PERKONGSIAN foto terbaharu pelakon Nonny Nadirah yang berpakaian seksi di Instagram mengejutkan ramai termasuk rakan baiknya iaitu penyanyi Mila Jirin.
Entri itu turut disertakan dengan kapsyen, ‘It’s good to be back’ (bagus untuk kembali). Berdasarkan tinjauan, akaun Instagram itu sudah memadam semua gambar sebelum ini. Malah, posting tersebut turut ditutup ruangan komen.
Terdahulu, Nonny atau sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin tampil bertudung sejak pulang daripada mengerjakan umrah pada Januari 2019.
Sebelum ini, dalam satu laporan temubual, Nonny pernah meberi pandangan tentang segelintir golongan artis yang kembali membuka hijab selepas bertudung.
“Pada saya, ujian dan dugaan yang Allah berikan kepada kita adalah berbeza. Allah pula menghadirkan ujian kerana Dia menyayangi hamba-Nya. Tuhan juga takkan menduga seseorang manusia dengan ujian di luar kemampuannya. Jika boleh dihadapi ujian itu, insya-Allah perkara lebih besar dan baik akan diberikan kepada kita.
“Kita juga perlu sentiasa bersangka baik dengan orang lain. Saya, umpamanya, mengajar diri untuk terlebih dahulu mencari salah sendiri daripada sibuk memperkatakan kesilapan orang lain. Cari persekitaran yang baik, insya-Allah kita juga akan menjadi orang yang lebih baik,” katanya.
Resah melihat perkongsian tersebut, Mila memaklumkan dia terus menghubungi Nonny untuk mendapatkan kepastian.
Akui berasa sedih dengan tindakan sahabat baiknya itu, Mila atau nama sebenarnya Norsyamilla Jirin berharap Nonny tidak mensia-siakan hidayah Allah.
Mila berkongsi video kenangan mereka tunai umrah bersama.
“Semalam aku menggigil lihat IG mu… aku call mu, Alhamdulillah dapat bercakap dengan mu sekejap, aku sangat sedih Non. Sedih kenapa aku tak boleh ada tepi mu untuk dengar semua keluh kesah mu.
“Non, aku mohon jangan buat perkara yang bercanggah daripada perintah Allah. Non aku mohon, jangan sia-siakan hidayah yang dihadiahkan oleh Allah… Non aku mohon, lawan godaan syaitan! Ramai sayang mu Non!
“Lepas cakap dengan mu, @nurhelizahelmi call aku, kami berdua sangat sedih Non! Jika mu sangat sayang persahabatan kita, Non tolong! Aku mohon, jangan sia-siakan hidayah yang dah Allah hadiahkan buat mu,” tulisnya.
Mila turut berkongsi mengenai hubungan rapat dan kenangan mereka ketika bersama-sama ke Tanah Suci, Makkah dan Madinah untuk menunaikan umrah pada 2019.
Usaha, ikhtiarlah cara apa juga selagi mana ianya halal dan mendapat keberkatan.
Dalam pada itu, Mila berkata dia hanya menyedari mengenai perubahan yang dilakukan Nonny selepas menerima mesej berupa paparan skrin Instagram daripada rakannya.
Menurut Mila, dia pada mulanya menganggap akaun tersebut digodam namun tanggapannya salah dan berharap rakan baiknya berusaha untuk berubah menjadi lebih baik.
“Non semalam, tatkala @bismie_amer WhatsApp dan screenshot posting IG mu yang terbaru, aku 100 peratus percaya itu bukan mu! Aku cakap pada diri ku… IG mu kena hack ni tapi Non… luluh hatiku Non.
Perkongsian terbaharu Nonny yang berubah imej seksi.
“Sedih sangat sedih… aku rasa macam nak ke Sabah semalam juga jumpa mu, teman dengar apa masalah mu sebab aku tau, mu sangat baik! Anak yang baik! Non aku tahu mu pasti baca posting aku ini.
“Non ingat rezeki milik Allah. Usaha, ikhtiarlah cara apa juga selagi mana ianya halal dan mendapat keberkatan. Allah sedang uji mu wahai sahabat! Sebab Allah sayang, tolong kuat Non!
“Jangan terpedaya dengan syaitan. Terakhir kali, aku mohon dengan sepenuh hati, janganlah mu berubah kepada kehidupan yang lagha dan penuh sia-sia. Ramai yang sayang mu. Allah sayang mu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mila turut meminta orang ramai tidak menulis kata-kata negatif yang akan memberikan tekanan kepada rakannya itu.