in , ,

Sinopsis Drama SITIK TOK & Drama MATA KETIGA Menemui Penonton TV3

Dua Drama Menarik Menemui Penonton Tv3 Mulai 22 Julai 2021, 10.00 Malam

Berkongsi video di pelbagai aplikasi media sosial mula menjadi sebati dalam hidup kita. Adakah cita-cita untuk menjadi seorang ‘TikToker’ hanyalah angan-angan yang mahu meraih kepopulariti semata-mata? Bagaimana pula dengan kurniaan istimewa yang membolehkan anda melihat dunia dengan mata ketiga? Adakah ia satu anugerah atau musibah? 

Ayuh, kita ikuti perjalanan hidup Siti dalam drama bersiri terbaharu ‘SiTik Tok’ yang bakal bersiaran di TV3 pukul 10.00 malam dan disusuli dengan pengembaraan mistik Faizul dalam drama ‘Mata Ketiga’ pukul 10.30 malam pada setiap hari Isnin hingga Khamis mulai hari ini. 

Drama SiTik Tok Mata Ketiga

SiTik Tok, Isnin – Khamis, 10.00 malam

Drama bersiri 16 episod ini diarahkan oleh Joon Goh dengan nukilan skrip oleh Nadia Khan, Adib Zaini, Dayang Noor dan Jarr Nadjmuddean menampilkan pelakon-pelakon popular seperti Scha Elinnea (Siti), Niezam Zaidi (Shon), Nadia Aqilah (Miss Rona), Nelissa Nizam (Jaja), Zamaera (Maru), Kahoe (Xander) dan Acong Sweetchild (Chuchox). 

SiTik Tok mengisahkan tentang seorang gadis kampung, Siti yang sering berkongsikan video-video menarik di setiap pelusuk kampung. Apa saja aktiviti orang kampung akan dijadikan bahan karya Siti dalam video TikTok. Keluarga tunangnya mula rasa malu dengan obsesinya dan mendesak Harun untuk memutuskan hubungan dengan Siti. 

Siti tidak rasa patah hati selepas kejadian itu. Malahan, Siti nekad untuk mencari peluang di Kuala Lumpur. Siti memujuk dan merayu ibunya supaya bersetuju dengan permintaannya. Akhirnya, dia dilepaskan dengan syarat dia perlu tinggal bersama sepupunya, Jaja. 

Siti sangat teruja dengan kehidupan baharunya di Kuala Lumpur tetapi dia tidak sedar bahawa Jaja tidak menyukai kedatangannya. Jaja menjalankan bisnes atas talian dengan peralatan lengkap dan bilik khas untuk merakamkan video dan menyimpan stok. Teman serumah mereka iaitu, Maru pula seorang gadis yang ceria dan mempunyai bisnes ‘food truck’. 

Siti didampingi oleh Chuchox, seorang artis rock kapak yang menawarkan peluang untuk bekerjasama kerana tertarik dengan kepopulariti Siti. Malahan, pasukan Jaja juga mencari Siti untuk membuat review produk tanpa pengetahuan Jaja. Hanya berpandukan minat, Siti mula mengenali dunia media sosial yang sebenar. Siapakah gerangan Miss Rona yang menjadi pujaan dan ikutan dalam kalangan influencers? Apakah keseraian yang bakal tercipta antara Siti dengan Shon, seorang jurufoto yang anti media sosial?

Jangan lupa menonton SiTik Tok pada setiap hari Isnin hingga Khamis, 10.00 – 10.30 malam di TV3 dan perkhidmatan penstriman WeTV selepas satu jam tayangan. Penonton juga boleh langgani WeTV untuk mengikuti drama-drama dan filem-filem menarik secara strim di laman web WeTV, wetv.vip atau di aplikasinya yang boleh didapati di App Store atau Google Play Store.

Drama SiTik Tok Mata Ketiga

Mata Ketiga, Isnin – Khamis, 10.30 malam

Drama bersiri 10 episod berdurasi 30 minit ini merupakan terbitan Skop Productions, diarahkan oleh C.Kumaresan merupakan adaptasi novel yang ditulis oleh Zulkifli Ahmad Idrus. Mata Ketiga menampilkan barisan pelakon handalan Malaysia seperti Hafeez Mikail, Mustaqim Bahadon, Isyariana Azmi, Dayana Roza dan Fimie Don. 

Drama genre seram dan mistik ini mengisahkan Faizul, seorang pelajar universiti tempatan yang dikurniakan anugerah istimewa dimana beliau dapat berkomunikasi dengan alam mistik. Pengembaraan bermula apabila Faizul dan empat kawan baiknya menyertai ekspedisi hutan yang diketuai oleh Profesor Mazlan.

Faizul yang lebih arif di dalam ilmu hutan menasihati rakan-rakannya untuk mematuhi pantang larang ketika berada di dalam hutan. Malangnya, nasihat itu tidak diendahkan dan menjadi lebih teruk apabila Farah dirasuk. Semenjak kejadian itu, Faizul cuba mencari kebenaran mengenai mata ketiga beliau.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ebit Lew Tampil Buat Live Dedah Jawab Segala Tuduhan, Tapi Ada Satu Soalan Buat Nadir

Sharnaaz Henti Ulas Isu Caprice & Ebit Lew Akui Tak Berpihak Pada Sesiapa