Platform radio Media Prima, RIPPLE mengumumkan rancangan transformasi perniagaan susulan perlantikan kepimpinan kanan baharu yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Nazri Noran serta pelantikan Aaron Pinto sebagai Ketua Pegawai Kandungan RIPPLE dan Datuk Jake Abdullah sebagai pakar runding kepada RIPPLE.
Nazri dalam satu kenyataan berkata, transformasi perniagaan membabitkan perubahan operasi termasuk perubahan kandungan dan barisan penyampai untuk semua stesen radio RIPPLE.
Katanya lagi, perubahan yang dilakukan bertujuan untuk mendorong pertumbuhan positif, meningkatkan tahap relevan dari segi jenama supaya terus berdaya saing dalam pasaran.
“Saya, Datuk Jake dan Aaron menyasar untuk meningkatkan jumlah pendengar dan pendapatan untuk RIPPLE. Jadi, terdapat perubahan besar terhadap kandungan dan barisan penyampai kami untuk terus maju ke hadapan,”
– Nazri Noran
Menurut Nazri, pihaknya kini berusaha mengkaji dan menilai pilihan yang terbaik bagi mencapai matlamat perniagaan.
“Ini adalah tanggungjawab kami untuk melakukan inovasi terhadap kumpulan radio. Kami akan kongsikan lebih banyak lagi maklumat dalam masa terdekat, dan kami begitu teruja untuk memberikan lebih banyak lagi kandungan menarik kepada pendengar setia radio di Malaysia,”
– Nazri Noran
RIPPLE mewakili empat jenama siaran radio iaitu Fly FM, Hot FM, One FM dan Kool FM, serta platform penstriman audio/podcast, Ais Kacang.
*Sumber: Harian Metro