Masih mengekalkan konsep genre pop yang dibawa oleh mereka dan malah disulam dengan irama tadisional, RAYA RAYA RAYA merupakan lagu raya pertama yang dinyanyikan oleh artis wanita berkumpulan setelah sekian lama.
Lagu ciptaan bersama oleh beberapa orang komposer dan penulis lirik yang professional iaitu Kalerj, Ajay Amai, Mike Chan, Glow Rush, Nick Arif, Acap Salim dan Somean K-Clique ini dilihat dapat memperlihatkan lagi bakat DOLLA yang bukan sahaja mampu menyanyikan lagu pop yang rancak, malah lagu yang mempunyai unsur tradisional. DOLLA yang dianggotai oleh Sabronzo, Angel, Tabby dan Syasya ini telah membuktikan bahawa mereka berani bereksperimen dan mampu membawa genre yang berbeza dari sebelumnya sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam industri hiburan Malaysia.
Secara umumnya, RAYA RAYA RAYA terbitan Universal Music Malaysia ini menyentuh mengenai percanggahan gaya tradisional dan moden untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di mana perkembangan teknologi yang pesat telah mempengaruhi bagaimana mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada masa kini, terutamanya bagaimana alat dan platform media sosial yang signifikan mempengaruhi interaksi antara keluarga dan rakan.
“Ia mengambil masa lebih kurang 8 jam untuk merakamkan lagu tersebut dan memakan masa seharian untuk sesi rakaman video muzik pula. Pengalaman merakamkan video muzik sangat menyeronokkan kerana kita semua berpakaian seperti di era ‘retro’. Tidak ketinggalan, tenaga positif yang wujud di antara warga kerja juga benar-benar membantu” jelas Sabronzo.
“Ia amat mudah bekerja bersama mereka kerana mereka seniasa memberikan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh kerana kami adalah empat gadis dengan gaya dan idea nyanyian yang sangat berbeza, mereka sangat terbuka dalam menerima segala jenis perubahan atau cadangan” tambahnya lagi.
Salah seorang anggota DOLLA iaitu Tabby pula berpendapat bahawa RAYA RAYA RAYA adalah sesuatu yang berbeza, tetapi masih terasa seperti biasa didengari. Ia mempunyai ‘vibe’ lagu raya yang biasa tetapi mempunyai sentuhan karakter DOLLA yang kuat dan mempunyai elemen-elemen yang menyeronokkan.
“Proses rakaman berjalan dengan lancar dan mudah bersama Faithful Music. Penuh dengan gelak tawa dan mereka amat membantu kami dalam mengekalkan kekuatan DOLLA di dalam lagu ini kerana pada mulanya, terasa asing kerana ianya bukan genre yang kami biasa bawakan sebelum ini. Tetapi amat menyerenokkan untuk bereksperimen!” jelas Tabby.
Angelina Chai atau Angel yang berasal daripada Sarawak pula berpendapat bahawa RAYA RAYA RAYAmenunjukkan sisi lain DOLLA, yang lebih ke arah tradisional tetapi masih lagi lagi terasa muda. Angel juga merasakan bahawa lagu ini berbeza dari lagu-lagu raya yang lain, dan DOLLA menggambarkan bagaimana jika artis berkumpulan wanita menyanyikan lagu bagi menyambut perayaan Aidilfitri.
“Proses rakaman lagu ini amat menyeronokkan kerana ia membuatkan perayaan itu terasa semakin dekat kepada seseorang yang tidak pernah menyambut perayaan Aidilfitri. Ia memberikan saya gambaran perasaan menyambut hari raya Aidilfitri dan sebenarnya ia amat menyeronokkan!” kata Angel.
Bercerita mengenai sewaktu proses rakaman video muzik lagu RAYA RAYA RAYA, Angel menyatakan ianya berbeza daripada apa yang pernah DOLLA lakukan sebelum ini. DOLLA masih lagi menari, tetapi lebih kepada menghayati lagu dan ianya mempunyai jalan cerita di mana merupakan sesuatu yang baharu bagi mereka. Dia juga mengharapkan video muzik seterusnya akan lebih menekankan konsep yang mempunyai jalan cerita.
“Saya berharap pendengar akan suka dengan lagu raya yang pertama DOLLA pernah buat. Ia sangat ‘catchy’ dan membawakan kegembiraan untuk menyambut hari raya Aidilfitri walaupun kita masih dalam kekangan wabak covid-19”, tambah Angel lagi.
Syasya yang merupakan ahli kumpulan yang paling muda selain Angel mengatakan lagu ini amat bermakna dan mencuit hati. DOLLA yang dikenali dengan imej lincah menari dengan bertenaga di dalam lagu-lagu sebelum ini, manakala RAYA RAYA RAYA menunjukkan sisi lain Dolla daripada yang selalunya. Walaupun begitu, pendengar masih dapat merasai kehadiran DOLLA itu sendiri di dalam RAYA RAYA RAYA.
“Pengalaman merakamkan lagu ini memang sangat seronok dan penuh dengan riang ketawa. Sememangnya bekerja dengan Faithful Music amat mudah kerana mereka juga bersifat terbuka dengan idea-idea yang kami berikan. Dalam lagu ini iDolla boleh melihat kelebihan dan kelainan dalam suara-suara setiap ahli DOLLA.”
“Harapan saya untuk lagu ini adalah untuk membawa kenangan manis sewaktu menyambut hari raya kepada semua pendengar. Walaupun wabak covid-19 banyak menghalang kita melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti kebiasaan di hari raya, namun saya berharap agar semua pendengar masih lagi dapat merasainya dengan mendengar lagu kami. Seperti biasa, saya harap penonton dapat menari dan menghayati bersama-sama semasa mendengar lagu kami” kata Syasya.
RAYA RAYA RAYA akan dilancarkan di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada jam 12 TENGAH MALAM, 30 APRIL 2021 dan video muziknya juga boleh ditonton di saluran YouTube DOLLA pada hari yang sama, jam 8 MALAM.