Lagu yang sudah pun berada di semua platform digital sejak 22 Februari lalu merupakan karya Ajai dan lirik oleh Iman Imran bukan sahaja cukup menangkap halwa telinga, tetapi liriknya juga mudah difahami oleh sesiapa sahaja.
“Memang rindu sebenarnya nak mengeluarkan lagu baharu setelah Young & Gentlemen keluar dua tahun yang lalu. Bila sudah ada peluang begini, sudah pasti saya gembira memandangkan ada produk baharu untuk diberikan kepada peminat.
“Lagu ini sendiri ada banyak perbezaan berbanding dengan lagu terdahulu. Genre world music dan fusion lebih menghiburkan serta dekat dengan peminat memandangkan ini merupakan asam garam rumah tangga,” kata Haiza.
Menariknya, Mantan Isterimu merupakan ditulis oleh Iman Imran berdasarkan kisah perempuan yang gila talak apabila berlakunya perceraian. Bagi Haiza, perkara itu bukan tabu dalam kalangan masyarakat tetapi bisa berlaku.
Jika frasa gila talak disebut, masyarakat biasanya akan teringatkan lelaki memandangkan kebanyakan kes ini pernah berlaku padahal ada juga wanita tidak ‘move on’ sebaik sahaja berlakunya penceraian.
“Kita faham tak semua orang akan move on bila berlaku perpisahan. Kenapa perkara tersebut terjadi? Hanya mereka sahaja yang tahu apa sebenarnya yang terjadi sedangkan orang luar terus menerus membuat andaian.
“Semua kisah masyarakat yang berlaku dirumus oleh Iman Imran ke dalam lagu ini. Bagi saya ini sesuatu yang segar, lain dan dekat dengan pendengar,” katanya yang menganggap ini merupakan sebuah kritikan sosial kepada masyarakat.
Bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, penyampai radio Kool FM ini turut merasai perubahan besar dalam kerjaya sejak Covid19 melanda dunia.
Jika dahulu dia sering melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa yang sama, kini fokusnya lebih tertumpu kepada radio semata-mata memandangkan sudah kekurangan acara hiburan berbanding dahulu.
“Dulu saya buat tiga atau empat kerja sekali gus. Sekarang sudah tak banyak show memandangkan acara hiburan makin kurang disebabkan SOP dan sebagainya. Tapi saya bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan tetap.
“Ada dalam kalangan rakan-rakan artis lain juga berhadapan dengan masalah yang sama sampai terpaksa mencari pendapatan dengan cara yang lain. Semua orang pun terkesan, ini realiti yang sudah dihadapi oleh semua,” tambahnya lagi.
Baginya semua orang perlu mengambil peluang menggunakan platform digital untuk melakukan apa sahaja demi mencari sumber pendapatan atau mencari rangkaian baru.
Dengan ada pelbagai platform, siapa sahaja mampu melakukan apa sahaja termasuklah berniaga, memasarkan produk dan sebagainya. Dia juga tidak terkecuali dalam hal tersebut untuk memasarkan Mantan Isterimu.
“Perubahan semasa tetap akan berlaku dan semua orang perlu memanfaatkan peluang yang ada. Kita berusaha dan Tuhan juga yang menentukan, apa yang penting adalah langkah pertama itu,” katanya lagi.
Usah Cepat Jatuhkan Hukum – Haiza
TIADA wanita yang rela bermadu kasih biarpun dijanjikan payung emas sebagai ganjaran. Begitu juga dengan penyanyi dan penyampai radio Haiza Hanafi yang kini bersuamikan seorang lelaki berkerjaya dalam bidang sukan.
Sering memuat naik rutin senaman dalam media sosial, Haiza mengakui diselubungi rasa takut apabila kerap berkongsi momen bersama suami, Norhanapfe Omar.
“Tipulah jika saya kata tiada rasa takut, apatah lagi segelintir wanita masa kini sangat berani memulakan langkah mendekati suami orang. Sebagai isteri, rasa cemburu atau takut pasti ada, cuma kalau terlalu melayan rasa, itulah yang akan merosakkan rumah tangga.
“Macam mana suami beri kebebasan kepada saya untuk bekerja, saya juga membuka ruang sama kepadanya. Asalkan tidak melanggar kepercayaan yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak.
“Memang ada takut tetapi tidaklah sehingga saya memaksa diri untuk bersenam atau berlari bersamanya kerana dibelenggu perasaan kurang senang sebegitu. Selebihnya saya serahkan saja kepada Allah,” kata Haiza kepada HibGlam.
Berkongsi pengalaman lalu, Haiza dan suaminya pernah tinggal berjauhan demi komitmen terhadap tugas sebagai penyampai radio Best FM di Johor Bahru, Johor.
Bukan calang-calang pengorbanan yang dilakukannya apabila terpaksa meninggalkan suami tercinta di ibu kota, namun Haiza berpendapat komunikasi dan kepercayaan menjadi kunci utama dalam setiap perhubungan.
Mengambil keputusan drastik demi perkembangan kerjaya, wanita itu hanya berserah ketika harus berpindah ke negeri kelahirannya, Johor sebelum ini dilakukan bagi mengukuhkan nama selain dapat menyerlahkan sisi sebagai artis versatil.
Justeru, pemilik nama penuh Rohaizah Nordin, 41, itu tetap dengan pendirian. Sementelah suaminya juga memberi kebenaran serta meletakkan kepercayaan tidak berbelah bahagi terhadap dirinya.
Melepasi 14 tahun tempoh berumah tangga bukan laluan mudah buat Haiza. Seperti pasangan lain, perselisihan faham, marah dan rajuk menjadi asam garam yang menguatkan lagi cinta mereka.
Haiza mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain hoki, Norhanapfe Omar pada 24 Ogos 2007 dan mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Nur Iman Syafie yang kini berusia sembilan tahun.
‘Perosak’ rumah tangga
Kisah pergolakan rumah tangga kerap menarik minat masyarakat, apatah lagi apabila perkara sebenar dikongsikan kepada umum. Namun, acap kali si perampas atau orang ketiga dipersalahkan tanpa kita mengetahui hal sebenar.
Memilih tajuk Mantan Isterimu sebagai single terbaharu, Haiza nafi menyokong golongan perosak rumah tangga. Sebaliknya, dia berpendapat bahawa masyarakat perlu menghayati dan mendalami lagu tersebut sebelum menjatuhkan hukum.
“Lagu Mantan Isterimu bukanlah menyokong perosak rumah tangga atau bersetuju dengan isu merampas dalam kehidupan berumah tangga. Apa yang ditulis oleh penulis liriknya, Iman Imran sangat mudah difahami.
“Lazimnya wanita yang ditinggalkan (mantan isteri) diberi cerita-cerita yang positif tetapi wanita yang lagi satu (perampas) sentiasa dipandang serong sedangkan hanya mereka yang tahu punca sebenar pergolakan yang terjadi.
“Siapa yang salah, siapa yang benar, kita semua tidak layak untuk menjatuhkan hukum atau membuat penilaian sendiri.
“Lagu ini hanya bercerita tentang sisi isteri baharu yang mengingatkan suaminya supaya berwaspada kerana mantan isteri tidak akan serik untuk buat kacau dan sentiasa ada dalam kehidupan mereka,” luah Haiza yang mengakui teruja dengan lagu ciptaan Ajai tersebut.
Masih mengekalkan irama dangdut yang sebati dengan dirinya, Haiza sedar dia perlu tampil dengan konsep muzik yang boleh diterima ramai.
Kali terakhir tampil dengan lagu berjudul Young and Gentleman pada 2019 sebagai penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya, Haiza memilih untuk tidak percaya kepada badi sesebuah lagu.
Tidak percaya badi
Dia berpandangan bahawa lagu yang dipersembahkan adalah tanggungjawab seorang penyanyi dan tidak bersangkut paut dengan kerjaya atau kisah peribadi mereka.
“Dahulu saya dikenali dengan lagu Dag Dig Dug tetapi tidak pula jantung saya berdebar-debar seperti judulnya (ketawa). Jadi saya rasa, jika ada persamaan atau tempias, itu semua hanyalah kebetulan semata-mata.
“Bagi saya, jika kita hanya melihat dari sudut negatif saja susah juga. Ada yang anggap saya menjatuhkan kaum wanita atau menyokong perampas, tetapi kenapa tidak lihat dari aspek positif juga.
“Mana yang baik boleh dijadikan iktibar kerana tugas penyanyi bukan saja menghiburkan. Malah sekiranya diselitkan elemen positif dalam lagu, sebenarnya satu bonus buat kami,” kata Haiza yang sudah sembilan tahun bergelar penyampai radio.
Bercakap tentang radio jua, Haiza pantas mengakui itu bukan tugas yang mudah.
Menggalas tanggungjawab menghiburkan pendengar radio harus perlu meliputi pelbagai aspek.
Tidak hanya berceloteh kosong, Haiza yang merupakan penyampai radio di Kool FM mengakui perlu sentiasa melengkapkan diri dengan isu semasa dan kisah tular. Pada masa sama dia perlu memastikan nama baik banyak pihak tidak tercalar.
“Setiap kali memuat naik sesuatu dalam media sosial, saya perlu berfikir panjang agar tidak menyinggung sensitiviti mana-mana pihak. Banyak perkara perlu dititikberatkan seperti warna kulit, agama, bentuk tubuh dan banyak lagi.
“Sebaik saja menandatangani kontrak, majikan ada kuasa untuk mengambil tindakan sekiranya kita melakukan sesuatu yang mencalarkan imej syarikat. Bukan saja tertakluk kepada penyampai radio, semua kerja pekerjaan.
“Selama ini, saya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, tetapi terus minta maaf apabila menyedari kesilapan,” katanya.
Kekal relevan
Haiza yang bernaung bawah syarikat pengurusan Indigital Music berkata, kerjaya sebagai penyampai radio memberi jaminan terutama aspek pendapatan setiap bulan.
Memulakan kerjaya tersebut sejak 2012, dia perlu mengikut rentak semasa bagi memastikannya kekal relevan sebagai penghibur menerusi corong radio.
“Jika terlalu merapu pun rasanya orang muak kerana saya pun kurang selesa dengan kandungan begitu.
“Tetapi tidak bermakna kita menolak isu viral secara total kerana terdapat segmen yang membincangkan topik berkenaan sebagai bualan.
“Paling perlu dielakkan adalah ‘inside joke’ sesama penyampai radio yang membuatkan pendengar tertanya-tanya. Pernah juga saya terbawa-bawa bergelak ketawa tetapi menjelaskan kepada pendengar situasi yang berlaku di konti.
“Saya bersyukur kerana arah tuju Kool FM bersesuaian dengan jiwa dan usia. Kami bukan sekadar memainkan peranan sebagai penghibur semata-mata, malah turut menyelitkan informasi kepada pendengar,” tutup Haiza.
*Sumber: Kosmo!