadi pemerhati, saya membaca dan mendengar video-video. Kemudian saya baca komen-komen dan pandangan, nasihat, asas dan penilaian penulis-penulis yang di media sosial yang mengikuti isu-isu ini. Banyak pengetahuan baru yang saya dapat dan pelajari juga.
Sekadar menjadi pemerhati. Saya tidak mahu komen pandangan saya terhadap setiap satu kenyataan, siapa betul atau siapa salah? Sokong team yang mana atau hujahan mana yang saya percaya.
Untuk bacaan sendiri, cukup saya ambil tahu isu semasa. Cukup saya baca ilmu dan mana berfaedah saya simpan dan semat dalam hati dan minda saya.
Misalnya tulisan saudara Furqan Abdullah tentang sejarah penjajahan Palestine, kalau hendak membaca buku sendiri. Lama juga masa yang bakal diambil. Beliau rumuskan semua, ringkas dan padat.
Mereka yang terlibat seperti Caprice, Nadir dan UEL, telah berkongsi penulisan, Live dan versi masing-masing. Meletakkan versi yang mana salah dan betul itu, bukanlah mudah tanpa disokong oleh bukti. Jadi sebenarnya, tidak boleh kita adili tanpa disokong dengan bukti.
Kalau di mahkamah, saya rumuskan dan pendekkan prosesnya bagi dakwaan/tuduhan jenayah atau tuntutan sivil. Bagaimana pembuktiannya, bolehkah hanya sekadar percakapan atau penerangan tanpa disokong bukti-bukti ini sudah mencukupi?
Pertama sekali, sama ada kes jenay4h atau sivil yang paling utama adalah fakta kes dari segi pertuduhan atau tuntutan, berjalan seiring dengan bukti-bukti yang telah disiasat bagi tujuan dakwaan atau menyokong tuntutan.
Kemudian peringkat pembelaan. Jadi kalau ada dakwaan atau tuduhan, orang yang dituduh atau dituntut ada ruang untuk membela diri dan mempertikaikan kesahihan tuntutan atau dakwaan sama ada disokong oleh bukti-bukti.
Bukti-bukti perlu dikemukakan di mahkamah sewaktu memberi keterangan. Tidak semestinya kesemua bukti akan diterima mahkamah.
Misalnya ada resit yang mengatakan bayaran untuk tujuan sekian dan pihak penentang mencabar bahawa resit ini mungkin tidak benar atau diada-adakan. Jadi pihak yang mengemukakan resit perlu memanggil saksi yang mengisukan resit. Begitulah pembuktian di mahkamah.
Kadangkala boleh berhujah kerana satu bukti yang diberikan itu adakah patut diterima mahkamah atau tidak. Sepanjang saya menjadi peguam, ada bukti bahagian besi enjin kereta dibawa ke mahkamah, potongan jenis kayu balak, dokumen, gambar-gambar dan pelbagai lagi.
Hendak kemukakan satu kes bukan mudah, tidak boleh hanya cakap-cakap kosong sahaja.
Begitulah pengalaman saya dalam membuktikan sesuatu di mahkamah, jadi setiap kali apabila ditanyakan kepada saya, apa pendapat puan tentang isu itu dan ini? Selagi mana tidak melihat dokumen, selagi mana saya tidak membuat bacaan lanjut tentang sesuatu isu, saya tidak berani komen.
Jadi apabila berlaku isu semasa seperti melibatkan nama-nama insan-insan yang sangat memberi signifikasi kepada masyarakat ini, saya tidak boleh rumuskan atau memberi pendapat tanpa melihat bukti-bukti.
Hendak mengemukakan dan memutuskan kes di mahkamah, semuanya berdasarkan soalan-soalan yang bakal dikemukakan disokong dengan bukti-bukti.
Tidak sama caranya membuktikan kes di media sosial ini. Di media sosial, kita bebas dengan pendapat masing-masing, kita putuskan sendiri mengikut pandangan dan amatan kita sendiri.
Setakat hari ini, kita mendengar semua penjelasan masing-masing tetapi tidak kita lihat secara jelas segala pembuktian yang ada dari mana-mana pihak. Sama ada bukti itu sahih, boleh dicabar, juga adalah satu perkara.
Hendak memutuskan dan menilaikan juga masih terlalu awal. Tetapi itulah seperti saya tulis sebelum ini, media sosial ini memang gelanggangnya untuk mengemukakan rasa dan pendapat masing-masing.
Memandangkan isu ini telah pun diketengahkan, jadi memang menerima reaksi dari netizen itu adalah biasa, sama ada yang negatif atau positif. Kita tidak boleh kawal pandangan dan pandangan media sosial ini. Semua berhak memberikan pandangan masing-masing.
Cumanya dalam memberikan pandangan, biarlah kita ini mengamalkan suruhan agama, jangan menambah fitnah, jangan memaki hamun dan mencarut, jangan menghina dan kita jaga adab.
Kita nilai dengan bijak dan kita ambil iktibar, banyak hikmah yang boleh kita pelajari.
Oleh Nor Zabetha
Saya Maafkan Semua, Cukuplah Sampai Di Sini – Ebit Lew
PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew memaafkan semua pihak yang melabelnya sebagai syaitan, dajal, babi, bodoh, penunggang serta segala macam fitnah dan kecaman yang menjatuhkan dirinya.
Menerusi coretan terbaharu di laman Facebook miliknya, beliau turut memaafkan sesiapa sahaja yang telah menyakiti arwah bapanya, isteri dan dan anak-anaknya.
“Saya maafkan semua. Kita semua sebuah keluarga sampai bila-bila. Saya dengan ini dari hujung rambut hingga ke hujung kaki minta maaf pada sesiapa sahaja secara langsung atau tidak langsung atas apa yang berlaku ini.
“Niat saya hanya hendak menjelaskan tuduhan terhadap saya. Saya minta maaf ya pada semua,” tulisnya hari ini.
Pendakwah disegani ramai itu turut berpesan kepada dirinya sendiri dan semua agar bersatu hati dan bersama-sama berdoa supaya Allah mengangkat musibah Covid-19 di negara ini.
Beliau berkata, sengketa yang wujud tidak menguntungkan sesiapa melainkan syaitan sedangkan ramai lagi orang miskin, anak yatim kelaparan selain ada yang hilang pekerjaan dan tiada tempat berteduh memerlukan bantuan.
“Tanyalah khabar jiran dan keluarga terdekat. Bila dua orang berselisih kedua-duanya tidak untung. Tetapi yang untung ialah syaitan.
“Sekali lagi saya minta maaf. Doakan saya. Cukuplah sampai sini. Ya Allah jika ada pahala untuk semua yang berlaku ini saya hadiahkan semua pahalanya buat ibu bapa saya,” ujarnya.