in , ,

Khodi Salur Emosi Keperitan Cinta Tiga Segi Dalam ‘DIA BAGIKU’

Semakin meraih perhatian peminat tempatan, kerancakan karier muzik penyanyi, Khodi nampaknya semakin terserlah. Penyanyi ini sendiri jelas tidak mahu melepaskan ruang depan mata untuk membuktikan bahawa dirinya mampu pergi jauh dalam gelanggang seni.

Selepas melancarkan lagu Lenggang baru-baru ini, Khodi tampil pula dengan pertaruhan terbarunya Dia Bagiku. Mendapat sentuhan komposer Farouk Rahman dan lirik hasil tulisannya sendiri, Khodi mencabar diri untuk membawakan lagu balada pertamanya. Yang pasti, isi penceritaan Dia Bagiku cukup menarik.

“Saya diberikan peluang untuk menulis lirik lagu Dia Bagiku yang mengisahkan seorang wanita dilanda keperitan cinta tiga segi. Karakter watak Jasmine dalam drama Single Terlalu Lama memberi inspirasi kepada saya untuk menceritakan mengenai kisah suka dan duka yang dialaminya sewaktu menjalin persahabatan dengan dua jejaka.

KHODI

“Sebenarnya, kedua jejaka itu bukan pilihan terbaik buat Jasmine. Dia terpaksa membuat pilihan yang tulus dari hatinya. Jadi, lagu ini adalah luahan perasaannya dalam membuat pilihan itu. Mesej ingin saya sampaikan menerusi lagu ini adalah, jangan mudah putus-asa dalam mencari cinta. Begitu juga memilih kekasih haruslah kena tulus dan ikhlas,” katanya.

Dia Bagiku adalah runut bunyi untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang turut membintangi drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu. Dia bergandingan dengan ramai pelakon popular termasuk Riz Amin, Anas Ridzuan, Shah Kimin, Julia Farhana, Dayana Roza, Lia Natalia, Azar Azmi, Noorkhiriah, Zila Bakarin, Norman Hakim, serta Uchee Fukada.

Menurut Khodi, kekuatan Dia Bagiku sememangnya pada alunan melodi mendayunya yang dilengkapkan pula dengan komposisi susunan muzik padu. Istimewanya, lagu ini disuntik elemen mimpi melayang ala-ala kisah dongeng yang mampu membuai perasaan pendengar. Lagu ini tentunya akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada pendengar.

Memandangkan ia lagu balada sulung nyanyiannya, Khodi tidak menafikan berdepan cabaran sewaktu melunaskan rakaman Dia Bagiku. Namun, dia berazam untuk tidak mengalah dengan perasaan gementar yang menyelubungi dirinya dan memberikan sepenuh jiwa kepada lagu ini. Paling penting, dia berusaha bermain emosi demi memastikan jiwa lagu ini hidup.

KHODI

“Memang saya rasa gementar dan sedikit gemuruh sebenarnya waktu sesi rakaman. Untuk dapatkan ‘feel’ ketika menyanyikan lagu ini pun tidak mudah. Saya kuatkan semangat dan sahut cabaran ini dengan belajar dan memperhalusi lagi seni nyanyian saya untuk memantapkan penyampaian lagu dalam genre yang masih asing ini.

“Adalah sangat penting untuk menyampaikan perasaan suka dan duka dalam liriknya. Harapnya saya berjaya menjiwai emosi suka dan duka dalam dendangan saya. Alhamdulillah, iringan muziknya juga sangat sesuai dengan tona suara saya. Saya bersyukur dan berterima kasih atas dorongan padu Farouk Roman dan tunjuk ajar Afif Tirmizie selaku vokal produser vokal,” katanya.

Selain mencapai corak vokal mendayu dan berbeza untuk lagu ini, Khodi mengakui turut seronok apabila mempelajari banyak perkara baharu sepanjang pembikinannya. Sekali gus, dia berazam agar dapat terus menonjolkan sisi berbeza kemampuannya terutama dalam nyanyian kepada pengikut muzik tempatan.

“Saya masih muda banyak lagi harus dipelajari. Kalau boleh, tidaklah mahu terhad kepada satu genre sahaja. Saya ingin cuba nyanyikan apa saja genre selain bereksperimen dengan berbagai jenis melodi dan cara nyanyian. Besar harapan saya agar pendengar di luar sana terhibur dan tidak jemu untuk mendengar serta menghayati lagu Dia Bagiku,” katanya.

Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini memulakan karier muziknya sekitar dua tahun lalu. Penuntut jurusan Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini turut menyertai program Lagu Cinta Kita 2 (LCK2). Memperjuangkan muzik soul dan R&B, dia menjadikan Datuk Sheila Majid dan Dayang Nurfaizah sebagai inspirasi.

‘Dia Bagiku’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tahniah! Siti Nurhaliza Selamat Bersalin Bayi Lelaki Awal Subuh Tadi

Azhar Osman Membuat Kemunculan Semula Dengan Buah Tangan Terbaru Lagu ‘TERNYATA’