in , ,

Arwah Benjy Sempat Khatam al-Quran, Dekatkan Diri Pada Tuhan

Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 43, yang meninggal dunia akibat asma dikatakan sudah khatam al-Quran pada 17 Februari lalu.

Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang menghembuskan nafas terakhir pagi semalam difahamkam sudah khatam al-Quran pada 17 Februari lalu.

Ia berikutan tular di media sosial mengenai surat yang difahamkan daripada panitia khatam al-Quran dari Masjid At Taubah Lapas Kelas 1 Medan yang menunjukkan nama Benjy tersenarai bersama enam peserta lain.

Menerusi sepucuk surat daripada panitia khatam al-Quran Masjid At Taubah Lapas Kelas 1 Medan yang tular, nama Allahyarham antara tujuh peserta yang disenaraikan dalam majlis berkenaan.

BENJY

Bagaimanapun, adik Allahyarham, Inessa Irdayanty berkata, dia tidak dapat mengesahkan perkara itu.

“Saya minta maaf kerana kami tak pasti berkenaan perkara ini. Arwah abang pun tidak beritahu kami mengenainya. Namun, sekiranya apa yang tular itu benar, saya bersyukur,”

Inessa juga memaklumkan jenazah pelakon drama Kerana Cintaku Saerah itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta Medan, Indonesia.

Mereka dimaklumkan mengenai berita kematian Benjy selepas kakaknya, Elza menerima panggilan daripada pihak penjara di Medan memberitahu Benjy tidak dapat bernafas akibat asma.

“Sekitar jam 11 pagi (waktu Malaysia), kami diberitahu Benjy sudah tiada. Dia meninggal dunia ketika dibawa ke hospital di Medan, tapi tidak dapat diselamatkan.

“Benjy sudah lama menghidap asma kronik asma dan penyakit paru-paru lain. Arwah juga dilaporkan banyak kali masuk dan keluar hospital dalam tempoh beberapa tahun ini,” katanya. 

Inessa berkata, pihak keluarganya juga sudah memberi kebenaran kepada pihak penjara Medan untuk mengebumikan jenazah Benjy di sana.

Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan arwah abangnya ialah seminggu lalu.

“Dia menghubungi saya dan mengucapkan selamat hari jadi. Namun, dengan kakak saya tak pasti tapi mereka kerap juga berhubung setiap bulan.

“Tak silap saya, arwah juga ada menghubungi bapa pada Hari Bapa, baru-baru ini, ” katanya.

Perkara tersebut turut disahkan rakan seperjuangannya, Ellie Suriaty yang menyatakan Benjy memaklumkan mengenai perkembangannya pada perbualan terakhir mereka menerusi telefon minggu lalu.

“Memang Benjy akui sudah melalui banyak perubahan sepanjang hampir empat tahun berada di sana apabila memperuntukan masa yang ada dengan mendekatkan diri kepada Allah.

“Arwah beritahu dia sudah khatam al-Quran, bersolat dan berpuasa. Alhamdulillah,” kata aktres serba boleh yang sememangnya menjadi kawan rapat ibu arwah yang juga seniwati dihormati, Allahyarham Azean Irdawaty.

Kunjungan Persatuan Seniman Malaysia Ringankan Beban Benjy

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Mohd Hafiz Mohd. Nafiah yang mengunjungi Benjy buat kali kedua pada April 2019 berkata Allahyarham meminta mendoakan dirinya.

Kata Hafiz, walaupun kesihatannya terjejas dan tampak lebih kurus berbanding kunjungan pertama Seniman sekitar Disember 2018, Benjy cukup bersemangat melihat kedatangan mereka.

“Kali kedua saya datang untuk menyerahkan sumbangan orang ramai menerusi Tabung Prihatin Seniman untuk digunakan membeli ubat serta menjalani rawatan doktor memandangkan kos untuk orang luar agak tinggi.

“Dalam tempoh dua jam kami dapat berbual panjang selain membawanya bertemu doktor di dalam tempat sama kerana Benjy mengadu keadaan kesihatannya masih tidak menentu.

“Sebelum pulang, kami menyerahkan bungkusan untuk menyambut Ramadan dan Syawal berupa berupa baju Melayu, songkok, pakaian harian dan makanan kering.

“Menitis air matanya mengenang kebaikan insan-insan yang sudi memberi sumbangan kepadanya. Benjy bertanya bila kami dapat datang lagi. Dia minta doakan dia sihat dan diberi kekuatan mental,” katanya.

Mengenai pengebumian, katanya beberapa rakan seperjuangan Allahyarham sudah menghubungi Seniman untuk menbiayai kos pengurusan jenazah termasuk pengebumian.

“Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan. Kami juga sudah berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia dan Penjara Tanjung Gusta. Bagaimanapun, kos perlu ditanggung oleh waris.

“Setakat ini ramai yang menghubungi Seniman mahu membantu. Jenazah yang disahkan bebas Covid-19 dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta sebelum Zuhur waktu tempatan hari ini,” katanya.

Pada 2017, Benjy yang juga anak kepada seniwati Allahyarham Azean Irdawaty dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan menyeludup dadah jenis syabu.

Allahyarham Benjy pernah mendirikan rumah tangga dengan Safiya Stephanie Kar-Leng Lee pada Februari 2004 dan bercerai pada 2013.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Firdaus Juan Benjamin, 16.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sudah Lockdown Tapi Kes COVID-19 Tetap Naik, Janna Nick Mohon Kerajaan Bertindak

Permohonan Pengeluaran KWSP i-Citra Diawalkan Kepada Hari Ini 12 Julai 2021