in ,

Marsha Lancar Album EP Yang Pertama

MARSHA YANG PERTAMA
Pelantun “Ruang Kedua” yang baru saja menyambut ulangtahunnya pada 6 Disember lalu akhirnya telah menyempurnakan semua lagu yang bakal dimuatkan dalam EP pertama beliau yang berjudul “Yang Pertama”.

Judul itu dipilih bersesuaian dengan penantian Marsha untuk mempunyai album selepas bergelar graduan Akademi Fantasia musim ke-3. Akhirnya lima buah lagu sudah siap untuk menjengah pasaran. Antara lagu-lagunya adalah Ruang Kedua (duet bersama Julian Cely), Tak Perlu Selamanya, Bila, Janji dan Kita.

Marsha

Hari ini (11.1.11) telah dipilih sebagai tarikh keramat untuk gadis kelahiran Michigan Amerika Syarikat untuk merilis albumnya.

Menurut Encik Ferhard Ahmad, Pengarah Urusan Alibi Music Sdn Bhd, Marsha punya vokal yang baik dan pakej lengkap untuk menjadi seorang penghibur.

“Kami percaya Marsha wajar diberi peluang untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang nyanyian. Dua daripadanya lagu di dalam EPnya ‘Yang Pertama’ mendapat sentuhan peribadi Marsha manakala tiga lagi dipilih sendiri oleh Marsha.

Marsha

Ruang Kedua menjadi taruhan pertama Alibi Music untuk mengenengahkan bakat Marsha dalam bidang nyanyian. Lagu duet bersama Julian Cely yang berasal dari Perancis mendapat respon yang positif. Ternyata percubaan pertama ini menjadi apabila lagu duet berkenaan berjaya menambat hati peminat di Malaysia.

Melihat kepada potensi besar Marsha, kami memutuskan untuk memasarkan EPnya sebagai pembuka tirai 2011. Dengan kerjasama para penerbit seperti Francis Hawtyn Cobb, Imran Ajmain, Adeep Nahar, Cydney Chang dan Delynne Hashim, terhasilah ‘Yang Pertama’.

Kami juga turut menganjurkan Pertandingan Menulis Lirik Lagu Terbaru Marsha. Namun, lagu dan lirik ciptaan pemenang pertandingan berkenaan akan dimuatkan dalam projek akan datang,” ujar Ferhard.

Marsha

TENTANG YANG PERTAMA
Ditanya tentang EPnya ‘Yang Pertama’ ini, perasaan Marsha bercampur baur.

“Antara gembira, teruja, gementar semuanya ada. Gembira kerana akhirnya saya punya EP sendiri setelah menunggu hampir lima tahun. Teruja kerana saya turut terbabit dalam pengolahan dan pemilihan lagu. Gementar kerana menantikan respon daripada peminat.

Ditambah lagi dengan jadual penggambaran yang agak ketat, saya harus menyelesaikan banyak tuntutan kerja. Namun, saya tetap meluangkan masa untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk album ini.

“Ruang Kedua” merupakan kali pertama saya berduet dengan penyanyi dari luar negara. Lagu ini asalnya adalah dalam Bahasa Perancis dan kemudiannya diolah semula oleh Bob dan saya. Agak mencabar juga kerana temponya laju dan kata-katanya panjang. Lagu ini dirakamkan di Platinum Studio dan mengambil masa 3 jam kemudiannya dihantar ke Paris untuk rakaman suara Julian pula.

“Bila” adalah gubahan pertama saya. Lagu ini sangat istimewa bagi saya kerana proses pembikinan lagu ini dipenuhi aura-aura kegembiraan, bermula dari saat saya menekan kunci pertama di piano saya sehingga tamatnya rakaman vokal. Lirik feminin yang bersahaja ditulis oleh Eenaz Mokhtar manakala susunan muzik yang segar dan bertenaga oleh Kimberly Chin bagai memberikan nyawa kepada lagu “gembira” ciptaan saya ini.

Marsha

“Janji” merupakan gubahan pertama saya yang diterbitkan. Semasa menghayati watak “Wati” ketika penggambaran dokudrama Korban 44, saya mendapat inspirasi untuk menulis lagu ini. Lagu ini pada asalnya ditulis dalam mood yang sedih kerana mengikut jalan cerita Korban 44. Tetapi apabila diolah semula untuk album ini, lagu ini telah diberi nafas baru dan menjadikan ia sebuah lagu yang menggambarkan kebahagiaan. Lirik puitis lagu ini ditulis oleh Hariry Jalil yang memainkan watak “Anjang” iaitu pasangan “Wati” dalam drama tragis tersebut.

“Tak Perlu Selamanya” pula ditulis oleh Cydney Chang. Sebelum mendengar lagu ini, saya sudah mendengar berpuluh-puluh demo. Namun, kali pertama Cham VE memutarkan lagu ini sekitar pertengahan tahun 2009, saya umpama jatuh cinta pandang pertama dengan lagu ini. Saya jatuh hati pada rentak dan feel lagu kerana ia unik berbanding dengan lagu-lagu tempatan. Lagu ini telah dirakamkan pada akhir tahun 2009 dan sudah beberapa kali dipersembahkan secara live.

“Bersama Kita” yang ditulis sepenuhnya oleh Delynne Hashim merupakan lagu tema siri drama “K.I.T.A”. Pengalaman bekerja di set penggambaran K.I.T.A bersama pengarah Michael Ang, pelakon-pelakon lain dan krew mencatatkan pengalaman manis dalam karier lakonan saya. Lagu ini dimuatkan dalam EP kerana ia begitu sentimental bagi saya,” kata Marsha mengakhiri perbualan.

Istimewa sempena pelancaran EP Marsha Yang Pertama, Suria FM menjadi Stesen Radio Rasmi.

Sehari sebelum pelancaran EPnya, Marsha telah meluangkan masa untuk temubual bersama Tuah Zoqarnain di Suria FM. Manakala untuk pendengar Suria FM pula, sepuluh pendengar bertuah yang telah menyertai pertandingan di laman web www.suriafm.com.my diberikan peluang untuk bertemu Marsha ketika pelancaran EPnya.

Marsha

Marsha

Marsha

Marsha

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Terima Kasih Cinta The Musical Tickets Up For Grabs

Remy Ishak Duta Produk Transformasi DASHING