Kini, pelantun lagu Peluang Kedua itu sudah bersedia, malah bakal bertanding menerusi pentas Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35), Ahad ini.
Nabila percaya vokalnya sudah mengalami banyak perubahan dalam tempoh berehat selama tiga bulan.
“Saya tidak mengambil sebarang tawaran menyanyi, hanya berehat dan menjalankan terapi suara. Alhamdulillah, vokal saya semakin baik. Saya baru sahaja menjalankan pemeriksaan, doktor memberitahu ada perubahan berbanding sebelum ini.
“Bengkak semakin surut. Disebabkan itu, saya bersedia menyanyi di pentas AJL35, Ahad ini. Jika tanya mengenai keyakinan, saya percaya kemampuan diri.
“Tidak menafikan tekanan sentiasa ada, tetapi buat masa sekarang, saya lebih fokus pada diri saya. Paling penting, saya merasakan vokal saya ada perubahan daripada sebelum ini,”
Dalam masa sama, Nabila berkata, dia berdepan dengan debaran memandangkan kali pertama beraksi di pentas berprestij itu.
“Gembira dan berdebar, semuanya bercampur baur. Namun, apa yang lebih mendebarkan adalah mempersembahkan lagu Peluang Kedua. AJL pula pertandingan karya, bukannya nyanyian.
“Insya-Allah, saya akan cuba memberikan yang terbaik,” katanya yang akan mengetengahkan persembahan yang ringkas, tetapi beremosi.
Untuk itu, Nabila berkata, dia menjalankan latihan sejak peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-35 (SFMM35) yang lalu hingga hari ini.
“Saya berlatih tanpa henti. Boleh dikatakan hampir setiap hari saya menghadiri kelas bersama Datuk Syafinaz Selamat. Beliau juga mengatakan vokal saya bertambah baik, tetapi sudah tentu ada banyak yang perlu saya belajar. Namun, buat masa sekarang, saya berpuas hati dengan prestasi selepas menghadiri kelas bersamanya.
“Untuk pengetahuan, saya tetap akan menghadiri kelas selepas AJL35 untuk terus memantapkan vokal. Sudah tiga bulan saya berehat, tiba masanya saya kembali aktif,” katanya.
Mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, Nabila berkata, dia tidak mahu terlalu sibuk dengan undangan nyanyian dan cuba seimbangkan nyanyian dan perniagaan.
Disebabkan itu, Nabila berkata, dia menggunakan tempoh rehat dalam dunia nyanyian untuk menceburi bidang perniagaan.
Kini, selepas beberapa bulan berjinak dalam bisnes, Nabila sudah membuka empat cawangan francais Ayo Fried Chicken.
“Saya biasa bekerja setiap hari. Apabila tidak bekerja, saya rasa kosong. Oleh sebab itu, berniaga adalah alternatif untuk membuatkan saya sentiasa sibuk.
“Alhamdulillah, sekarang saya aktif dalam perniagaan makanan dan mempunyai empat cawangan di Melaka, Selayang, Kota Damansara dan Senawang.
“Saya bersyukur jualan tetap memberangsangkan walaupun dalam situasi pandemik COVID-19. Saya gembira berpeluang menceburi bidang perniagaan baru,” katanya yang pernah berniaga tudung sebelum ini.
*Sumber: BH Online