Gandingan mantap Pemenang Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian, Datuk Aaron Aziz dan Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia ke-24, Nadiya Nisaa juga antara daya tarikan utama drama ini diminati. Ada sebahagian penonton juga dilihat tidak boleh ‘move on’ dengan watak Ain Hawani dan Adam Mukriz sehingga kedua-dua pelakon tersebut masih dipanggil dengan nama karakter mereka. Kini selepas sembilan tahun, Ain Hawani & Adam Mukriz kembali menerusi filem Dekatnya Cinta yang akan menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 13 Mei ini.
Tambah mengujakan, filem drama romantik terbitan Global Station ini turut menampilkan teraju utama lain seperti Farah Nabilah, Datuk Fazley Yaakob dan Nadya Syahera. Ini adalah kemunculan pertama Farah Nabilah selepas berehat seketika. Manakala, pengarah yang cukup terkenal dengan memberi sentuhan magis pada drama-drama yang meraih ‘rating tinggi’, Feroz Kader masih diberi kepercayaan untuk mengarahkan Dekatnya Cinta.
Lebih menarik, filem ini turut memuatkan beberapa babak-babak romantik daripada sedutan drama 80 episod terdahulu yang pasti dapat membawa penonton imbau kembali momen cinta Ain Hawani dan Adam Mukriz. Tidak cukup dengan itu, lagu tema popular Adam & Hawa bertajuk Muara Hati, nyanyian penyanyi nombor 1 negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza bersama Hafiz Suib sekali lagi mengiringi babak-babak meruntun jiwa dalam Dekatnya Cinta.
Dekatnya Cinta mengisahkan tentang pasangan suami isteri Adam Mukriz dan Ain Hawani hidup bahagia sehinggalah hadir orang ketiga, Zulaika (Farah Nabilah). Adam Mukriz mula beralih arah kerana Ain Hawani tidak dapat memberi tumpuan pada keluarga disebabkan sibuk dengan kerjaya dan menyambung pengajian. Keadaan bertambah rumit apabila Adam Mukriz ternampak Ain Hawani menerima sejambak bunga bersama Profesor Yusoff (Datuk Fazley Yaccob). Diselubungi rasa marah dan cemburu, Adam Mukriz telah melafazkan cerai. Bermulalah perjalanan hidup baru buat mereka berdua dalam berdepan dengan pelbagai dugaan.
Menurut Penerbit Eksekutif Dekatnya Cinta, Zetty Alia Dato Ramly berkata, “Selepas cetus fenomena di luar jangkaan, impaknya dirasai sehingga sekarang. Ada dalam kalangan peminat masih bercakap dan mengharapkan kesinambungan drama tersebut. Atas sokongan positif penonton, pihak kami tidak teragak-agak untuk membawa kesinambungan kisah percintaan Adam & Hawa menerusi filem pula. Kali ini menyaksikan sisi berbeza Ain Hawani dan Adam Mukriz selepas berumah tangga dan dikurniakan anak. Walaupun ia kesinambungan daripada drama terdahulu, namun buat penonton yang baru mengenali Adam & Hawa, masih boleh mengikuti filem Dekatnya Cinta kerana ia tampilkan naratif yang baru. Kami harap Dekatnya Cinta dapat mengubati rindu peminat Adam & Hawa serta mengulangi kejayaan Adam & Hawa terdahulu.”
Manakala Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Jenama drama Adam & Hawa amat kukuh dalam kalangan penonton serta penerbitan drama tempatan. Ia bukan sahaja mencatat jumlah tontonan yang membanggakan, namun berjaya tambat hati penonton dengan jalan cerita, lakonan meninggalkan kesan, sinematograf, lagu tema sehingga ke hari ini. Bersempena bulan Syawal, kami bawakan kesinambungan drama
tersebut dengan lebih konflik, lebih romantik serta lebih drama istimewa buat peminat dan penonton yang ternanti-nanti sepanjang sembilan tahun sejak ia tamat ditayangkan. Kami harap kehadiran filem Dekatnya Cinta mampu memeriahkan Aidilfitri penonton dan terus kekal di rumah meskipun perlu melalui sambutan yang berbeza. Buat penonton yang ingin tonton kembali kesemua 80 episod Adam & Hawa, ia boleh ditonton di platform On Demand and Astro Go.”
Saksikan filem Dekatnya Cinta yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 13 Mei 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.