Sering kali berulang alik dari Sydney ke Jakarta, ibu kepada Bridgia Kalina Kharisma itu kini muncul dengan filem Layla Majnun yang menggandingkan semula dengan aktor, Reza Rahadian.
Menghidupkan watak Layla, Acha berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem Layla Majnun disebabkan keagungan cinta inspirasi kisah legenda, Layla dan Majnun.
“Judul Layla Majnun ini sahaja sudah cukup besar maknanya. Ia diangkat daripada karya romantis sebelum wujudnya kisah Romeo dan Juliet.
“Kisah cinta seumpama ini sudah jarang ditawarkan pada saya disebabkan tak ramai yang mahu mengangkat kisah cinta agung.
“Jujurnya, saya teruja menerima skrip ini hinggakan saya jatuh cinta dengan karakter Layla selepas membacanya. Jadi, saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran watak ini,”
Mengulas lebih lanjut, Acha berkata, pengarah, Monty Tiwa dan pelakon gandingannya, Reza serta Baim Wong juga antara faktornya menerima tawaran membintangi filem berkenaan.
“Saya menerima tawaran kerana selesa bekerja bersama Monty. Saya selesa bekerja dengan pengarah yang memberikan kebebasan dalam ekspresi, mencipta karakter dan imaginasi mengikut cara sendiri.
“Jadi, saya beruntung dapat kembali bekerja dengan Monty dan Reza, malah teman lain. Kita tahu Reza antara aktor yang bersungguh-sungguh dalam menghidupkan setiap karakter lakonan. Dengan tenaga diberikan di lokasi penggambaran membuatkan saya menjadi lebih mudah menghayati karakter Layla,” katanya.
Layla Majnun adalah filem ketiga gandingan Acha dan Reza selepas filem T est Pack: You’re My Baby pada 2012 dan The Strawberry Surprise (2014).
Acha berkata, dia seronok menjayakan apabila menemui banyak titik persamaan antara dirinya dan Layla.
“Ada karakter Layla dalam diri saya. Antaranya, Layla mencintai sastera dan mempunyai cita-cita bergelar seorang guru. Jadi, pembawaan watak Layla sebagai guru ini diadaptasikan daripada pengalaman dan imaginasi saya.
“Karakter selebihnya diambil daripada penyair kisah ini, Nizami Ganjavi yang mahu menonjolkan Layla sebagai pencinta. Dia sangat mencintai sastera. Cinta yang dimiliki sangat besar dan tulus untuk lelaki dicintai. Dia akan melakukan apa sahaja untuk lelaki yang dicintainya.
“Bagaimanapun, personalitinya yang digambarkan sebagai seorang yang keras oleh penulis dibawakan bersesuaian dengan budaya Indonesia,” katanya.
Menjalani penggambaran filem di tempat asal penyair di Azerbaijan, Acha bersyukur sempat menyelesaikannya sebelum pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.
“Kami berjaya menyelesaikan penggambaran filem sebelum pandemik COVID-19 menyerang. Kami berangkat ke Azerbaijan pada November 2019 dan selesai penggambaran dalam tempoh sebulan.
“Jadi, kami masih bebas menjalani penggambaran tanpa protokol kesihatan dan sebagainya, ketika itu. Jujurnya, penggambaran seperti inilah yang dirindui sekarang,” katanya.
Acha berkongsi kegembiraan dapat mendalami dan mengenali budaya Azerbaijan, meskipun cuaca jauh berbeza dengan Indonesia.
“Kami dikelilingi rakan baik ketika di Azerbaijan. Merekalah banyak mengajar kami bertutur bahasa Azerbaijan terutama dari segi intonasi, dialog dan sebagainya,” katanya.
Pelantun lagu Berdua Lebih Baik dan Sampai Menutup Mata itu berkata, dia berharap hasilnya dapat menghiburkan penonton seluruh dunia.
“Kami teruja apabila karya ini ditayangkan secara serentak di seluruh dunia menerusi platform penstriman, Netflix. Dan ini juga bonus apabila filem Layla Majnun dapat ditonton di Azerbaijan.
“Selalunya mengikut sistem di Indonesia, kami perlu pergi festival filem terlebih dahulu, sebelum filem ditayangkan di luar negara,” katanya.
Filem Layla Majnun versi Indonesia itu akan mula disiarkan secara global di Netflix mulai 11 Februari ini. Ia diinspirasikan daripada kisah legenda Layla dan Majnun yang menggambarkan cinta bersemi dan tetap mekar, meskipun terhalang dengan tradisi.
Selain Reza, Acha dan Baim, bintang Indonesia lain yang turut membintangi filem itu ialah Uli Herdinansyah, Dian Nitami, Landung Simatupang, Beby Tsabina, August Melasz dan Natasha Rizki.
Secara ringkasnya, ia berkisarkan Layla (Acha) yang dijodohkan orang tuanya dengan Ibnu (Baim). Namun, impian Layla dikabulkan apabila diberi peluang mengajar di Azerbaijan. Di sana, Layla bertemu jejaka Azerbaijan yang memikat hatinya, Samir (Reza).
Mengikut laporan berita Indonesia, naskhah Layla Majnun itu filem terbaharu Acha selepas kali terakhir membintangi filem 99 Nama Cinta pada 2019.
Selain itu, Acha turut membuka lembaran tahun 2021 dengan filem June & Kopi, siaran Netflix.
*Sumber: Harian Metro