Menerusi video berdurasi 15:42 saat yang dirakam individu berkenaan, lelaki tersebut dilihat cuba menafikan kesalahannya dengan menjelaskan yang dia hanya datang ke sana untuk mengisi minyak.
Namun tindakannya membuat video secara langsung di Facebook (FB) sehingga ianya tular bagaimanapun hanya mendapat kecaman orang ramai memandangkan ramai berpendapat jelas terbukti yang dia telah melakukan satu kesalahan iaitu tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam.
Hina & Provok Anggota Polis
Lebih menimbulkan kemarahan orang ramai apabila dia yang masih meneruskan rakaman sewaktu memandu pergi bagaimanapun mula mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina anggota-anggota polis terbabit.
Namun pada 20 Julai lalu, pemuda berusia 29 tahun tersebut sudahpun ditahan pihak berkuasa di rumahnya, di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, pada jam sekitar 10 malam.
Video sewaktu penahannya turut tular selepas ia dipercayai dimuat naik individu itu sendiri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid, menerusi satu kenyataan media kemudian memaklumkan polis akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret, di sini, pada 21 Julai untuk siasatan lanjut.
Direman Empat Hari
Terbaru, Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap lelaki tersebut bagi membantu siasatan kes provokasi polis.
Mohamad Fakhrudin berkata reman terhadap bermula hari ini, 21 Julai sehingga Sabtu depan.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 188, 504, 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.