in ,

RTM & DBP Jalin Kerjasama Dalam Telefilem CAPA RENGAT GULAI RAWO

Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi menjalin kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam penghasilan telefilem bertajuk “Capa Rengat Gulai Rawo” yang menemui penontonpada 20 Mac ini, pukul 9.00 malam mengisi slot Panggung RTM di TV1.

Setelah kejayaan telefilem ‘Pendoa yang Ikhlas’ (2019), Wan Afzam Wan Daud dan Unit Drama RTM kembali dalam karya terbaharu ini yang merupakan adaptasi dua buah cerpen ‘Capa Rengat & Gulai Rawo’ karya Baharudin Kahar. 

Karya ini menonjolkan sisi kekeluargaan dan masyarakat juga pada masa sama turut mengupas sosial budaya dan sosial ekonomi di empat latar yang berbeza (golongan elit, golongan pertengahan, masyarakat kampung dan Orang Asli).

Capa Rengat

Cerpen ini mengisahkan seorang remaja (bandar) yang dibawa oleh ibunya ke kampung urusan pusaka. Pada mulanya dia kekok dan janggal dengan suasana kampung tersebut. Sehinggalah dia berkenalan dan berkawan dengan Su. Mengenali Su membawa pengalaman baharu yang manis untuk dia di kampung tersebut. 

Berbeza dengan kehidupan di bandar, dia merasakan inilah yang dicari selama ini. Namun kegembiraannya hanya seketika. Dia perlu pulang ke bandar. Su sempat memberikan sekuntum bunga capa rengat. Bunga itu dibawa bersama-samanya ke bandar. Capa rengat kekal dalam ingatan.                                  

Gulai Rawo

Cerpen ini mengisahkan bapa tua yang berusaha mencari kelah sisik merah untuk dibuatkan gulai rawo untuk anak dan menantunya akan pulang hujung minggu nanti. Berita gembira tentang kepulangan anak dan menantunya sudah diuar-uarkan pada jiran tetangga. Ikan kelah sisik merah memang sukar untuk ditangkap namun dia berjaya mendapatkan dengan bantuan Orang Asli (kawan).

Luluh hati seorang bapa, apabila anaknya itu hanya singgah sebentar sahaja di kampung kelahirannya itu. Malah lebih menyedihkan, anaknya hanya menjamah sedikit sahaja gulai rawo yang disediakan. Dengan alasan, seleranya telah bertukar sejak tinggal di kotaraya.

Kekuatan telefilem ini turut disokong barisan pelakon berpengalaman menghidupkan watak Budin (Mior Hashim Manap), Rabiah (Farah Ahmad), Khinto (Dewa Sapri), Ambi (Nadiya Nissa), Agil  (Fikhree Bakar), Abu (Harith Haziq), Su (Adawiyah Mohd Nawi), Mira  (Mhia Firdaus) dan Batin Hitam (Azrol Salehuddin). 

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

NUHA BAHRIN Lancar Single XSEMPURNA, Kisah Sebenar Dikutuk & Dihina Satu Dunia

Penyanyi Kena Ada Adab, Nasihat Siti Sarah Buat Nabila Razali