Pandemik COVID-19 ternyata bukan sahaja meragut nyawa manusia tetapi juga telah memberikan kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental seseorang. Manakan tidak, ramai yang terpaksa berkurung di rumah, hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan.
Ia boleh menyebabkan berlakunya masalah kemurungan dan stres yang melampau sehingga akhirnya membawa kepada kes bunuh diri.
Dalam keadaan ini, sokongan daripada orang sekeliling amatlah diperlukan. Terkadang, cukup dengan hanya menjadi pendengar sahaja, ia sudah boleh membantu orang-orang yang mengalami kemurungan.
Mungkin mengambil kira perkara itu, seorang lelaki telah membuka satu khemah di tepi jalan yang bertujuan untuk mendengar luahan hati orang ramai.
Menerusi satu ciapan yang tular di Twitter, lelaki itu dilihat duduk dengan bersahaja sambil menunggu seseorang untuk datang dan bercakap dengannya.
Pada khemahnya, terdapat banner yang bertulis Need To Talk? I’ll Listen dan meyakinkan orang ramai bahawa sesi luahan dengannya itu adalah sulit dan tidak akan dipandang serong.
Usaha murninya itu telah dipuji oleh netizen. Pun begitu, tidak dapat dipastikan lelaki itu berada di negara mana. Sehingga kini, ciapan itu telah mendapat sebanyak 6,000 ulang kicau dan 36.6 ribu tanda suka.