Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.
Bagaimanapun bagi Najib, perkara itu bukanlah sesuatu yang perlu dibuat kajian.
“Tak perlu kaji lagi, saya beri solusi.
“Langkah pertama: Hantar notis kepada Speaker untuk suruh Parlimen bersidang. Langkah kedua: Bersidang. Habis,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kata Najib lagi, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu sudah bertitah agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
“Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu tak titah untuk kamu bentuk jawatankuasa untuk kaji bagaimana Parlimen boleh bersidang.
“Seolah-olah ini adalah kali pertama Parlimen akan bersidang,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, Muhyiddin berkata jawatankuasa yang akan turut dianggotai pembangkang itu antara lain akan meneliti sama ada sidang Parlimen akan dibuat secara fizikal atau hibrid.
Katanya lagi, wujud keperluan untuk mengambil kira soal persiapan bagi urusan persidangan secara fizikal, termasuklah aturan tempat duduk ahli parlimen yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Dalam satu hantaran berbeza, Najib secara menyindir berkata jika kerajaan masih tidak pasti sama ada selamat untuk 220 orang ahli Parlimen bersidang, kerajaan boleh saja belajar daripada kilang dan tapak pembinaan yang mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
Parlimen sudah bersidang tahun lepas ketika kes Covid-19 mencecah ribuan kes sehari, walaupun ketika itu seorang (ahli Parlimen) pun tak pernah terima vaksin.
“Sekarang, semua ahli Parlimen sudah selesai divaksin dua kali,” katanya.
Dia juga menyindir yang jika masih ada rasa tidak selamat untuk mengadakan sidang di bangunan Parlimen, ia boleh dilakukan di kilang dan tapak pembinaan yang mendapat kebenaran Miti untuk beroperasi pada masa ini.
Najib tunjuk cara senang untuk bukak Parlimen
Jawatankuasa dibentuk teliti persidangan Parlimen: PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.
Beliau memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.
“Saya minta jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kerajaan dan pembangkang untuk nilai perkara berkenaan, dan selepas itu barulah mereka maklumkan kepada saya sama ada sudah bersedia atau tidak untuk memulakan sidang Parlimen.
“Sama ada persidangan akan dibuat secara hibrid atau fizikal, ini akan dirujuk kepada peraturan tetap yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Katanya kerajaan perlu memperhalusi semua perkara bagi mengelak timbul masalah selepas pelaksanaannya.
“Saya harus teliti. Saya faham sangat-sangat dan saya dinasihatkan bukan sahaja oleh Menteri Undang-Undang, tetapi oleh Peguam Negara supaya tindakan saya dan kerajaan selari dengan apa yang ada dalam perlembagaan,” katanya.
Jelasnya kerajaan antara lain perlu mengambil kira sama ada persidangan boleh diadakan secara fizikal, dan sama ada pelaksanaan secara hibrid selari adalah dengan peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.
Selain itu, jelasnya wujud juga keperluan untuk mengambil kira soal persiapan Parlimen bagi urusan persidangan secara fizikal itu sendiri, termasuklah aturan tempat duduk ahli Parlimen yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Muhyiddin berkata bukan niatnya untuk melengahkan pembukaan persidangan Parlimen, namun ini antara isu yang harus diperhalusi terlebih dahulu.
Katanya beliau berharap rakyat faham, dan menurutnya ia bukan soal kerajaan mahu menafikan hak ahli Parlimen atau menyanggah kenyataan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu.
“Saya faham tanggungjawab sebagai perdana menteri besar tetapi saya kena berlaku adil supaya nanti tidak timbul isu-isu dan masalah kemudian…Ini satu perkara yang harapnya rakyat faham dan tunggu,” katanya. – Bernama