in

Aizat & The Band di Semporna & Pulau Sipadan Sabah

XPRESI KEMBARA BERSAMA AIZAT & THE BAND DI SEMPORNA DAN PULAU SIPADAN, SABAH

Xpresi Kembara yang mula bersiaran Mac 2009 lalu berjaya menambat hati penonton terutama di kalangan remaja yang mengharapkan kelainan program travelog sedia ada. Kelainan ini berjaya ditonjolkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usaha membawa artis-artis indie lari daripada kesibukan kota untuk bercuti ke destinasi-destinasi menarik seluruh negara. Apatahlagi artis yang diundang menjayakan program ini melakukan pelbagai aktiviti mengujakan untuk dikongsi bersama peminat.

Nama-nama seperti 6ixth Sense, Yuna, Bunkface, Azlan & The Typewriter, Couple, Black, Grey Sky Morning, Ana Raffali dan beberapa nama besar lain lagi pernah muncul menerusi program ini yang mulai 1 Januari 2011 ini masih mengekalkan siarannya setiap Sabtu, jam 11.30 pagi di TV1.

AIZAT

Sepanjang tiga episod berturut-turut iaitu pada 1, 8 dan 15 Januari 2011, Xpresi Kembara membuka tirainya tahun ini dengan membawakan penyanyi remaja terkenal Aizat & The Band berlibur ke destinasi berbeza, nun jauh di Negeri di Bawah Bayu, Sabah dimana destinasi yang menjadi pilihan adalah Semporna, Pulau Sipadan dan Mabul serta Taman Laut Tun Sakaran yang cukup terkenal dengan keindahan alam semulajadinya.

Program yang telah selesai menjalani penggambaran pada 6 hingga 12 November lalu ini membawa penyanyi yang meningkat naik dengan lagu Sungai Lui bersama meluangkan masa mengunjungi Semporna yang terkenal dengan tempat Pasar Basah dan Pasar Kering Semporna juga Bukit Tengkorak, Semporna Sabah.

Pastinya peminat Aizat & The Band bakal teruja manyaksikan anak-anak muda ini berkongsi pengalaman menyaksikan aktiviti memunggah ikan segar yang turun dari laut dan belajar kait jala daripada nelayan– nelayan yang baru pulang dari laut ketika berada di Pasar Basah. Manakala ketika sampai di Pasar Kering Semporna pula keterujaan mereka terserlah kerana buat pertama kalinya menyaksikan terdapat banyak makanan yang pelik di situ. Apatahlagi di tempat yang sama popular dengan lokasi ikan kering. Malah menariknya kesempatan yang ada digunakan untuk basking di sekitar pasar menghiburkan peminat peminat mereka.

AIZAT

Ingin menyaksikan bagaimana kentalnya semangat Aizat & The Band menaiki 500++ anak tangga untuk menuju puncak di Bukit Tengkorak selain mengunjungi tapak arkeologi dan bekas gunung berapi berjuta tahun dahulu, pastikan anda terus menyaksikan program ini dimana penghujungnya mereka berkongsi momen indah pemandangan sekitar Bandar Semporna dan Taman Taman Laut Sabah dari puncak Bukit Tengkorak.

Sudahnya namanya pun bercuti, mereka tidak melepaskan peluang untuk mandi-manda di Semporna Holiday Resort dimana pernah menjadi lokasi penggambaran filem Duyong yang sangat cantik dan menarik pemandangannya. Masing-masing juga turut cuba menerjuni pelantar setinggi tiga tingkat ke laut.

Ketika meluangkan masa di sekitar Pulau Sipadan dan Mabul yang begitu terkenal dengan pulaunya yang begitu indah dan mendamaikan, antara aktiviti menarik yang dilakukan adalah mencari penyu di Turtle Hatch, melepaskan anak penyu ke laut juga aktiviti snorkeling di sekitar Pulau Sipadan.

Destinasi seterusnya berada di Taman Laut Tun Sakaran yang ingin dikongsi bersama penonton momen indah pengalaman mereka melihat sendiri tiram yang dibiakkan dan diternak oleh masyarakat setempat. Kepada anda yang sebelum ini hanya pernah mendengar keunikan masyarakat Bajau Laut, Aizat turut merakamkan pengalamannya melihat sendiri kehidupan bajau laut di Sabah yang serba kekurangan dan daif tapi mampu untuk hidup berdikari. Lucunya ketika naik sampan tradisional, Aizat & The Band tenggelam ke laut kerana tak tahu mendayung.

Mengekalkan penerbit Mohd Amer Syafiq Khalip, program ini mendapat kerjasama daripada Sabah Tourism dan Taman Taman Laut Sabah selain tajaan Borneo Divers Resort untuk aktiviti scuba dan penginapan di Mabul.

Justeru pastikan anda peminat setia Xpresi Kembara dan artis-artis indie terkenal tanah air terus memberikan sokongan sepenuhnya untuk menyaksikan program ini setiap Sabtu, jam 11.30 pagi hanya di TV1.

AIZAT

AIZAT

AIZAT

AIZAT

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Dark Blue Buka Tirai 2011

Rock N Riuh Promo Tour Warner & Era 2011