Lebih banyak pilihan rancangan termasuklah program travelog dan majalah yang memberi menawarkan variasi topik menarik untuk dikongsikan seisi keluarga. Bukan itu sahaja, program disiarkan bakal berkongsi dengan anda antaranya tip memilih lokasi kembara mengujakan, tip dekorasi kediaman, resipi istimewa air tangan cef terkenal dan idea menjalani kehidupan yang sihat.
Enam program yang menanti anda termasuklah travelog bertajuk “Dari Borneo Ke Pantai Timur” mulai 4 Februari ini, setiap Khamis, pukul 11.00 pagi. Menampilkan hos Al Fairez Jemurin, program setengah jam ini menarik pengembara dari Borneo ke Pantai Timur untuk menikmati pemandangan serta makanan tempatan yang menyelerakan. Ia turut membongkar kaedah pembuatan makanan popular yang terpilih.
Jaa Suzuran kemudiannya bakal membawakan cabaran kepada selebriti pilihan dalam 13 episod program “Cabaran Selebriti” bermula 10 Februari ini, setiap Rabu, pukul 2.30 petang. Program ini menampilkan pelbagai gelagat selebriti dalam mengharungi cabaran yang diberikan. Antara selebriti yang terlibat adalah Anne Ariffin, Iswan Ismail, Khareez, Mustaqim Bahadon, dan Sarah Eazny.
Penggemar program berkonsepkan dekorasi boleh menyaksikan dua rancangan baharu iaitu “Wow Cantik”, mulai 19 Februari ini, setiap Jumaat, pukul 8.30 malam dan “Hias Viral”, setiap Khamis, pukul 8.00 malambersiaran mulai 23 Februari depan. Pelbagai konsep dekorasi kediaman moden kontemporari yang akan memberikan idea menarik dalam menata rias kediaman anda. Zulin Aziz tampil sebagai hos Wow Cantik dan Aaron Al Fateh pula mengacarakan program Hias Viral.
Seterusnya dalam program “Selera Pulau” mulai 24 Februari ini, setiap Rabu, pukul 11.00 malam menonjolkan kelainan kerana pemilihan lokasi memasak berlatar belakangkan pulau-pulau popular di Malaysia. Cef Dr Kamarul dalam enam episod program ini ‘turun padang’ memasak bersama-sama selebriti jemputan antaranya Sabhi Saddi, Firman Bansir, Rubiza Tiasin, Rich, Elica Paujin dan Velvet.
Kongsikan idea dalam menjalani kehidupan seharian yang sihat, cergas dan cantik menerusi program “Ideal” mulai 26 Februari ini, setiap Jumaat, pukul 8.00 pagi. Pelbagai menu dan tip akan diberikan oleh mereka yang pakar dalam bidang tertentu. Program enam episod ini menampilkan hos Nana Al Haleq.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.