Meluaskan lagi koleksi drama tempatan, peneraju perkhidmatan hiburan inovatif iQiyi, akan menayangkan drama TV3 berjudul Aku Yang Kau Gelar Isteri untuk penonton di Malaysia, Singapura dan Brunei. Drama romantik seram ini merupakan drama cinta pertama dengan tema sihir yang dihasilkan baru-baru ini. Drama ini menggabungkan artis berbakat besar seperti Nadia Brian dan Adi Putra, serta penampilan semula Sharifah Sakinah ke arena drama TV3 sejak tahun 2019.
Drama ini mengisahkan cinta tiga segi dan cinta tidak berbalas. Seorang gadis muda, Laila, (Sharifah Sakinah) telah jatuh cinta dengan Ezlan (Adi Putra), namun kecewa apabila Ezlan memilih untuk berkahwin dengan Raihani (Nadia Brian). Laila kemudian membawa hatinya yang lara jauh dari kampungnya. Dengan bantuan ilmu sihir, Laila kembali ke kampungnya semula dan tekad untuk memenangi hati Ezlan– dan ini menguji perkahwinan bahagia 9 tahun yang telah dibina Ezlan dan Raihani serta dua orang anak mereka, Rais dan Ain.
Selain daripada kemunculan semula Sharifah Sakinah ke TV3, drama ini juga menyaksikan penglibatan semula beberapa orang artis lain ke layar perak. Antaranya, Lana Nordin, yang memegang watak Embun yang kembali setelah 4 tahun menyepi dalam dunia lakonan serta Nadia Brian yang kembali berlakon setelah penceraiannya. Baru-baru ini, Nadia Brian juga telah menolak tawaran daripada Produksi dari Ireland bagi siri Hollywood yang melibatkan adegan keterlaluan.
Aku Yang Kau Gelar Isteri, yang mula distrimkan pada 17 Februari 2021 dan akan ditayangkan sehingga 15 Mac 2021, merupakan salah satu judul yang tersedia melalui usaha sama kandungan drama antara pengeluar dan pengedar terbesar Malaysia, Primeworks Studios dan iQiyi. Bulan lalu, platform penstriman ini mengumumkan penambahan drama TV3 dengan rating yang tinggi seperti Rahimah Tanpa Rahim dan Melastik ke Hatimu kepada koleksi senarai tontonan mereka.
Judul-judul yang ada dalam perkhidmatan penstriman iQiyi akan disiarkan pada hari yang sama dengan siaran ke seluruh negara melalui saluran milik Media Prima, TV3. Setiap episod baru serta senarai tontonan drama-drama ini akan tersedia dengan sari kata dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan boleh ditonton pada bila-bila masa secara percuma di www.iQ.com atau melalui aplikasi iQiyi yang boleh dimuat turun melalui App Store dan Play Store, atau melalui pautan http://bit.ly/iQIYI.
Sejak kemunculan buat pertama kalinya di Malaysia tahun lalu, iQiyi telah menyaksikan prestasi yang amat memberangsangkan dengan mencapai peningkatan jumlah pengguna lebih 15 kali ganda semenjak platform ini menyediakan senarai tontonan tempatan. Berhasrat untuk menjadi platform terulung bagi pengguna yang mencari hiburan berkualiti serta pengalaman digital tanpa sempadan, pengguna juga boleh menikmati pelbagai koleksi judul-judul dari Korea, Cina serta anime yang terkini dan popular.